Category Archives: Travelog

Taamul : Merenungi Pemikiran Mujaddid Al-Azhar : Ash-Shaykh Hasan Muhammad Al-‘Attār Al-Azhariy.

14910540_1116458631725454_2648264675668245974_n

*Tulisan ini ditulis pasca-graduasi Ijazah Sarjana Muda di Universiti Al-Azhar Asy-Syariff (27/10/2016), sebagai satu renungan terhadap hakikat pemikiran dan sumbangan seorang Azhari yang asli dan sebenar.

‘Al-Azhariy’ adalah satu gelar yang memikul makna dan tanggungjawab yang sangat besar. Gelar ini tidak terpakai pada sebarangan orang walaupun mempunyai kaitan rapat dengan Al-Azhar, sekiranya tidak bermanhaj dengan manhaj Al-Azhar dengan mempunyai pengetahuan yang luas, keilmuan yang dalam, ketelitian yang halus, akhlak yang luhur murni, pemikiran tajdid yang bernas, dan cita-cita yang besar.

Antara tokoh ‘Al-Azhariy’ sebenar, yang perlu dicontohi dan dihayati oleh para generasi baru Al-Azhar Asy-Syariff ialah : Ash-Shaykh Hasan Muhammad Al-Attār (1182 – 1250h) yang dijawatkan untuk memegang gelar ‘Shaykhul Azhar’ dan mengetuai Masyaikhāh Al-Azhar pada 1246h , iaitu pada zaman pemerintahan Bapa Pembangunan Mesir Moden, Muhammad Ali Pasha. Gandingan diantara Shaykh Hasan Al-Attār dan Muhammad Ali Pasha, berjaya mencetuskan revolusi ilmu dan pemikiran yang sangat hebat sehingga berjaya membangunkan sebuah tamadun baru di Mesir. Shaykh Hasan Al-Attār, biasanya dikenali oleh penuntut-penuntut ilmu sekarang melalui kitab-kitabnya masyhur dengan kerumitan dan ketelitiannya dalam perbahasan seperti Hasyiah Al-Attār ‘ala Jam’ Al-Jawami’ (Usul Fiqh), Hasyiah Al-Attār ‘ala At-Tazhib Lil Khubaisiy Syarh Matn At-Tahzib Li At-Taftāzani (Mantiq), Hasyiah Al-Attār ‘ala Syarh Shaykh Islām Zakariyya Al-Ansari ‘ala Isaghuji (Mantiq) dan lain-lain.

Namun, sudut yang kurang dihayati sebaiknya oleh para penuntut ilmu sekarang adalah sumbangan idea pencerahan dan tajdid beliau dalam memecahkan kejumudan yang diamalkan oleh segelintir ulama’ Al-Azhar pada waktu tersebut yang hanya menumpukan kepada aksara huruf dan ghawamid yang ada dalam kitab-kitab turath tanpa mempunyai pandangan yang jauh serta tiada ruh kebangkitan dan pembinaan tamadun. Al-Attār, walaubagaimanapun tidak sedikitpun menolak kepentingan mendalami kitab-kitab turath dengan per-huruf dan per-kalimah, bahkan beliau sendiri begitu teliti tentang perkara tersebut seperti yang terlihat dalam karya-karya ditulisnya. Tetapi bagi beliau, ilmu-ilmu turath tersebut adalah akar-akar yang kuat bagi pembinaan sebuah tamadun yang kukuh dan beridentiti, dengan tanpa ada keraguan dan syak-wasangka dalam menghadapi arus pembangunan modenisasi.

Jiwa Al-Attār yang dipenuhi semangat intelektual yang tinggi dan himmah kepemudaan yang kental, sesekali tidak dapat menerima kelesuan, kelembapan dan kejumudan pemikiran yang melumpuhkan semangat berfalsafah, pembaharuan dan pembangunan tamadun yang berlaku di Al-Azhar Asy-Syariff. Peribadi Al-Attār sebagai seorang ‘alim thāir (revolutionist dalam bidang intelektual) dan mujaddid dibentuk oleh para guru-gurunya yang hebat, yang diantara mereka adalah Al-Imam Murtadhā Az-Zabidiy, pengarang Tājul Al-Arūs Syarh Al-Qomus, dan juga daripada pengalamannya hidup dalam zaman penjajahan Perancis keatas Mesir, serta penjelajahan beliau ke negara-negara lain, yang mana daripada penjelajahan tersebut beliau menemui ramai ulama’ dan mengumpul sebanyak mungkin ilmu-ilmu yang menjadi rahsia kemajuan dan kebangkitan sesebuah negara tersebut.

Hasil daripada itu, beliau mempunyai pandangan yang sangat luas, idea-idea pembaharuan yang segar, dan ditambah pula darah seorang thāir yang mengalir di setiap pembuluh darahnya. Al-Attār melihat kepentingan untuk menguasai ilmu-ilmu moden dan bukan hanya berpada dengan matan,syarah, hasyiah dalam ilmu-ilmu syariah sahaja. Justeru, beliau sendiri mempelajari ilmu-ilmu tersebut sehingga mahir dan mendalaminya per-huruf dan per-kalimah seperti ta’āmulnya dengan kitab-kitab turath yang lain, bahkan menulis kitab yang menjadi rujukan berkenaannya, yang terdiri daripada ; ilmu perubatan & pembedahan, ilmu ubat-ubatan/farmasi, ilmu kejuruteraan, ilmu matematik, ilmu falak, kosmologi, ilmu mantiq, ilmu kesenian dan lain-lain, disamping beliau seorang penyair handal yang mempunyai jiwa yang halus. Selain itu, Al-Attār juga menguasai banyak bahasa seperti, bahasa Turki, bahasa Perancis dan lain-lain, yang memungkin beliau untuk mengambil manfaat daripada turath-turath selain daripada turath Arab. Dengan itu, beliau turut menyeru untuk para ‘alim ulama untuk membaca juga buku-buku yang ditulis selain daripada orang Islam selepas mendapati kepentingannya dan berjaya meruntuhkan ketakutan dan kebimbangan segelintir para masyaikh yang skeptis terhadapnya.

Daripada kesedaran itu juga, melalui ketua negara, Muhammad Ali Pasha, Al-Attār mengutuskan dua anak muridnya yang terhandal, Ash-Shaykh Rifa’ah Rafi’ At-Tahtāwiy dan Ash-Shaykh Iyād At-Tantawiy, ke Perancis dan Russia, bagi mengumpul mengutip hikmah-hikmah ‘barang yang hilang’ umat Islam daripada dua tamadun yang besar pada ketika itu, bagi dimanfaatkan untuk pembangunan dan pemodenan bagi Mesir. Masyarakat Mesir sangat kenal akan Ash-Shaykh Rifa’ah Rafi’ At-Tahtāwiy dalam pembinaan Mesir Moden, kerana sumbangan dan peranannya yang sangat besar dalam perkara tersebut.

Al-Attār telah menunjukkan bagaimana seorang Azhari harus berperanan. Al-Azhari bukan sahaja seorang yang mendalami perbahasaan juz’iy yang halus-halus dan rumit di dalam kitab-kitab turath semata-mata, bahkan turut mempunyai kerangka pemikiran yang universal (kulli) dan idea pembaharuan yang jelas untuk memberi sumbangan kepada ketamadunan manusia. Itulah antara contoh keperibadian seorang Al-Azhari Al-Asīl.

وفقنا الله وإياكم على أن يكون انتماؤنا للأزهر الشريف انتماءا حقيقيا و أن يجعلنا الله تعالى – بفضله و كرمه- من سادة الأزهريين المخلصين المتبعين لمنهجه الرسيخ المتين، آمين.

 

1 Comment

Filed under Taamul, Travelog, Uncategorized

Travelog : Persinggahan Di Kota Istanbul.

Bismillahi Rahmani Rahim

image

“Pada zaman orang pendek meninggi leher,

orang tinggi yang menunduk jadi teristimewa.”

NOTA SEBELUM BERLEPAS.

Cairo International Airport.

1934 pm.

Hari Terakhir Syaaban, 1436h.

Dahulu, aku pernah menyebut, sekiranya aku berpeluang menjelajah negara orang, aku akan menjelajah dengan berteman dan menulis catatan tentang penjelajahan tersebut. Supaya manfaat jelajah itu dapat diluaskan kepada yang tidak berkesempatan juga.

Cuma, untuk kali pertama ini, ia hanyalah satu persinggahan yang tidak lama. Malah, tempat yang dikunjung pula sudah biasa dikunjungi dalam kalangan kita. Bumi Runtuhan Khilafah ini menjadi peluang untuk aku menjejak ke sebuah benua yang baru, benua Eropah.

Lama aku berfikir, akhirnya aku memilih untuk menulis juga. Walaupun ia hanya persinggahan sebentar dan kurang mencabar, paling tidak, pada diri aku, ada satu catatan pengalaman ringkas yang tersimpan. Lagi pula, sebagai mahasiswa yang tidak bersandar pada apa-apa biasiswa dan pinjaman, bukan senang dapat menjejak negara orang.

Selain itu, dapat juga kiranya aku kongsikan seberapa banyak buah fikir yang terlintas sepanjang persinggahan ini.

PERANCANGAN CATATAN.

Sebelum sampai ke bumi Istanbul itu, aku merancang untuk melakukan beberapa perkara disana.

Pertama, memandangkan kedatangan aku ke sini pada bulan Ramadhan, sudah tentu aku mahu melihat adat masyarakat di sini menyambut kedatangan bulan mulia Ramadhan. Sambutan yang tentu berlainan diantara satu negara dengan negara yang lain. Berkebetulan pula persinggahan ini tepat jatuh pada tanggal 1 Ramadhan. Aku bercadang untuk menulis sedikit perbandingan tentangnya.

Kedua, dalam keadaan politik Turki pasca-pilihan raya ini, aku mahu melihat pandangan politik rakyat disana. Waktu perenggan ini ditulis, media dan penganalisis politik hangat membincangkan tentang kemerosotan sokongan kepada AK Party dan membayangkan apakah halatuju dan stratergi mereka selepas ini.

Namun, mungkin faktor waktu yang singkat dan masalah bahasa untuk berkomunikasi, aku tidak akan mendapat tasawwur yang tepat. Jadi, aku hanya akan tulis sedikit berkenaannya.

Ketiga, aku mahu melawat kedai-kedai buku dan membeli beberapa daripadanya untuk pembacaan masa cuti di Malaysia nanti.

Keempat, aku mahu melawat beberapa tempat bersejarah dan taman-taman yang cantik disana. Sudah sering kali mendengar tentang keindahan Kota Instanbul ini, jadi keterujaan itu terbentuk untuk melihatnya dengan mata kepala sendiri.

Kelima, aku mahu belajar kehidupan di Turki dan adat-adat mereka seberapa banyak, supaya, jika aku berpeluang datang ke sana lagi di masa hadapan, aku boleh bawa diri sendiri tanpa kekok dan janggal. Aku menyimpan harap, agar dapat ke sini lagi dengan teman yang lain pula. Insha Allah.

TURKI : ANTARA SEJARAH DAN MASA KINI.

Turki, pada akhir waktu ini, banyak mempamerkan peranan sebagai aktor hero paling berani bagi umat Islam, di saat pemimpin-pemimpin dunia Islam lain semua menikus. Untuk isu-isu umat ketika ini, tiada negara yang lebih terkehadapan dalam memperjuangkannya melebihi apa yang dilakukan oleh Turki.

Warga dunia semestinya tidak lupa bahawa Turki ini juga pusat pemerintahan terakhir bagi Khilafah Islamiyyah, iaitu Kerajaan Turki Uthmaniyyah.

Dengan waktu lalu yang gemilang, kejatuhan khilafah, kesulitan menghadapi sekularisasi, sehinggalah ia kembali memegang aktor hero umat Islam,Turki tentu punya sejuta satu cerita disebalik itu.

Aku mula mengambil sedar. Ini Instabul, ibu kota negara Turki. Tanah yang akan ku pijak ini bukan calangan daratan.

Keterujaan mula membesar di hati. Tuhan, berkati perjalanan ini.

Bismillah.
image

SAMPAI DI ISTANBUL.

Perjalanan dari Kaherah Ke Istanbul tidak lama, hanya 2 jam. Kami disambut oleh Ahmad yang sudah sedia menunggu di Lapangan Terbang Attarturk tersebut.

Malangnya, Ahmad dan seorang lagi kawannya hanya datang dengan sebuah kereta yang besar sedikit daripada ‘mini cooper’. Padahal kami berempat, dicampur bagasi-bagasi kami lagi. Akhirnya,disumbat jua kesemuanya ke dalam kereta tersebut dan masing-masing berhimpit. Ikan sardin dalam tin boleh jadi lebih selesa daripada keadaan kami ketika itu.

Namun, keterujaan kami meletakkan kasut di bumi Istanbul, menyebabkan kami jadi tidak kisah dengan ‘kesempitan’ tersebut.

Kami sampai di Al-Madrasah An-Nuriah dengan selamat. Selesai kami meletakkan bagasi, Ahmad memperkenalkan kami kepada penghuni madrasah tersebut. Mereka sangat suk berbual dan bergurau, jadi tidak lama untuk kami sama-sama bergelak dengan lawak mereka dan menghilangkan kekok berada di madrasah tersebut

Rupa-rupanya, waktu sahur sudah hampir, walaupun jam di dinding baru menujukkan pukul 2 pagi. Subuh disini sangat awal, sekitar jam 3.00 pagi.

SAHUR BERSAMA PEMUDA AN-NUR.

Sahur itu meriah dengan hilai-tawa pemuda Al-Madrasah An-Nuriah, di Basari Okulu. Mereka sangat mesra dan rancak berjenaka. Tidak lama kami mengambil masa untuk serasi dengan mereka walaupun bahasa menjadikan kami seperti itik dan ayam apabila berkomunikasi. Lucunya apabila masing-masing berusaha untuk memahami dan memahamkan. Kebanyakan mereka kurang mahir berbahasa selain bahasa ibunda mereka, bahasa Turki.

Dengan perantara Ahmad dan Mujahid yang mahir berbahasa arab dengan Furqan yang mahir berbahasa inggeris, sedikit sebanyak kami dapat apa yang cuba disampaikan.

Ada seorang pemuda yang cukup unik, Aron (kurang pasti ejaan) namanya. Beliau antara yang paling bersungguh-sungguh menceritakan kepada kami sesuatu dalam bahasa turki dengan menggunakan isyarat badan dan suara yang sangat kelakar. Puas kami meneka apa yang ingin disampainya, puas juga dia membuat gaya supaya kami faham. Kadang-kadang, kami hanya tergelakkan gayanya tanpa faham maksud yang ingin disampaikan.

Ingatkan ketika sahur itu sahaja suasana begitu, bahkan setelah solat subuh berjemaah dan zikir, mereka menyambung jenaka dan sakat-menyakat satu sama lain.

Mereka pemuda yang penuh keriangan, melayan karenah mereka kurang terasa keletihan safar dari Kaherah ke Istanbul.

KEBIASAAN PEMUDA AN-NUR SEHARIAN.

Pemuda disini, mereka hidup saling bergotong-royong. Kami melihat bagaimana akrabnya mereka antara satu sama lain ketika menyediakan makanan sahur. Tugas-tugas sepertinya tidak dibahagikan, tapi masing-masing tahu apa yang perlu mereka lakukan.

Untuk sahur, mereka menghidangkan roti-roti yang besar yang dicicah dengan kuah tomato yang dimasak dan berserta dengan keju masam. Juga, ada buah-buahan seperti tembikai dan buah tin. Syai (teh) adalah minuman wajib yang tidak boleh ditinggalkan.

Sepertinya tidak jauh dengan kebiasaan makanan orang Mesir. Bahkan, kuah tomato yang dihidangkan persis sekali dengan rasa ‘syabsyukah’ mesir.

Selesai solat subuh, mereka duduk membaca wirid selama 15 minit dan rasail an-nur dalam satu bab. Untuk subuh yang begitu awal, tidur semula selepas solat adalah keperluan, kemudian bangun semula pada waktu pagi. Jika tidak lakukan sedemikian, keseluruhan musim panas, kamu tentu akan tidak akan tidur langsung.

MASALAH BAHASA UNTUK BERKOMUNIKASI

Namun harus diakui, persinggahan ini sedikit sukar kerana gagal untuk memahami bahasa komunikasi penduduk setempat.

Aku melihat keperluan untuk seseorang daie itu menguasai lebih daripada tiga bahasa bagi membawa risalah Islam dengan lebih luas. Segala puji bagi Allah, selain bahasa ibunda, Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris, telah dikuasai dengan baik.

Ketiga-tiga bahasa ini memang dikuasai ramai dalam kalangan kita. Kita perlu untuk meluaskan penguasaan bahasa lebih daripada itu. Terutamanya, bahasa yang paling banyak digunakan oleh penduduk sfera kehidupan ini seperti Mandarin, Urdu, Bahasa negara-negara eropah dan lain-lain.

Bagi aku juga, bahasa Turki juga tidak kurang penting untuk dikuasai. Lebih-lebih lagi, hubungan erat masyarakat Malaysia-Turki sudah sedia terjalin perlu diperkukuhkan dengan interaksi pertukaran ketamadunan ilmu dan tajrubah, satu sama lain. Khususnya, dari sudut pembangunan ekonomi dan beberapa bidang lain.

Turki yang dulunya digelar ‘orang sakit eropah’, sekarang sudah ‘berdiri sihat’ sebagai salah sebuah negara yang dicontohi dan disegani.

image

HARI PERTAMA

Hari pertama menghabiskan masa menjamu pandangan sekitar Sultan Ahmed, Hagia Sofia dan melawat Muzium Topkapi.

Tempat pelancongan yang sangat indah dan mengagumkan. Bersih dan terjaga. Aku harus teruja kerana aku datang dari tanah Kaherah, ia bagaikan masuk ke alam baru.

Tiada kata untuk menggambarkan perasaan itu.

Daripada tempat penginapan, kami terus menghala ke Kabatas dengan bas awam, kemudian mengambil trem untuk ke stesen Sultan Ahmet. Di kawasan Sultan Ahmet tersebut beberapa kali tersempak dengan bangsa sendiri. Tahulah kami bahawa tempat yang dilawat ini terlalu biasa dikunjungi rakyat Malaysia.

Masjid Sultan Ahmet, sebuah masjid yang tersergam indah dengan binaannya yang menarik. Bentuk binaan yang hampir serupa juga aku dapati di beberapa masjid yang dilawati semasa perjalanan ini. Selesai solat Zohor, terus bergerak ke Hagia Sofia yang berada tidak jauh dari situ. Seni bina kedua-duanya sungguh indah dan mengagumkan.

Aku sebenarnya perlukan lebih banyak masa untuk mengamati keindahan disitu. Belum sempat puas menjamu pandangan, kami terpaksa berjalan lagi kerana tempat yang ingin dilihat masih banyak dan waktu cukup singkat.

Aku boleh katakan bahawa Istana Topkapi adalah kemuncak keterujaan untuk hari pertama. Tempatnya dihiasai dengan pemandangan sungguh indah dan cantik. Terutamanya, pada bahagian yang menghadap Laut Bosphorus. Ditambah keredupan awan dan tiupan angin lembut, ia tempat yang cukup tenang dan romantis.

Aku rasa ingin sekali berkongsi pemandangan itu. Malang sekali, keupayaan kamera tidak mampu menayangkan keindahan itu seperti ia dilihat dengan mata kepala sendiri. Apatah lagi, redup awan dan tiupan angin tidak mampu dirasai melalui gambar.

Ia satu kawasan yang cukup luas, longgar lutut-lutut kami mengelilinginya. Setiap inci dari tempat tersebut mempunyai kesenian dan keistimewaan tersendiri. Bilik-bilik tertentu cukup klasik dan antik. Susun atur Istana tersebut sangat menakjubkan, melambangkan kemewahan dan kebesaran kuasa Khilafah Uthmaniyyah pada ketika itu.

Begitu juga, khazanah tinggalan Uthmaniyyah daripada alatan perang, barangan-barangan diraja, yang dipamerkan disitu cukup berseni. Alangkah kalau ahli seni dalam bidang tersebut datang melihat peralatan tersebut, sudah tentu tidak cukup untuk hanya melihat setiap satu daripadanya hanya seminit dua, kerana kesenian setiap dari barang tersebut sangat halus dan punya makna yang tinggi.

Yang paling istimewa juga ialah, atsar-atsar (bahan tinggalan) Rasulullah s.a.w dan para sahabat. Daripada janggut dan rambut Rasulullah s.a.w, pedang Rasulullah s.a.w dan para sahabat, serta beberapa tinggalan lain, dipamerkan yang dihalang sekeping kaca.

Untuk tempat ini, aku juga perlukan lebih masa untuk menghidupkan rasa sentimental, namun ketergesaan membuatkan aku tidak sempat puas.

Kalau berpeluang sekali lagi datang kesini, akan ku habiskan masa sepenuhnya dan sepuasnya menikmati pandangan syurga dunia. Kalau memakan masa satu hari suntuk, aku akan habiskannya juga.

image

PUASA ANTARA MALAYSIA, MESIR DAN TURKI.

Kami menukar plan dengan memilih untuk berbuka di kedai makan, daripada berbuka di tempat iftar percuma di halaman Masjid Sultan Ahmet. Kami memang diberitahu awal bahawa tempat itu kebiasaan terlalu sesak dengan manusia, jadi ia sudah tentu agak menyulitkan. Sudah tentu, kerana disitu tempat tumpuan pelancong yang tidak kunjung surut dari manusia, apatah lagi di waktu malam.

Maka, kami membuat keputusan untuk makan di kedai berdekatan yang mempunyai wi-fi. Lebih tenang dan selesa sambil melayari internet. Dapat menghantar berita kepada keluarga di tanah air. Menanti iftar, aku menggunakan waktu itu untuk menulis perenggan ini.

IFTAR UMUM PERCUMA.

Di Mesir, hidangan iftar percuma sebegini disebut dengan ‘maidaturrahman’, yang boleh dijumpai di tepi-tepi jalan rayanya. Ia cukup menambahkan warna kemeriahan bulan Ramadhan di sana. Maidaturahman ini, kebiasaanya menyediakan hidangan yang lengkap, dengan syai bil balah (teh campur kurma) nasi, roti aisy dan kuah kacang. Memadai dengan berbuka dengannya, kamu sudah selesa untuk menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Terawih.

Bahkan di Malaysia juga ada iftar percuma sebegini di masjid-masjid dan tempat tumpuan ramai. Maka, penyediaan makanan berbuka puasa secara umum, sudah menjadi adat kebiasaan yang dikongsi ketiga-tiga negara ini.

TEMPOH PUASA DAN SAHUR.

Perbezaan puasa bagi setiap dari negara tersebut, Malaysia, Mesir dan Turki ialah mungkin berkaitan dengan tempoh waktu berpuasa.

Jika di Malaysia, kita pada kebiasaannya berpuasa dalam tempoh 13 jam. Manakala di Mesir pula selama 16 jam, dengan subuh seawal pukul 3 setengah pagi dan berbuka pada sekitar jam 7.00 malam.

Di Turki pula ia selama 17 jam. Paling lama diantara tiga negara ini. Subuh seawal pukul 3.30 pagi dan waktu berbukanya pada pukul 8.40 malam. Manakala Isyak pula masuk pada pukul 10 setengah malam.

Jadi dicampur terawih, ia hanya tinggal 2 jam lebih sebelum masuk waktu subuh. Pada kebiasaan adat masyarakat Turki, dengan melihat di tempat kami menginap, mereka akan menunggu sahur.

Sahur yang mereka sediakan ialah roti dan beberapa ‘lauk’. Lauk itu pelbagai, ada kentang yang dimasak dengan telur, ada juga lauk tomato (kalau di Mesir ia disebut syabsyukah), ada juga lauk daging berserta dengan keju, buah zaitun, dan buah tembikai.

TERAWIH.

Cuma, kebiasaan yang mungkin berbeza juga ialah solat terawih. Kami menunaikan solat terawih di Masjid Ahmet, dan Imam hanya membaca satu ayat pada setiap rakaat. Kesemua sekali sebanyak dua puluh rakaat.

Adat terawih di sini paling ringan jika dibandingkan dengan Malaysia dan Mesir. Namun, harus diakui masing-masing punyai keistimewaan yang tersendiri dalam mengisi nafas Ramadhan dengan ibadat.

Merasai Ramadhan dan mengetahui adat negara lain menyambut Ramadhan sangat mengujakan.

Alhamdulillah atas pengalaman ini.

MALANG TIDAK BERBAU

Hari kedua, hari yang sedikit tidak bernasib baik. Ketika kami mengeluarkan wang dari mesin ATM, malang sekali, kad yang aku gunakan telah ditelan oleh mesin tersebut.

Dengan wang di dalam dompet yang ada tidak lebih dari 100 lira, aku jadi risau kalau-kalau terpaksa berhutang dengan sahabat-sahabat yang lain dan menyusahkan mereka.

Tambahan pula, tab yang aku gunakan tidak dapat dicas kerana tiada wayar yang sesuai untuk menyambungnya ke charger. Ia menambah sedikit gusar.

Bagaimana aku menyelesaikan masalah kad tersebut ?

Plan pertama, kalau mahu mengeluarkan kad dari mesin ATM tersebut tentu prosedur akan banyak. Kami berikhtiar juga untuk pergi ke cawangan bank berdekatan, namun ‘pertolongan’ yang diberikan oleh pegawai bank tersebut adalah menyuruh kami menghubungi no. khidmat pelanggan dan memberitahu mereka. Kami dapat jangkakan bahawa proses untuk mereka pergi ke mesin ATM itu dalam mengeluarkan kad darinya dan memberinya semula kepada aku, tidak semudah itu. Jadi, plan pertama tidak berhasil.

Maka, plan kedua ialah, memindahkan wang tersebut ke dalam bank lain. Kebetulan, aku mempunyai satu lagi akaun bank lain yang berfungsi untuk pengeluaran wang di luar negara. Jadi, aku tidaklah memberatkan sahabat yang lain untuk menumpang kad dan akaun mereka.

Aku menghubungi keluarga, memberitahu apa yang berlaku dan meminta untuk memindahkan wang ke dalam akaun tersebut. Alhamdulillah, semuanya berjalan baik, tapi ia pada realiti tidak semudah dan setenang aku menulisnya disini.

DI FATEH CAMI.

Hari-hari berikutnya, kami habiskan di tempat-tempat yang biasa dikunjung orang apabila datang ke Istanbul.

Hari jumaat, kami menunaikan solat Jumaat di Fateh Cami. Dataran Fateh Camii dipenuhi dengan bendera hitam-putih dengan tulisan syahadah, semasa solat Jumaat tersebut. Mereka adalah kumpulan Hizbut Tahrir, yang sememangnya terkenal dengan perjuangan mereka untuk mengembalikan semula khilafah Islam. Laungan takbir, “khilafah, khilafah..” dan diselangi ucapan pemimpin mereka di dalam bahasa Turki kedengaran sebelum gerombolan itu keluar dari perkarangan masjid menuju satu tempat di tepi jalan raya. Pasukan polis anti-rusuhan sudah berbaris rapi dengan lengkap bersenjata di luar masjid, melihat gelagat mereka dari jauh. Bersedia dengan apa-apa kemungkinan.

SEKULAR DI TURKI & LAUNGAN KHILAFAH SECARA TERBUKA.

Aku tidak tahu sejauh mana sensitiviti masyarakat, khususnya yang memihak sekular dan bukan Islam di Turki, terhadap laungan-laungan ingin menegakkan semula khilafah secara terbuka di tempat-tempat awam sebegitu. Sebab, apa yang aku tahu pengaruh sekular masih begitu kuat disini.

Atau, mungkin sensitiviti itu mula memudar selepas beberapa penggal Turki telah di pimpin oleh golongan Islamis daripada AK Party, yang dikepalai Rejab Tayyib Erdogan. Justeru, kumpulan pro-khilafah ini berani melaungkan kebangkitan khilafah itu secara terbuka.

Untuk tempoh dua hari, aku memang seorang yang naif terhadap situasi yang aku lihat itu.

Namun, kemudiannya, aku diberikan penjelasan oleh seorang mahasiswa yang menuntut disini, bahawa situasi itu sudah kerap berlaku. Secara literalnya, perhimpunan untuk menunjukkan sokongan yang pro-Islam biasanya dibuat di situ. Ada juga dari golongan sekular, mereka pula lakukan perhimpunan di Taksim Square. Ia pemandangan yang normal.
image

MELAWAT KEDAI DAN BOOTH MENJUAL BUKU.

Aku juga sempat untuk singgah di pesta buku, yang mempunyai 4 khemah besar. Juga, sempat menziarah sebuah kedai buku berhampiran madrasah tempat kami menginap di Kaghitane Baladeyesi, berhampiran stesen metro 4 Levent.

Malang sekali, buku 99 % adalah berbahasa Turki. Hampir setiap booth aku bertanyakan buku-buku english, tapi jawapannya cukup mengecewakan. Tiada.

Walaubagaimanapun, ada sekitar lima buah buku english yang berjaya dijumpai, aku hanya membeli salah satu daripadanya. Dua daripadanya adalah novel tentang kesufian dan satu tentang Rumi.

Buku yang aku beli tersebut sebenarnya aku pernah pinjam dan baca separuh jalan daripadanya, ia berjudul ; Religious Struggle In Turkey – During The Tranformation From Chaliphate To Secular Republic, dikarang Sadik Al-Bayrak.

Ia mengisahkan bagaimana proses sekularisasi mula berlaku di Turki dan perjuangan sesetengah kelompok masyarakat yang berusaha untuk mengekal pengamalan islami dan legitimasinya serta melawan arus  sekularisasi.

Dengan harga 7 lira, ia tidak menyebabkan aku teragak-agak untuk menghulur wang. Aku simpannya sebagai bekalan bacaan semasa cuti di Malaysia nanti.

DI PANORAMA & MINIATURK.

Panorama Muzium merupakan satu muzium yang menyusun semula kronologi-kronologi dari awal perancangan oleh Sultan Muhammad Al-Fateh sehingga beliau dapat menawan kota Konstantinopel daripada tangan Byzantine. Motivasi utama beliau adalah daripada sebuah hadis Nabi s.a.w, yang menyebut bahawa kota Konstantinople akan dibuka oleh sebaik-baik ketua dan sebaik-baik tentera.

Antara peristiwa penting dalam kemenangan itu ialah, kejayaan tentera-tentera Islam mampu untuk melayarkan kapal-kapal melalui bukit-bukit hanya dalam masa satu malam, yang akhirnya berjaya melepasi rantai besi yang menghalang mereka untuk mendekat kubu-kubu pertahanan Byzantine.

Selesai di Panorama, kami bergerak ke Miniaturk. Miniaturk adalah tempat untuk kita melawat kesemua tempat pelancongan yang bersejarah di Turki dalam masa satu hari.

Ia adalah satu taman yang mempamerkan monumen-monumen bangunan yang biasa menjadi kunjungan pelancong apabila berkunjung ke Turki.

BERANGKAT PULANG.

Pulang ke tanah air, tidak lama untuk kami merindui pemuda-pemuda di Al-Madrasah An-Nuriah yang sangat baik melayani kami dan banyak membantu kami sepanjang kami disana. Pengalaman tinggal bersama mereka sangat menyeronokkan.

Antara pengalaman yang menarik ialah, pengalaman bersahur bersama mereka. Tidak sah kalau tidak riuh dengan hilai tawa, sakat-menyakat, dan berlawak. Namun, disamping karakter bersahaja itu, mereka pemuda yang soleh, kuat beragama dan berakhlak. Untuk karakter yang begitu, tidak susah kami menyesuaikan diri dengan mereka, walaupun ada halangan bahasa. Beberapa ketika sahaja, kami seolah salah seorang dari ahli keluarga mereka.

Ia ibarat pertemuan dua dunia yang berbeza. Mereka takjub pada apa yang menjadi kebiasaan kami, dan kami juga takjub apa yang menjadi kebiasaan mereka. Soalan demi soalan diajukan antara satu sama lain untuk mengenali lebih dekat dan rapat.

Setiap topik bual yang dibuka, mereka akan sambut, layan dan panjangkan perbualan tentangnya. Daripada makanan, pakaian, adat, setiap kali topik dialih ada saja yang dijadi modal untuk dibualkan dan dilawakkan.

Mereka sememangnya suka berbual, membuatkan suasana jadi meriah. Namun nyatanya, kebaikan dan keramahan mereka sangat berbekas di hati kami.

image

MEMULIAKAN TETAMU

Sesungguhnya, memuliakan tetamu ini sangat diberikan perhatian oleh Islam.

Rasulullah s.a.w bersabda ;

من كان يؤمن بالله و اليوم الاخر فليكرم ضيفه

Maksudnya : Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya.

Memuliakan tetamu dapat menjalinankan ukhwah dan menumbuhkan mahabbah. Selain mengikat hati untuk terus berhubung antara satu sama lain.

Mereka telah mengajarkan kami bagaimana memuliakan tetamu secara praktikal dan realiti. Ia satu pengajaran yang cukup berharga.

HARI TERAKHIR.

Kami meninggalkan Istanbul dengan rasa berat hati.

“Kamu balik pada masa yang tak tepat. Kami baru berhajat mahu mengajak kamu untuk berjalan-jalan dan bbq di hutan”, kata Furqan.

Mereka membantu mengangkat bagasi-bagasi kami yang berat sehingga ke stesen Metro berdekatan untuk menuju ke lapangan terbang.

Perpisahan itu terasa sedikit sukar setelah apa yang mereka layani kami dengan baik sekali. Mereka mengajak untuk datang menziarahi lagi pada masa akan datang, dan kami mengiyakan dan mengatakan insyaAllah.

Kami sememangnya menyimpan hajat untuk datang kembali ke sini lagi. Moga diberikankan peluang sekali lagi, biiznillah.

Naqiuddin Ansarullah.

Leave a comment

Filed under Catatan, Travelog