Monthly Archives: April 2017

Terjemahan : Al-‘Aṭṭār, Jejambat Dua Peradaban.

image

Al-‘Aṭṭār : Jejambat Dua Peradaban.

Oleh : Ash-Shaykh Usamah Sayyid Al-Azharī –hafizahullahu taala-
Terjemahan : Naqiuddin Ansarullah –ghafarallahu ẓunubah-

Bismillahi Rahmani Rahim.

Bahawasanya al-Imām al-Kabīr ash-Shaykh Hasan al-‘Aṭṭār, Shaykh al-Azhar, mempunyai ‘aqliyyah fāriqah (akal pembeza), yang mengetahui ‘kunci-kunci’ pembinaan tamadun. Beliau memiliki kelapangan dada, keluasan ilmu, kecerdasan fikiran, keteguhan ‘akal dan ketenangan jiwa, yang telah menjadikan beliau dapat menguruskan krisis dan berinteraksi dengan peristwa-peristiwa sukar dengan jayanya. Beliau tidak ditimpa dengan kekusutan pemikiran, tidak gugur pula dihadapan kegawatan peristiwa-peristiwa yang berdarah. Beliau menjalani kehidupan diwaktu kemasukan penjajahan Perancis keatas Mesir, namun tidak menimpa-nya pertembungan akal dan perasaan, seperti apa yang berlaku dengan seorang sejarawan Mesir, al-Jabartī. Bahkan, akal-fikirannya memerhatikan peristiwa-peristiwa yang berlaku dengan terperinci, dan seterusnya bertindak daripada pengetahuan tentangnya yang kukuh dan jelas kepada menghuraikannya, sehingga mengetahui apakah disebalik peristiwa-peristiwa tersebut daripada sebab-sebab, faktor-faktor dan pendorong, serta apa yang akan berlaku daripada implikasi, hasil dan akibatnya. Kesemua perkara tersebut dicetus dengan keluasan ilmu beliau ilmu-ilmu azhariyyah (ilmu yang diajarkan di al-Azhar al-Syarif), samada ilmu-ilmu aqliyyah, ilmu-ilmu lughawiyyah, dan ilmu-ilmu syar’iyyah. Maka, berhimpunlah acuan dalam pembentukan pengetahuan, iaitu ; i) mengetahui waqi’e (realiti) dengan sangat teliti, ii) memahami syariat yang mulia dengan sangat teliti, iii) mengikat kedua-duanya (kefahaman waqi’e dan syariat) dengan jayanya dan ketulenan kefahaman. Sehingga seorang ‘ālim, Ahmad Tīymur Bāshā menyatakan dalam kitabnya ‘A’lām al-Fikr al-Islamī fi al-Waqt al-Hādis’ (Tokoh-tokoh Pemikiran Islam di Zaman Moden) ;

“Khulasahnya, bahawa ash-Shaykh Hasan al-‘Aṭṭār mempunyai satu pendirian yang komprehensif terhadap permasalahan-permasalah dizamannya dari sudut kebudayaan, pendidikan, kesasteraan, dan politik. Beliau telah berusaha untuk mendiagnosis realiti ini, dan menentukan sudut-sudut kelemahan padanya, sepertimana juga beliau telah menyeru kepada reformasi, dan beliau turut melakarkan peta perancanaan bagi reformasi itu, kemudian melaksanakan peranannya dalam reformasi tersebut.”

Hasil daripada perkara itu semua, terbentuklah disisi al-‘Aṭṭār pandangan yang menyeluruh, diantaranya adalah mengutuskan sebilangan daripada anak-anak murid yang pintar ke pelusuk-pelusuk dunia, bagi mencari ‘kunci-kunci’ pengetahuan yang wajib untuk dimiliki. Beliau mengutus Rifā’ah Rāfi’ at-Tahtāwī ke Perancis, dan mengutus Muhammad ‘Ayyāḍ at-Tantāwī ke Russia, maka kedua-dua mereka tinggal melalui pengalaman-pengelaman mereka dengan terperinci. Rifā’ah at-Tahtāwī seterusnya mahir bahasa Perancis; kerana ianya kunci kepada tanggungjawab ini, begitu juga ‘Ayyād at-Tantāwī mahir bahasa Russia. Rifā’ah at-Tahtāwī ‘menyelam’ dalam masyarakat Perancis dan meneliti setiap perkara yang berlaku, sepertimana juga ‘Ayyād at-Tantāwī ‘menyelam’ dalam masyarakat Russia dan meneliti setiap apa yang berlaku disana. Setelah itu, Rifā’ah at-Tahtāwī menghimpunkan kesimpulan dan pemerhatiaanya dalam rehlah-nya itu dalam ‘Takhlīs al-Ibrīz Fi Talkhīs al-Bāriẓ’, sepertimana juga dilakukan oleh ‘Ayyāḍ at-Tantāwī yang mengumpulkan pengalaman, penelitian dan analisanya sewaktu rehlahnya dalam ‘Tuhfah al-Azkiyā Fi Akhbar Bilad Rūsiyā’, dan begitulah seterusnya persamaan yang wujud diantara dua tokoh besar bagi Mesir ini. Namun, ditakdirkan bahawa Rifā’ah pulang ke Mesir dan memberikan sumbangan kepadanya, manakala ditakdirkan pula bahawa ’Ayyāḍ menghabiskan baki umurnya di Saint Petersburg, Russia, sehingga beliau wafat dan dikebumikan disana. Ini menjadikan pengaruhnya sangat mendalam di Russia, apabila beliau mengajar dan memberikan manfaat selama empat puluh tahun dan Qaisar (Raja) telah mengambilnya sebagai penasihat, dan telah mengikutinya pemuka-pemuka tertinggi kerajaan Russia. Seorang orientalis Russia memperakaui sumbangan-sumbangan ilmiahnya yang besar, dan Ilmuan Besar, Ignaty Krachkovsky telah mengarang sebuah buku penting berkaitannmya (‘Ayyāḍ). Ia telah diterjemahkan dalam Bahasa ‘Arab, dan dicetakkan disini, Mesir, di Kementerian Kebudayaan. Pada Februari yang lalu (2016), Muassasah al-Misriyyah al-Rusiyyah Li al-Tsaqāfah wa al-Ulūm telah mengadakan perayaan besar-besaran bersempena hari mengingati al-Shaykh al-Mu’allim ‘Ayyāḍ at-Tantāwī di kampungnya Nagrig, daerah Basioun, di wilayah al-Gharbiyyah, Mesir. Nadwah yang telah diadakan turut mengedarkan buku-buku berkenaan riwayat hidupnya dan turath-nya, serta telah disampaikan bahas-bahas berkaitan manuskrip-manuskripnya yang bernilai tinggi, yang ditinggalkan oleh beliau melebihi ratusan manuskrip. Aku (Shaykh Usamah) sendiri pada hari berikutnya ke perayaan tersebut, bersama dengan Dr. Syarīf Syāhīn , ketua Dar al-Kutub al-Misriyyah (Pusat manuskrip-manuskrip Lama di Mesir), dan kami menelaah hasil-hasil kerja yang diedarkan pada perayaan tersebut, seterusnya berlaku perbualan yang panjang berkaitan tokoh Mesir yang hebat ini.

Khulasahnya, bahawa kita dihadapan tiga orang tokoh Mesir yang genius, mereka ialah; i) ash-Shaykh Hasan al-‘Aṭṭār, Shaykh al-Azhar dan mahaguru generasinya, empunya pandangan yang dalam dan susunan pengetahuan realistik dan patriotik yang hebat, bersama dengan dua ‘buah-buahan’ yang tumbuh dari pemikiran dan akalnya, iaitu; ii) Rifā’ah at-Tahtāwī dan iii) ‘Ayyāḍ at-Tantāwī. Beliau (al-‘Aṭṭār) merupakan salah satu perencanaan dan langkah dari institusi keilmuan Mesir untuk membina jejambat diantara peradaban-peradaban, yang dengannya telah menyambungkan Mesir kepada peradaban-peradaban yang lain, serta Mesir juga menyampaikan melaluinya kegeniusannya dan kegeniusan akal anak-anak watannya, dan kemampuan mereka untuk meruntuhkan halangan-halangan, serta membina dialog yang aktif diantara peradaban, dari sudut kita mengambil manfaat dan juga memberi manfaat, dengan bersandarkan keyakinan anak watan Mesir terhadap peribadi, sejarah, dan tanah airnya, serta kebanggaan terhadap jatidirinya (huwiyyah), dan membuka ufuk-nya kepada dunia keseluruhannya, dengan pengalaman-pengalaman dan lapisan-lapisan pengetahuannya. Apa yang ingin ditekankan disini ialah, seorang rakyat Mesir masakini, perlu untuk mengetahui bahawa tanah air kita yang hebat ini –dan masih lagi pada setiap peringkat sejarah memainkan peranan dan berpartisipasi, serta mempunyai pandangan dan gerak-kerja yang mendalam, juga mempunyai akal-akal yang genius dalam mengurus krisis, mampu untuk memahami, menganalisis dan meletakkan pendirian-pendirian, menghadapi pengalaman, memahat pada batu sejarah dan meninggalkan kesan di jiwa umat-umat dengan sumbangan yang tinggi.

WaAllahu a’lam.

P/s : Terjemahan dari artikel bertajuk ‘Al-‘Ațțār, Jisr Bayna Hadharatayn’, oleh ash-Shaykh Usamah Sayyid al-Azharī, di web ‘Akhbar El-Watan’, bertarikh 15 Jun 2016.

Rujuk link : http://www.elwatannews.com/news/details/1228160

Leave a comment

Filed under Catatan, Fikrah