Category Archives: Uncategorized

Taamul : Merenungi Pemikiran Mujaddid Al-Azhar : Ash-Shaykh Hasan Muhammad Al-‘Attār Al-Azhariy.

14910540_1116458631725454_2648264675668245974_n

*Tulisan ini ditulis pasca-graduasi Ijazah Sarjana Muda di Universiti Al-Azhar Asy-Syariff (27/10/2016), sebagai satu renungan terhadap hakikat pemikiran dan sumbangan seorang Azhari yang asli dan sebenar.

‘Al-Azhariy’ adalah satu gelar yang memikul makna dan tanggungjawab yang sangat besar. Gelar ini tidak terpakai pada sebarangan orang walaupun mempunyai kaitan rapat dengan Al-Azhar, sekiranya tidak bermanhaj dengan manhaj Al-Azhar dengan mempunyai pengetahuan yang luas, keilmuan yang dalam, ketelitian yang halus, akhlak yang luhur murni, pemikiran tajdid yang bernas, dan cita-cita yang besar.

Antara tokoh ‘Al-Azhariy’ sebenar, yang perlu dicontohi dan dihayati oleh para generasi baru Al-Azhar Asy-Syariff ialah : Ash-Shaykh Hasan Muhammad Al-Attār (1182 – 1250h) yang dijawatkan untuk memegang gelar ‘Shaykhul Azhar’ dan mengetuai Masyaikhāh Al-Azhar pada 1246h , iaitu pada zaman pemerintahan Bapa Pembangunan Mesir Moden, Muhammad Ali Pasha. Gandingan diantara Shaykh Hasan Al-Attār dan Muhammad Ali Pasha, berjaya mencetuskan revolusi ilmu dan pemikiran yang sangat hebat sehingga berjaya membangunkan sebuah tamadun baru di Mesir. Shaykh Hasan Al-Attār, biasanya dikenali oleh penuntut-penuntut ilmu sekarang melalui kitab-kitabnya masyhur dengan kerumitan dan ketelitiannya dalam perbahasan seperti Hasyiah Al-Attār ‘ala Jam’ Al-Jawami’ (Usul Fiqh), Hasyiah Al-Attār ‘ala At-Tazhib Lil Khubaisiy Syarh Matn At-Tahzib Li At-Taftāzani (Mantiq), Hasyiah Al-Attār ‘ala Syarh Shaykh Islām Zakariyya Al-Ansari ‘ala Isaghuji (Mantiq) dan lain-lain.

Namun, sudut yang kurang dihayati sebaiknya oleh para penuntut ilmu sekarang adalah sumbangan idea pencerahan dan tajdid beliau dalam memecahkan kejumudan yang diamalkan oleh segelintir ulama’ Al-Azhar pada waktu tersebut yang hanya menumpukan kepada aksara huruf dan ghawamid yang ada dalam kitab-kitab turath tanpa mempunyai pandangan yang jauh serta tiada ruh kebangkitan dan pembinaan tamadun. Al-Attār, walaubagaimanapun tidak sedikitpun menolak kepentingan mendalami kitab-kitab turath dengan per-huruf dan per-kalimah, bahkan beliau sendiri begitu teliti tentang perkara tersebut seperti yang terlihat dalam karya-karya ditulisnya. Tetapi bagi beliau, ilmu-ilmu turath tersebut adalah akar-akar yang kuat bagi pembinaan sebuah tamadun yang kukuh dan beridentiti, dengan tanpa ada keraguan dan syak-wasangka dalam menghadapi arus pembangunan modenisasi.

Jiwa Al-Attār yang dipenuhi semangat intelektual yang tinggi dan himmah kepemudaan yang kental, sesekali tidak dapat menerima kelesuan, kelembapan dan kejumudan pemikiran yang melumpuhkan semangat berfalsafah, pembaharuan dan pembangunan tamadun yang berlaku di Al-Azhar Asy-Syariff. Peribadi Al-Attār sebagai seorang ‘alim thāir (revolutionist dalam bidang intelektual) dan mujaddid dibentuk oleh para guru-gurunya yang hebat, yang diantara mereka adalah Al-Imam Murtadhā Az-Zabidiy, pengarang Tājul Al-Arūs Syarh Al-Qomus, dan juga daripada pengalamannya hidup dalam zaman penjajahan Perancis keatas Mesir, serta penjelajahan beliau ke negara-negara lain, yang mana daripada penjelajahan tersebut beliau menemui ramai ulama’ dan mengumpul sebanyak mungkin ilmu-ilmu yang menjadi rahsia kemajuan dan kebangkitan sesebuah negara tersebut.

Hasil daripada itu, beliau mempunyai pandangan yang sangat luas, idea-idea pembaharuan yang segar, dan ditambah pula darah seorang thāir yang mengalir di setiap pembuluh darahnya. Al-Attār melihat kepentingan untuk menguasai ilmu-ilmu moden dan bukan hanya berpada dengan matan,syarah, hasyiah dalam ilmu-ilmu syariah sahaja. Justeru, beliau sendiri mempelajari ilmu-ilmu tersebut sehingga mahir dan mendalaminya per-huruf dan per-kalimah seperti ta’āmulnya dengan kitab-kitab turath yang lain, bahkan menulis kitab yang menjadi rujukan berkenaannya, yang terdiri daripada ; ilmu perubatan & pembedahan, ilmu ubat-ubatan/farmasi, ilmu kejuruteraan, ilmu matematik, ilmu falak, kosmologi, ilmu mantiq, ilmu kesenian dan lain-lain, disamping beliau seorang penyair handal yang mempunyai jiwa yang halus. Selain itu, Al-Attār juga menguasai banyak bahasa seperti, bahasa Turki, bahasa Perancis dan lain-lain, yang memungkin beliau untuk mengambil manfaat daripada turath-turath selain daripada turath Arab. Dengan itu, beliau turut menyeru untuk para ‘alim ulama untuk membaca juga buku-buku yang ditulis selain daripada orang Islam selepas mendapati kepentingannya dan berjaya meruntuhkan ketakutan dan kebimbangan segelintir para masyaikh yang skeptis terhadapnya.

Daripada kesedaran itu juga, melalui ketua negara, Muhammad Ali Pasha, Al-Attār mengutuskan dua anak muridnya yang terhandal, Ash-Shaykh Rifa’ah Rafi’ At-Tahtāwiy dan Ash-Shaykh Iyād At-Tantawiy, ke Perancis dan Russia, bagi mengumpul mengutip hikmah-hikmah ‘barang yang hilang’ umat Islam daripada dua tamadun yang besar pada ketika itu, bagi dimanfaatkan untuk pembangunan dan pemodenan bagi Mesir. Masyarakat Mesir sangat kenal akan Ash-Shaykh Rifa’ah Rafi’ At-Tahtāwiy dalam pembinaan Mesir Moden, kerana sumbangan dan peranannya yang sangat besar dalam perkara tersebut.

Al-Attār telah menunjukkan bagaimana seorang Azhari harus berperanan. Al-Azhari bukan sahaja seorang yang mendalami perbahasaan juz’iy yang halus-halus dan rumit di dalam kitab-kitab turath semata-mata, bahkan turut mempunyai kerangka pemikiran yang universal (kulli) dan idea pembaharuan yang jelas untuk memberi sumbangan kepada ketamadunan manusia. Itulah antara contoh keperibadian seorang Al-Azhari Al-Asīl.

وفقنا الله وإياكم على أن يكون انتماؤنا للأزهر الشريف انتماءا حقيقيا و أن يجعلنا الله تعالى – بفضله و كرمه- من سادة الأزهريين المخلصين المتبعين لمنهجه الرسيخ المتين، آمين.

 

Advertisements

1 Comment

Filed under Taamul, Travelog, Uncategorized

Ulasan Buku : Mafhūm Al-Alimiyyah Min Al-Kitab Ila Rabbaniyyah, Farid Al-Ansari.

Bismillahi Rahmani Rahim.

image

Pendahuluan

Ash-Shaykh Farid Al-Ansory [1] merupakan figura ilmuwan Islam yang mempunyai sumbangan keilmuan yang penting bagi abad ini. Beliau telah mengetengah beberapa ide-ide besar dalam kerangka pemikiran Islam moden melalui beberapa silsilah karya beliau yang diterbitkan oleh Darussalam seperti Silsilah Min Al-Quran Ila ‘Umran, Majālis Al-Quran dan lain-lain. Selain itu, kritikan-kritikan berani dan terbuka beliau terhadap gerakan keIslaman juga merupakan sesuatu yang sangat jarang dijumpai. [2]

Malang sekali, beliau kurang termasyhur berbanding tokoh-tokoh di dalam gerakan  keIslaman yang lain. Karya-karya beliau -walau dengan kebernasan ide dan kekuatan hujah yang terkandung didalamnya- tidak disuluhkan perhatian yang sepatutnya, menyebabkan ia seolah terbiar usang dan tidak dicaknai ramai.

Ini disebut sendiri oleh Dr. Muhammad Barakah dalam kitab memuatkan kajian tentang perbincangan seputar Fiqh Ad-Dakwah disisi Farid Al-Ansory. Di dalam kitab tersebut, beliau menyimpulkan bahawa perancangan stratergi dakwah Farid terhimpun pada tiga paksi iaitu ; (i) Fitriyyah, (ii) Alimiyyah, (iii) Majalis Al-Quran.

Kebanyakan isu yang dihurai dan solusi yang dihulurkan oleh beliau, diyakini mampu untuk menyelesaikan pelbagai permasalahan yang berlaku pada zaman ini. Ia perlu dimanfaati dengan sebaiknya dan tidak patut dipandang sepi.

Justeru, usaha untuk mengali kembali ide-ide beliau yang tertimbus dan memberikan kembali suluhan yang sewajarnya, pada waktu ini dilihat adalah keperluan bagi masyarakat Islam dunia umumnya, dan masyarakat negara khususnya, apatah lagi dengan timbulnya isu-isu semasa yang melibatkan perbincangan yang telah disebutkan oleh beliau menjadikan keperluan itu bertambah tinggi dan mendesak.

Walaubagaimanapun, untuk memaparkan pemikirannya secara menyeluruh dan sempurna adalah hampir mustahil bagi penulis, melainkan dengan juhud yang lebih kuat dan masa kajian yang lebih lama, serta memerlukan bantuan daripada anak-anak murid yang pernah menuntut daripada beliau untuk keaslian buah fikir yang diperoleh.

Kendatipun begitu, dalam silsilah ‘Min Al-Quran Ila ‘Umran’,  terdapat sebuah  magnum opus, yang boleh dikatakan sebagai rumusan ringkas terhadap pemikiran besar Ash-Shaykh Farid Al-Ansory, dijudulkan dengan nama ‘Mafhum Alimiyyah : Min Al-Kitab Ila Rabbaniyyah’. Mudah-mudahan ia mampu menjadi langkah pemula untuk memahami gagasan islah mega yang ingin digencarkan oleh beliau, dengan memahami salah satu dari tiga paksi fokus beliau yang telah disebutkan tadi.

Deskripsi Kitab.

Secara ringkasnya, kitab ini merupakan usaha beliau untuk mengembalikan kefahaman yang betul terhadap mafhum ke’aliman yang hakiki [3], dengan merujuk kepada wasiat Abu Walid Sulayman Khalaf Al-Baji [4] kepada dua orang anaknya.

Bukan itu sahaja, bahkan untuk melengkapkan ide beliau terhadap makna sebenar ke’aliman, beliau turut menyusun silibus (baramīj) untuk melahirkan seorang ‘alim yang tulen (العالم), iaitu dalam bab yang keempat.

Sesungguhnya kekaburan dan kesalah-fahaman terhadap konseptual ke’aliman yang asli ini telah membawa masyarakat kepada tribulasi yang besar dan mehnah yang pelbagai. Terutamanya di zaman yang masing-masing mahu menonjol diri sebagai alim, tanpa mengetahui kriteria seorang alim dan bagaimanakah jalan untuk mencapainya.

Ini akan kita selusuri dengan terperinci satu persatu dalam perbahasan kandungannya nanti, bagi menyelesaikan persoalan-persoalan yang berikut: (1) Apakah definisi yang benar tentang makna ke’aliman ?, (2) Apakah kriteria-kriteria yang perlu ada pada seseorang untuk digelar sebagai ‘alim ? (3) Apakah silibus-silibus program yang dicadangkan oleh Farid Al-Ansory untuk melahirkan seorang ‘alim ? (4) Apakah sudut persamaan diantara apa yang dicadangkan oleh Farid Al-Ansory dengan Manhaj Al-Azhar-Asy-Syariff.

Faktor-Faktor Mendorong Kepada Penulisan Kitab.

Seawal pendahuluan kitab, Farid Al-Ansory dengan terang menyebut faktor-faktor yang mendorong beliau untuk menulis sebuah buku yang membincang tajuk ini. Beliau meletakkan empat faktor utama, iaitu ;

i) Tajdid Agama Mestilah Bermula Daripada Tajdid Ilmu.

Disini, beliau melihat bahawa tajdid agama itu haruslah dimulakan dengan tajdid ilmu. Dalam satu hadis yang menyebut bahawa Allah s.w.t akan membangkitkan setiap seratus tahun seorang mujaddid, dan mujaddid itu adalah daripada seorang yang mempunyai sifat alim. Ini kerana ilmu adalah perkara terpenting dalam agama kerana ia adalah warathatu an-nubuwwah.

Justeru, permulaan segala perkara dalam tajdid agama haruslah dimulai dengan tajdid ilmu terlebih dahulu. Dengan itu, wujud keperluan untuk menetapkan dengan tepat ; apakah yang dimaksud sebenarnya dengan ‘ilmu’ dan ‘alim’ ?

Maka, kitab ini ditulis antaranya bertujuan untuk memperjelaskan kembali maksud kedua-dua istilah tersebut dan menghilangkan kekaburan terhadapnya.

ii) Kematian Ilmuwan-Ilmuwan Agung Dan Keperluan Melahirkan Generasi Ilmuwan Baru.

Selepas pemergian sejumlah yang besar daripada ulama’ ulung, khususnya di Maghrib, seperti Ash-Shaykh Abdullah Kanun, Ash-Shaykh Muhammad Makki An-Nāsiri, Ash-Shaykh Muhammad Siddiq Al-Ghumary dan ramai lagi, beliau mendapati generasi-generasi penuntut ilmu sekarang nampak begitu lemah penguasaan ilmunya dan kurang akhlaknya. Ini merupakan sesuatu perkara yang perlu dibimbangkan kerana di dalam satu hadis menyebut tentang hilangnya ilmu dengan matinya para ulama’, dan ilmu itu hilang.

Justeru, beliau melihat keperluan untuk melahirkan generasi baru ilmuwan Islam yang benar-benar kukuh keilmuan dan tinggi akhlak serta terserlah kewarakan mereka.
Penetapan 3 Rukun Mahiyyah Keintelektualan dan  Silibus Program Ke’aliman yang dilakar beliau dalam kitab ini merupakan masyru’ penting untuk dijayakan bagi mencapai matlamat tersebut. Ini akan kita bincangkan di dalam perbahasannya nanti.

iii) Terputusnya Pembelajaran Ilmu Syarak Daripada Manhajnya Yang Benar.

‘Mandul’nya pusat-pusat pengajian agama dalam melahirkan intelektual (álim) adalah disebabkan terpesongnya perjalanan mereka daripada manhaj ilmu yang benar.

Justeru, kitab ini bertujuan menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan keintelektualan dan memberi tanbih kepada para penuntut ilmu agar sentiasa berada diatas manhaj ilmu yang betul untuk melahirkan generasi intelektual rabbani.

iv) Penglibatan Golongan Berkepentingan (Ahl Ahwā Dan Politikus) Dalam Tugas Intelektual Dan Kekaburan Terhadap Maksud Intelektual.

Berlaku kekaburan dalam kalangan masyarakat dalam membezakan antara istilah-istilah tertentu dan mafhumnya yang sebenar, seperti istilah àlim dengan istilah seakan menyamai maksudnya ; penceramah (wa’īz), daie, ustaz, pemikir dan lain-lain.

Àlim menjadi tempat rujuk masyarakat dalam bidang agama kerana keahlian mereka. Apabila masyarakat gagal menentukan kriteria yang patut ada bagi seseorang àlim, mereka akhirnya menghukum kepada penampilan, lantas setiap yang bercakap berkenaan Islam maka mereka merujuk dan meminta pandangan kepada yang bukan ahlinya.

Masalah berlaku apabila golongan tidak berkeahlian tersebut mula memainkan tugas seorang àlim dalam mengeluarkan pendapat dan fatwa, yang membawa kepada pertembungan dalam masyarakat dan kecelaruan. Bertambah parah lagi apabila berlakunya ghuluw dalam pendapat dan sikap taksub daripada pengikut, menyebabkan penglabelan fasiq, munafiq bahkan kafir dalam masyarakat.

Maka, masalah ini memerlukan untuk kita meletakkan definisi yang betul berkaitan istilah àlim serta kriteria kesepaduan ilmu yang dimiliki seseorang untuk digelar sebagai àlim dan menjadi rujukan dalam masyarakat. Inilah yang cuba dilakukan oleh Farid Al-Ansory di dalam kitab ini.

Konseptual Intelektual (‘Alim) Dan Keintelektualan (‘Alimiyyah)

Selepas Farid Al-Ansory menjelas faktor-faktor yang mendorong beliau menulis kitab ini, iaitu antaranya, kepentingan mengetahui definisi yang betul terhadap ‘intelektual’ (àlim) dan keintelektualan (àlimiyyah), beliau kemudiannya meletak takrifan terhadap kedua-dua istilah tersebut.

Bagi keintelektualan, beliau mentakrifkan ;

العالمية هي صفة كسبية في معرفة أحكام الشريعة أصولها و فروعها، يكون المتحقق بها إماما في الدين تعليما و تزكية.

Maknanya : Ke’aliman adalah sifat yang diusahakan dalam mengetahui hukum-hukam syarak dari segi usul dan furu’, yang melayakkan dengannya untuk menjadi imam di dalam agama dari sudut pengajaran dan pembersihan jiwa.

Manakala intelektual (àlim) pula ditakrifkan :

العالم هو الفقيه المجتهد، الرباني الحكيم، الذي تحقق بالعلم و صار له كالوصف المجبول عليه، و فهم عن الله مراده، فصار يربي بصغار العلم قبل كباره.

Maknanya : Àlim ialah seorang yang faqih, mujtahid, rabbani, bijaksana, yang berhasil menugasai ilmu sehingga menjadikan ilmu tersebut sifat semulajadi baginya, serta memahami kehendak-kehendak Allah s.w.t (dari wahyu-Nya) dan mendidik dari sekecil-kecil ilmu sebelum kepada sebesar-besarnya.

Justeru, melalui dua pentakrifan yang penting ini, Farid Ansory mengeluarkan tiga rukun untuk melengkapkan mahiyyah ke’aliman.

3 Rukun Mahiyyah Ke’aliman.

i) Malakah Fiqhiyyah

Iaitu kemahiran fiqhiyyah dengan kefahaman dan dirayah, bukan sekadar riwayah ataupun menghafal teks.

Sifat faham terhadap fiqh sehingga menjadi keperibadian yang sebati yang tidak menjadikan kesukaran baginya untuk memahami kehendak-kehendak Allah daripada nas-nas wahyu-Nya, serta mempunyai pengalaman luas yang bermanhaj untuk menghuraikan nusus syarak dan mengistibatnya. Kemahiran mengistibat hukum itu adalah kemahiran fiqhiyyah yang sebenar.
Kemahiran fiqhiyyah ini disebut beliau sebagai tujuan bagi peringkat-peringkat menuntut ilmu dan intisari perjalanan ilmu.

ii) Rabbaniyyah Imaniyyah

Rabbaniyyah imaniyyah adalah menghampiri kepada kesempurnaan dalam berakhlak dengan akhlak Al-Quran, mencapai sifat taqwa dan wara’, untuk mencapai ilmu tentang Allah (Al-‘Ilm biLlah) dan mengenal-Nya.

Adapun cara untuk mendapat rabbaniyyah imaniyyah adalah bersungguh-sungguh melakukan amal, meningkat diri dalam menaiki tangga penyucian jiwa, bermujahadah terhadap nafsu dan lain-lain.

Farid Al-Ansory menyatakan bahawa ilmu-ilmu yang ada pada seorang àlim hanyalah satu wasilah untuk menuju kepada matlamat agung (ghoyatul ghòyāt), iaitu ilmu tentang Allah taala (Al-‘ilm biLlah).

iii) Qiyadah Tarbawiyyah Ijtima’iyyah.

Ia adalah tugas seorang àlim diatas keilmuan yang dimiliki olehnya, untuk melaksanakan tanggungjawab amar ma’ruf nahi mungkar, menjawab persoalan-persoalan yang berlegar di dalam masyarakatnya dan memberi fatwa, serta memimpin mereka menuju Allah s.w.t. Tugas tersebut hendaklah dilakukan dengan akhlak-akhlak yang mahumudah, dengan menteladani peribadi Rasulullah s.a.w.

Farid Al-Ansory menukilkan qaul Imam Asy-Syatibi, yang menyebut, “Seorang mufti itu,  sesungguhnya dia menggantikan tempat Nabi s.a.w.”, lalu memberi ulasan bahawa, apabila keadaan demikian maka wajib keatas mufti tersebut berakhlak dengan akhlak Nabi s.a.w, dan bermujahadah kepada Allah sehingga menjadi suci dan bersih, lalu menjadi contoh teladan untuk masyarakat mengikutinya.

Ketiga-tiga rukun ini merupakan kriteria penting untuk diukur pada seseorang adakah dia mencapai tahap alim ataupun tidak.

Usul Empat Ilmu-Ilmu Syarak.

Selepas daripada menerangkan kriteria-kriteria umum yang perlu ada pada seorang alim, beliau membentangkan displin-displin keilmuan yang perlu dikuasai dengan kukuh oleh seorang penuntut ilmu untuk mencapai tahap alim. Displin-displin tersebut beliau namakan dengan ‘Usul Al-Arbaah lil ulum asy-syar’iyyah’ atau Usul Empat Ilmu-Ilmu Syarak. Secara ringkasnya, empat usul tersebut adalah seperti berikut ;

1 – Nas-nas Wahyu

Nas-nas wahyu yang dimaksudkan oleh Farid Al-Ansory disini Al-Quran dan As-Sunnah.
Bagi Al-Quran, dari sudut ‘amnya, beliau menyatakan bahawa ia perlu dihafal oleh seseorang penuntut ilmu untuk mencapai tahap àlim. Kadar minimum adalah satu pertiga, terutamanya surah-surah panjang yang awal kerana ia merangkumi ayat-ayat ahkam dan ayat-ayat berkaitan penyucian jiwa. Ia disertai dengan memperbanyakkan tilawah dan tadabbur sehingga wujud ikatan peribadi seorang àlim itu dengan Al-Quran. Dari sudut khas Al-Quran, memerlukan kepada pembelajaran yang khusus terhadap ayat-ayat ahkam dan manhaj untuk mengistinbathkan fiqhnya dan fawaid ilmunya.

Manakala As-Sunnah pula, dari sudut ‘am, tafaqquh pada sejumlah sunnah sehingga mengetahui tentang ahwal Rasulullah s.a.w secara umum. Dari sudut khas, mempunyai kemampuan untuk mengingati kembali nusus syarak dari As-Sunnah dan juga Al-Quran di dalam perkara-perkara agama.

Sesungguhnya pembelajaran ayat-ayat ahkam di dalam Al-Quran haruslah digandingi dengan hadis-hadis ahkam. Jika berpada hanya salah satu dari kedua-dua tersebut, maka ia akan membawa kepada kesalahan dalam pemahaman dan penyelewengan dalam istinbath.

2 – Ilmu Teras Syarak

Farid Al-Ansory membahagikan ilmu teras syarak yang harus dikuasai baik seorang àlim ini kepada tiga, iaitu ; (1) Ilmu-ilmu Berkait Al-Quran dan As-Sunnah, (2) Ilmu Fiqh dan Usul Fiqh serta (3) Ilmu Tauhid Dan Tazkiyyah.

Untuk ilmu-ilmu berkait Al-Quran dan As-Sunnah, beliau menyebut dua displin ilmu iaitu Ulum Al-Quran dan Ulum As-Sunnah.

Manakala ilmu-ilmu berkaitan hukum-hakam dan pegangan Islam juga, iaitu ilmu Fiqh dan Usul Fiqh serta Ilmu Tauhid dan Tazkiyyah. Kesemuanya displin ilmu ini perlu dipelajari seorang penuntut untuk menjadi seorang àlim.

3 – Fiqh Lisan Arab

Fiqh Lisan Arab, menurut beliau merupakan kunci untuk keseluruhan ilmu dan permulaan yang penting yang perlu ada. Ini kerana, setiap ilmu-ilmu syarak bergantung kepada penguasaan terhadap bahasa Arab.

Namun, Fiqh Lisan Al-Arab yang ingin difahamkan Farid Al-Ansory bukanlah hanya mempelajari ilmu Nahu, Sorof dan Balaghah semata-mata. Lisan adalah lebih khusus daripada ‘lughah’.

Beliau mentakrifkan Lisan Al-Arab seperti berikut ;

اللسان : فهو الملكة البيانية التي يعبر بها المتكلم عما يجده من معان و أحاسيس بما يجعل الملتقي يشعر بما شعر به الملتقي.

Maksudnya : Kemahiran Bayaniyyah (dalam menyampaikan sesuatu penjelasan) yang dita’birkan oleh si pengucap yang mempunyai penuh pengertian dan kedalaman rasa, yang menjadikan si pendengar merasai apa yang dirasai oleh si pengucap.

Maka, Lisan itu adalah sesuatu penyampaian yang lebih tepat, benar, dan terperinci berbanding lughah. Justeru itu, penuntut ilmu yang ingin mencapai kepada martabat alim harus tekun berusaha untuk menguasai Lisan Al-Arab dan bukan sekadar Al-Lughah Al-Arabiyyah.

4 – Fiqh Al-Waqi’

Beliau menyebut keperluan untuk memahami Fiqh Al-Waqi’ dengan menyebut  dua golongan yang tergelincir pemahamannya terhadap Fiqh Al-Waqi’ ; satu golongan yang melampau dalam menggunakan berhukum dengannya sehingga menafikan dharuriyat di dalam agama diatasnama Fiqh Al-Waqi’.

Manakala golongan yang lain pula tidak mempedulikan keperluan untuk memahami waqi serta bersikap keras dan memahami nas secara tekstual sahaja.

Hal yang sebenar ialah Fiqh Al-Waqi’ merupakan juzuk yang tiada terpisah daripada istinbath dan ijtihad, serta termasuk dalam ‘ma laa yatimmu wajib illa bihi fahuwa wajib’. Ia bukanlah sesuatu perkara yang baru, tetapi telah dikenali sejak dari dahulu lagi, dengan ‘at-tafaqquh fi hal az-zaman wa ahlih’ dan ‘ma’rifah ahwal an-nas wa a’rafihim’.

Walaubagaimanapun faham Fiqh Waqi’ seperti yang didakwa oleh 2 golongan yang terpesong itu, ialah ‘haq urida bihi batil’.

Menurut beliau, ilmu yang utama dalam memahami Fiqh Al-Waqi’ ialah Sirah Nabawiyyah.  Sesungguhnya pengetahuan tentang sunan ijtim’iyyah, nafsiyyah dan taarikhiyyah adalah diambil daripadanya. Ini kerana sirah merupakan contoh hidup bagi perlaksanaan kefahaman dari Al-Quran.

Selain itu, beliau turut mencadangkan untuk mempelajari ilmu-ilmu moden kontemporer seperti mempelajari madkhal (pengenalan) terhadap undang-undang perlembagaan, ekonomi, sejarah umum, sejarah Islam secara khusus, serta perkembangan-perkembagan pemikiran disamping mengikuti peristiwa-peristiwa semasa yang berlaku pada waktunya.
Tambahan lagi, beliau juga mencadangkan untuk menguasai beberapa bahasa asing yang penting seperti Bahasa Inggeris dan Bahasa Perancis.

Silibus Program Ke’aliman.

Manhaj yang disebutkan Farid Al-Ansory di dalam ‘Silibus Program Ke’aliman’ ini merupakan satu manhaj yang amat penting, kerana ia ytelah membina generasi-generasi ulama’ agung terdahulu dan membentuk kefahaman ilmu agama yang tulen. Ia adalah satu amalan para ulama terdahulu untuk membuat satu himpunan daftar nama guru-guru dan kitab-kitab yang dipelajari secara talaqqi sehingga khatam keseluruhan kitab, kemudian daftar yang terhimpun tersebut diwariskan pula kepada anak-anak murid mereka.

Justeru, dengan sejumlah para guru yang ditekuni oleh penuntut serta kitab-kitab yang dikhatamkan akan melengkapkan kemahiran ilmu mereka di dalam kesemua bidang ilmu secara menyeluruh. Maka, dengan mengikut langkah tersebut, Farid Al-Ansory menyusun silibus-silibus daripada pelbagai kitab mengikut satu-satu displin ilmu.

Beliau membahagikan kitab-kitab tersebut kepada dua ; kitab takharruj dan kitab istikmal at-takwin. Maka, seseorang penuntut ilmu perlu secara bertalaqqi dengan guru, menghuraikan permasalahan kitab secara per-kalimah dan per-huruf, sebagai cara untuk mencapai keintelektualan yang sejati untuk kitab takharruj. Kemudian, bagi menyempurnakan dengan pembacaan dan ulang kaji apa yang dinamakan beliau dengan kitab penyempurnaan pembinaan (كتب استكمال التكوين ).

Silibus-silibus yang disusun oleh Farid Al-Ansory adalah seperti berikut [5] ;

1 – Silibus Usul 1 (Nas-nas syarak)

Al-Quran hendaklah dihafal, tilawah, tadabbur dan membaca tafsirnya sepanjang umur oleh seorang penuntut ilmu.

Antara kitab-kitab cadangan beliau ialah ; (1) Ahkam Al-Quran lil Maafiri, (2) Tafsir Al-Qurtubi, (3) Ahkam Al-Quran oleh Al-Jasôs dan Al-Harosi, (4) Riyadhussolihin, (5) Sahih Al-Bukhari, (6) Sahih Muslim, (7) Kitab Sunan 4, (8) Zadul Maad, (9) Muwatto’, (10) Nailul Awtār, dan lain-lain.

2 – Silibus Usul 2 (Ilmu Teras Syarak)

Antara kitab-kitab cadangan beliau ialah ;

Bagi Ilmu Fiqh [6] dan Usul Fiqh ; (1) Al-Qowanīn oleh Ibnu Juzay, (2) Bidayatul Mujtahid oleh Ibn Rusyd, (3) Irsyadul Fuhul oleh Asy-Syaukani, (4) Al-Muwafaqāt oleh Asy-Syātibi, (5) Ar-Risalah oleh Asy-Syafie, (6) Al-Burhan oleh Al-Juwayni, (7) Al-Mustasfa oleh Al-Ghazali, (8)Al-Mahsul oleh Ar-Rāzi, (9) Bahrul Muhit oleh Az-Zarkasyi, (10) Al-Furuq oleh Al-Qarafi,(11) Qawaīd Al-Ahkam Fi Masalih Al-Anam oleh Al-Ízz Abdi Assalām dan lain-lain.

Bagi Ulum Al-Quran dan Tafsir ; (1) Manahil Al-Irfān oleh Az-Zarqani, (2) Mukhtasor Tafsir Ibn Kathir oleh Ahmad Syakir, (3) Al-Burhan oleh Az-Zarkasyi, (4) Al-Itqan oleh As-Suyuti, (5) Tafsir At-Tobari, (6) Tafsir Az-Zamakhsyari, (7) Tafsir Baydhowi, (8) Tafsir Ar-Rāzi, (9) Tahrir Wa At-Tanwir oleh Ibn Àsyur, (10) Sofwatu At-Tafasīr oleh As-Sobuniy, dan lain-lain.

Bagi Ulum Al-Hadis ; (1) Manhaj An-Naqd Fi Ulum Al-Hadis oleh Nuruddin ‘Itr, (2) Ar-Rafu Wa At-Takmil oleh Al-Laknawiy, (3) Nukhbah Al-Fikar oleh Ibn Hajr, (4) Muqaddimah Ibn Solah, (4) Tadrib Ar-Rawiy oleh As-Suyuti, dan lain-lain.

Bagi Ilmu Tauhid [7] ; (1) Al-Ibanah oleh Abu Hasan Al-Asy’ari, (2) Al-aqidah At-Tohawiyyah, dan lain-lain.

Bagi Ilmu Tazkiyyah ; (1) Uddatul Murid As-Sādiq oleh Ahmad Zarruq, (2) Ar-Riayah Li Huquq Allah dan Risalah Al-Mustarsyidīn oleh Al-Muhasibi, (3) Madarij As-Salikīn oleh Ibn Qayyim, (4) Rosail An-Nūr oleh Badiùzzaman Said An-Nursi, dan lain-lain.

3 – Silibus Usul 3 (Fiqh Lisan Arab)

Antara kitab cadangan beliau ialah ; (1) Syarah Ibn Àqīl, (2) Mughni Al-Labib oleh Ibn Hishām, (3) Al-Kitab oleh As-Sibawayh, (4) Al-Khosois oleh Ibni Jinniy, (5) Al-Bayan Wa Tabyīn oleh Al-Jāhiz, (6) Adabul Kātib oleh Ibn Qutaybah, (7) Khizanatul Adab oleh Al-Hamawiy, (8) Wahy Al-Qalam oleh Mustafa Ar-Rafiie, dan lain-lain.
4 – Silibus Usul 4 (Fiqh Waqi’)

Kitab-kitab cadangan beliau ialah ; (1) Fiqh As-Sirah oleh Al-Bouty, (2) Fiqh As-Sirah oleh Muhammad Al-Ghazali, dan (3) Madkhal (pengenalan) kepada ilmu-ilmu yang berkaitan seperti, sosiologi, politik, ekonomi dan lain-lain.
Juga ditambah dengan mempelajari bahasa selain bahasa ibunda dan Bahasa Arab, seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Perancis dan sebagainya.

Perbandingan Silibus Program Ke’aliman Ash-Shaykh Farid Al-Ansory Dengan Methodologi Tradisi Penghasilan Ilmu Di Al-Azhar Asy-Syarif.

Apabila kita meneliti Silibus Program Ke’aliman Ash-Shaykh Farid Al-Ansory, kita akan mendapati bahawa ia mempunyai beberapa sudut persamaan dengan methodologi tradisi penghasilan ilmu yang diamalkan di Al-Azhar As-Syariff.

Pertamanya, sudut persamaan itu kita dapat lihat pada penekanan terhadap ilmu yang membina malakah dan  diikat dengan penyucian jiwa serta menjadi qudwah yang baik bagi masyarakat sekeliling. Para masyaikh Al-Azhar Asy-Syariff di dalam halaqah-halaqah ilmu di Al-Azhar amat menekankan ketiga-tiga perkara ini. Justeru, kita boleh menyimpulkan bahawa 3 rukun mahiyyah ke’aliman iaitu ; malakah fiqhiyyah, tarbiyyah imaniyyah, dan qiyadah tarbawiyyah ijtimaiyyah berjalan selari dengan manhaj Al-Azhar.

Keduanya, berkaitan konsep kesepaduan ilmu yang disebutkan oleh Farid Al-Ansory di dalam ‘Usul 4 Ilmu-Ilmu Syarak’, ia juga hampir menyerupai penekanan Al-Azhar Asy-Syariff di dalam melahirkan seorang alim yang mempunyai kelengkapan ilmu yang cukup, menyeluruh dan seimbang, walaupun ia ada perbezaan dari sudut pembahagiannya, dimana Al-Azhar membahagikan kepada Masadir (Al-Quran dan As-Sunnah), Ilmu Maqasid (Tauhid, Fiqh & Tasawwuf) dan Ilmu Alat atau wasail (Bahasa Arab, Usul Fiqh, Mantiq dan lain-lain). Walaubagaimanapun, ia tidak membawa kepada perbezaan yang besar.

Ketiganya, kebanyakan kitab-kitab yang dicadangkan oleh Farid Al-Ansory di dalam ‘Silibus Program Ke’aliman’ adalah daripada kitab-kitab turath sebagai kitab takharruj, di tambah beberapa buah buku kontemporari sebagai kitab istikmal at-takwin. Di Al-Azhar Asy-Syariff, kitab-kitab turath merupakan kitab utama diajari kepada penuntut-penuntut ilmunya. Namun, ia bukanlah sekadar kitab turath semata-mata, tetapi kitab turath yang diterima ummah keseluruhan sejak berkurun serta kitab-kitab yang muktamad dan dijadikan sandaran di dalam satu-satu bidang ilmu. Oleh itu, kita mendapati bahawa wujud keselarasan apa yang difikirkan oleh Ash-Shaykh Farid Al-Ansory dengan apa yang sudah terlaksana di halaqah-halaqah ilmu di Al-Azhar Asy-Syariff. [8]

Keempat, mengikat setiap ilmu dengan waqi (realiti) melalui pemahaman Fiqh Al-Waqi’ dalam usul keempat ilmu syarak. Ini bertepatan dengan mutsallas wajib al-waqtiy yang sentiasa diulang-sebut oleh para masyaikh Al-Azhar iaitu, Idrak An-Nass, Idrak Al-Waqie, dan Tanzil An-Nass Ila Al-Waqie.

Konklusi Dan Ulasan Akhir.

Sesungguhnya pembinaan seorang alim adalah satu pembinaan yang sukar, yang memerlukan pembelajaran dalam  tempoh yang lama untuk melatih kemahiran ilmu sehingga menjadi tabiat peribadi dan membentuk jiwa yang rabbani, seterusnya memimpin masyarakat keluar daripada gelap kejahilan kepada cahaya kebenaran.

Namun, ada beberapa kelompok pseudo-alim, yang tidak pun membawa masyarakat kepada kebenaran, bahkan membawa mereka daripada kegelapan kepada kegelapan yang lain pula. Justeru, kitab ‘Mafhum Alimiyyah’ yang ditulis oleh Farid Al-Ansory ini cukup penting untuk kita mengenal siapakah alim secara hakiki dan tahu bagaimanakah jalan untuk menjadi seorang yang hakiki tersebut sekiranya kita mahukan kepada kemuliaan tersebut, yang banyak disebutkan di dalam hadis-hadis Nabi s.a.w

Pendefinisian terhadap makna alim dan perletakan kriteria-kriteria asasi serta membentang silibus-silibus yang perlu dihabiskan oleh seorang alim, seperti yang dilakukan Farid Al-Ansory ini harus dibuka dan didedah kepada awam dengan lebih luas. Ia bukanlah sesuatu yang sukar difahami, bahkan sudah menjadi adat bahawa untuk menjadi seorang yang pakar harus melalui pembelajaran dan latihan yang terperinci di dalam satu jangka masa yang lama, bukan hanya dua-tiga bulan, atau dengan memasuki program-program  realiti tv yang berbentuk keagamaan.

Apabila masyarakat dapat membezakan siapakah alim yang sebenar dan siapakah pseudo-alim, mereka akan tahu dimanakah tempat untuk mereka merujuk apabila timbul permasalahan berkaitan hal keagamaan. Dengan perkara ini, banyak masalah yang timbul dewasa ini mampu untuk diselesaikan dengan efisyen, insyaAllah.
WaAllahu a’lam.

Nota Hujung

[1] Farid Al-Ansory, lahir pada tahun 1960 dan meninggal pada 2009. Seorang ulama’ Maghribi yang menguasai pelbagai lapangan displin ilmu syarak khususnya Usul Fiqh, Maqasid Syariah dan Pemikiran Islam.

[2] Kitab beliau seperti ‘Bayan Ad-Dakwiy’, ‘Fitriyyah’, Fujur As-Siyasi (semua diterbitkan oleh Darussalam), dan Akhto’ As-Sittah (tidak dijumpai cetakan, kecuali pdf sahaja), merupakan kitab yang ditulis khusus untuk kritikan-kritikan terhadap gerakan keIslaman kontemporer.

[3] Perlu diingatkan bahawa maksud ‘keintelektualan’ disini adalah terjemahan daripada perkataan ‘alimiyyah’, iaitu keintelektualan dari sudut keagamawan secara khusus, bukan maksud keintelektualan di dalam bidang lain yang umum.

[4] Abu Walid Sulayman Khalaf Al-Baji, lahir pada 403h dan wafat pada 474h, iaitu diumur 70 tahun 11 bulan. Untuk biodata Al-Baji rujuk kitab, m/s 33 – 44.

[5] Penulis hanya memilih beberapa nama-nama buku yang dilihat terkenal dalam kalangan penuntut-penuntut ilmu disini (Mesir), serta meninggalkan ulasan beliau yang penting bagi meringkas penulisan disini. Bagi yang mahukan senarai penuh berserta ulasannya, rujuk kitab m/s 137 – 185.

[6] Farid Al-Ansory bermazhab Maliki dalam fiqhnya, justeru kesemua kitab yang dicadangkan adalah bagi fiqh mazhab Maliki. Bagi mazhab Asy-Syafie, antara kitab utamanya adalah Matan Abi Syuja’ dan Minhaj Tholibin, berserta syarah dan hasyiahnya.

[7] Apa yang terzahir daripada mazhab akidah beliau bukanlah daripada tradinasiolis asya’irah, tetapi beliau lebih cenderung kepada manhaj salaf yang moderat, dengan melihatkan kitab-kitab tauhid yang dicadangkan beliau. Adalah lebih sesuai bagi penuntut ilmu memilih kitab-kitab yang ditulis oleh ulama’ asyairah, yang diajarkan di Al-Azhar Asy-Syarif, seperti Kharidah Al-Bahiyyah, Jauharah Tauhid berserta syarah dan hasyiah kepada kedua-duanya.

[8] Disini penulis mahu menekankan tentang keperluan untuk memanfaatkan keberadaan mahasiswa-mahasiswi pengajian Islam di Al-Azhar Asy-Syariff dengan menghadiri halaqah-halaqah ilmu yang ada di Masjid Al-Azhar Asy-Syariff. Walaupun Farid Al-Ansory telah mencadangkan silibus-silibus beliau, dalam masa yang sama Al-Azhar sejak berkurun lamanya telah mendahului beliau dengan mempraktikkan keseluruhan yang disebut beliau.

*Kertas kerja penulisan ini telah dibentang di Teratak ABIM Mesir, Kaherah, pada 1 Disember 2015.

Leave a comment

Filed under Uncategorized