Ulasan Buku : Cita Sempurna Warisan Sejarah, Syed Hussein Al-Attas.

image

Syed Hussein Al-Attas (1928 -2007)

‘Cita Sempurna, Warisan Sejarah’ adalah salinan syarahan Syed Hussein Al-Attas (SHA), dalam siri ‘Syarahan Umum Bangi’. Ia antara karya SHA yang memerlukan renung dalam oleh masyarakat merdeka Malaysia. Ia, ringkasnya, menghuraikan tentang tiga cita ; Cita Sempurna, Cita Bencana dan Cita Sejarah.

Syed Hussein Al-Attas memberi takrif kepada konsep ‘Cita Sempurna’-nya, sebagai, “..satu pandang hidup yang menyeluruh, bertujuan mencapai masyarakat sempurna.” Lawan kepada Cita Sempurna ini ialah Cita Bencana, dimana SHA menyebut, “Cita bencana ini adalah, semua yang bertentangan dengan cita sempurna.” Manakala Cita Sejarah pula, ditakrifkan dengan, “..konsep sempurna yang dipancarkan keatas sejarah.”

Ketiga-tiga komponen cita ini (Sempurna, Bencana & Sejarah), pada saya, komponen yang holistik untuk membayangkan apa yang difikir SHA, selaku pakar sosiologi tempatan dan nusantara, bagi mewujudkan ‘masyarakat sempurna’ dengan realistik, bukan utopia.

Cita sempurna itu ada janib mutlak (absolute) dan nisbi (relatif)-nya. Pada yang absolute, ia melihat kepada nilai-besar, seperti nilai kasih-sayang, cinta, keadilan, kebebasan, keamanan dsb. Tiada siapa yang boleh mendakwa bahawa nilai ini relatif, contohnya mengatakan kasih sayang itu cita bencana atau perhambaan itu cita sempurna.

SHA memberikan contoh melalui kisah penderaan di Zaman Pemeriksaan (Inquisition) dan hukuman secara kejam keatas perempuan yang membunuh anak luar nikah-nya, dengan disiat badannya enam kali dengan besi panas, sebelum dibakar hidup-hidup. SHA menyebut, “Semua manusia di dunia bersetuju, inilah tindakan dera, (hatta mereka yang melakukan penderaan tersebut). Penentuan ini tidak relatif. Akan tetapi, penentuan ini adalah mutlak. Cita masyarakat yang menerima hal ini adalah cita bencana, dan bukan cita sempurna.”

Cita sempurna ialah, satu pandang hidup menyeluruh untuk mencapai masyarakat sempurna, dengan nilai sempurna itu merata pada individu dalam masyarakat. Cita bencana pula, satu pandang hidup menyeluruh yang membawa masyarakat kepada bencana.

SHA memberi contoh dengan kisah pemuda Jepun, Sagawa yang telah menyembelih dan memakan manusia, beliau kemudiannya dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan tetapi hanya diputuskan sebagai ‘tidak waras’, dan perlu dirawat di hospital. Semasa di hospital, seorang penulis telah menemu-ramahnya menulis buku tentang penjenayah makan orang tadi, kemudian menerbitkan buku ‘In The Fog’ berkaitan jenayah Sagawa. Sagawa mulai menjadi popular, kemudian beliau dibebaskan dari hospital. Beliau menjadi seorang yang berjaya, dengan menulis buku, dijemput ke program televisyen untuk menceritakan kejadian tersebut, dan lapan tahun kemudian, dia berjaya membuka kedai makan vegetarian di Tokyo. SHA berseloroh, “Rupanya jenayah betul-betul menguntung pemakan orang ini”.

Cita bencana terzahir apabila tindakan membunuh dan memakan manusia itu, diterima masyarakat sebagai sesuatu yang menakjubkan dan ajaib, dan bukan dipandang sebagai kekejaman dan jenayah.

Cita Sejarah pula, apa yang ditampilkan dengan pelbagai peristiwa dalam rentang sejarah dunia yang memperlihatkan manifestasi cita sempurna dan bencana. Misalnya, Deklarasi Hak Manusia yang diluluskan oleh Majlis Kebangsaan Perancis, hasil dari Revolusi Perancis 1789m, mewajahkan cita sempurna yang dijiwai masyarakat, selepas kehampaan penindasan, kemiskinan, penghinaan, pertumpahan darah dll, mereka mahukan nilai-nilai baik dari cita sempurna. SHA seterusnya membentangkan empat jenis pemimpin, kerana jenis pemimpin itulah yang mencorak masyarakat, samada menjiwai cita sempurna atau cita bencana.

Jenis pertama dan kedua, ialah pemimpin yang menjadikan pemerintahannya dipandu oleh cita sempurna, seperti yang ditunjukkan Umar Ibn Abd Al-‘Aziz dan Salahuddin Al-Ayubi. Jenis yang ketiga, SHA menyifatkannya dengan, “..mereka yang menonjolkan tujuan cita sempurna dalam pentadbirannya, tetapi dalam tindakan peribadinya terhadap musuh dan luar sahabat, adakalanya kejam dan buas.” Jenis keempat adalah pemerintahan jadong, yang menjiwai cita bencana.

SHA memberi komentar, “Sifat manusia yang berkuasa menentukan jenis cita sejarah yang dia pilih, ini seterusnya menentukan cara kekuasaan ini digunakan.”

Pada saya, konsep cita sempurna SHA ini adalah ; thaqafah sāidah masyarakat yang mampu membuatkan mereka memberikan penilaian yang betul terhadap sesuatu kejadian atau perkara, untuk membawa mereka menuju kepada ‘masyarakat sempurna’.

SHA membayangkan bahawa, yang mencorakkan thaqafah sāidah adalah dari kalangan pemimpin masyarakat tersebut atau kuasa politik. Namun, yang mampu melawan pengaruh ini adalah golongan intelektual dari masyarakat marhein (baca Intelektual Masyarakat Membangun dan buku Minda Tertawan, Raja Aminullah) dan kebanggaan terhadap jati diri keagungan bangsa yang tidak terpengaruh dengan mitos-mitos yang merosakkan yakin mereka (baca Mitos Peribumi Malas).

Tentang mewujudkan cita sempurna, ia sesuatu yang perlu direnung-fikir oleh masyarakat kita pasca-merdeka ini. Saya tidak memikirkan sesuatu penyelesaian yang efisyen, selain apa yang telah dibayangkan oleh SHA melalui kefungsian kaum intelektual dalam masyarakat, dalam melawan arus pengaruh pemimpin jadong dan kuasa politik terhadap thaqafah sāidah masyarakat, dan membawa perubahan cita sempurna dalam aspirasi masyarakat.

Selain, perlu diketahui bahawa, terus menyandarkan belakang dan harapan pada politikus-politikus yang oportunis, korup dan hanya pandai beretorik, serta membiarkan mereka mencorak thaqafah sāidah masyrakat ini, adalah cita bencana kita yang perlu dileraikan.

Seperti yang diungkapkan SHA diakhir tulisannya ;

“Mengenai cara untuk menghidupkan pengaruh cita sempurna, yang penting adalah membangkitkan kesedaran rakyat tentang tujuan dan peranannya secara besar-besaran, supaya golongan yang berkuasa akan berdayung mengikut arus, bukan bermain di pantai yang senyap !”

—-

Merdekalah, masharakat-ku !

Advertisements

Leave a comment

Filed under Catatan, Fikrah, Taamul, Ulasan Buku

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s