Monthly Archives: March 2017

Ulasan Buku : Hayy Ibn Yaqadzān, Ibn Tufayl (w 581h)

Bismillahi Rahmani Rahim.

image

[ Hayy Ibn Yaqadzān, Ibn Tufayl (w 581h) ]

Hayy Ibn Yaqadzān pernah menjadi fenomena tidak silap dalam tempoh beberapa tahun lalu, ketika ramai yang mengomentar dan mendiskusikannya. Saya di waktu itu tidak begitu mengambil kisah. Walaupun bukunya sudah sedia dibeli, namun ‘taufiq dan hidayah’ untuk membacanya tidak ada. Apalagi untuk mendalami perbahasannya. Maka, ulasan ini ditulis terlewat kerana telahpun berlalu zaman kemuncak perbincangan kitab ini dan diulas oleh banyak otak. Walaubagaimanapun, bagi saya, ulasan ini mungkin mencerahkan dimensi yang berbeza. Ataupun paling tidak, memberikan gambaran kepada yang belum membacanya. Tambahan pula, ia adalah karya agung falsafah ‘evergreen’ yang tidak luput perbahasannya walau dizaman apa pun.

Naskhah yang saya gunakan adalah terbitan al-Dār al-Misriyyah al-Lubnaniyyah, disamping turut membandingkannya cetakan Darul Al-Kitāb Al-Masri, ‘Falsafah Ibn Tufayl’ yang disertai ulasan oleh Shaykh Al-Azhar Ash-Shaykh Abdul Halim Mahmud -rahimahullah taala-. Kelebihan kedua-dua naskhah adalah ia disertai komentar (ta’liq) yang dilakukan oleh muhaqqiq, Dr. Aziz Nabawi dan Shaykh Abdul Halim Mahmud yang sangat membantu memahami novel, terutama dalam menerangkan kalimah-kalimah sukar yang digunakan oleh Ibn Tufail.

Hayy Ibn Yaqadzān & Falsafah Ibn Tufayl : Satu Pendahuluan.

Untuk memahami Hayy Ibn Yaqadzan, asal-muasal idea ini harus ditinjau. Ibn Tufayl, tidak dapat dinafikan sedikit sebanyak dipengaruhi daripada beberapa orang falasifah sebelumnya terutamanya Ash-Shaykh Ar-Rais Ibn Sina, Ibn Bājjah, Al-Farabi dan Al-Imam Abu Hamid Al-Ghazali. Hayy Ibn Yaqadzān ditulis Ibn Tufayl atas permintaan seorang sahabatnya yang meminta Ibn Tufayl untuk menuliskan hikmah-hikmah yang bercahaya yang beliau dapat dari Ibn Sina. Tambahan pula, kaedah penggunaan ‘kisah perumpaan’ untuk menerangkan pandangan falsafah ini sebenarnya mulai ditulis oleh Ibn Sina, bahkan dengan tajuk yang serupa, ‘Hayy Ibn Yaqadzān’ dan ‘Salamān Wa Absāl’ (nama bagi watak yang sama diguna Ibn Tufayl). Sebelum Suhrawardi (w 587h) juga menggunakan kaedah yang sama dengan menulis kisah ‘Al-Gharbah Al-Gharībah’, begitu juga, Ibn Nafīs (w 687h) dalam menulis ‘Fādhil Ibn Nātiq’.

Kendatipun begitu, Kisah Perumpaan ‘Hayy Ibn Yaqadzān’ mengatasi selainnya, dari sudut kemasyhuran dan keluasan kesannya pada dunia barat umumnya. Walaubagaimanapun, saya belum membaca Hayy Ibn Yaqadzan karya Ibn Sina dan yanng lainnya. Ash-Shaykh Abdul Halim Mahmud, dalam ulasannya terhadap Hayy Ibn Yaqadzan oleh Ibn Tufayl ini, menegaskan bahawa walaupun ia mempunyai persamaan yang jelas pada tajuk dan watak dalam kisah Ibn Sina, akan tetapi kedua-dua sangat berbeza jalan ceritanya. Diantara dua ‘Hayy Ibn Yaqadzan’ itu, Ibn Tufayl lebih teristimewa dan masyhur.

Kedatangan Hayy Ibn Yaqadzān adalah lanjutan daripada perdebatan falasifah peripatetik pasca Tahāfut al-Falasifah Al-Ghazali, yang mana Al-Ghazali membahaskan dua puluh pandangan falsafah oleh falasifah Islam terdahulu seumpama; Al-Kindi Al-Farabi & Ibn Sina, dengan membid’ah tujuh belas pandangan daripadanya, dan mengkafirkan tiga yang baki. Tamparan hebat at-Tahāfut menyebabkan falsafah peripatetik mula melemah dan merudum. Golongan falasifah Islam selepas Al-Ghazali berusaha memikirkan semula tentang pengharmonian antara falsafah dan agama. Usaha-usaha ini digiatkan oleh pemuka-pemuka falsafah Islam, seperti Ibn Bājjah, Ibn Tufayl dll, sebelum kemuncaknya diperanan oleh Abu al-Wālid Ibn Rusyd (w 595h) dengan Tahafut al-Tahafut -jika betul ta’birnya, kerana perbahasan masih bersisa namun tidak serancak sebelumnya, seperti Khawajah Zādah (w 893h) yang membuat Tahafut Tahafut al-Tahafut. Hayy Ibn Yaqadzān jika betul ta’birnya juga, boleh dianggap antara ‘matarantai’ kepada silsilah perdebatan Tahafut menuju Tahafut al-Tahafut, dengan tidak dapat disangkal pengaruh Ibn Tufayl terhadap failasuf sezamannya, Ibn Rusyd (w 595h).

Ibn Tufayl mengawali novel ini dengan membahaskan tentang pandangan beberapa tokoh falasifah Islam sebelumnya, iaitu ; Ibn Bājjah, Al-Farabi, Ibn Sina & Al-Ghazali. Pandangan-pandangan mereka ada yang disantuni Ibn Tufayl, dan tidak kurang yang dikritiknya. Ibn Tufayl berpandangan bahawa pengetahuan hakikat sesuatu ‘disebalik tabiat’ (metafizika) dicapai dengan dua jalan; secara ilmu nazhari yang dilalui ahl nazhar (falasifah) dan jalan mukāsyafah dan intuitif melalui riyādhah (amal ibadat) oleh ahl al-wilayah (sufiyyah). Analogi Ibn Tufayl berkaitan ini cukup menarik dan kreatif. Ahl Nazhar diibaratkan sebagai seorang yang buta penglihatan yang membesar di sebuah tempat, tetapi mempunyai kekuatan inderawi yang sangat kuat dan fitrah yang sejahtera. Dengan kekuatan indera dan fitrah tersebut, dia dapat mengenal hakikat sesuatu dengan sebaiknya, sehingga mampu untuk mengenal orang disekelilingnya tanpa melihat, mengenal jalan-jalan di negerinya tanpa memerlukan petunjuk, memberi salam kepada orang sekeliling terlebih dahulu, mengetahui haiwan-haiwan dan warna-warna yang disyarahkan kepadanya. Apabila terbuka penglihatannya, dia melihat hakikat yang sebenar dan mendapati apa yang terserlah itu tidak berbeza dari apa yang dii’tiqadkannya, melainkan ia bertambah kejelasan dan kenikmatan memandangnya. Begitulah perumpaan ahl nazhar. Adapun ahl al-wilayah, ia seperti seorang yang terang penglihatannya, yang tidak memerlukan fikiran untuk mencerapi hakikat yang telah dia sedia ketahui, walaubagaimanapun, golongan ini sangat sedikit sekali.

Kritikan kemudiannya ditujukan kepada Ibn Bājjah kerana, walaupun Ibn Bājjah telah mencapai tahap ahl nazhar dan terang dijumpai jalan ini dihadapannya jalan ahl wilayah, beliau kurang komitmen dalam melalui jalan tersebut, bahkan tenggelam disibukkan dengan hal-hal keduniaan dengan pergi ke wilayah Wahrān untuk mengumpul harta dunia dan menikmati kehidupan duniawi. Al-Farabi pula dikritik lebih keras berbanding falasifah yang lain, apabila dikatakannya terlalu banyak syukuk (syak-wasangka). Pendapatnya telah menyebabkan manusia-manusia berputus-asa, apabila mengatakan kebahagian adalah yang berlaku di dunia dan menjadikan kesemua jiwa samada mulia atau keji, akan kembali kepada hal yang sama iaitu ‘ketiadaan’ (‘adām). Menurut Ibnu Tufayl, disebabkan buruknya pegangan berkaitan kenabian (nubuwwah) dan juga sikap melebihkan falsafah berbanding perkara yang lain -dalam pendapatnya, menganggap falsafah terlebih baik berbanding kenabian, maka tidak perlu dibahas panjang perihal falsafah Al-Farabi. Selain itu kritikan terhadap Ibn Sina dilihat lebih ‘ringan’, bahkan ‘mesra’ dengan puji-pujinya, berbanding Ibn Bājah dan Al-Farabi. Ibn Tufayl berpendapat bahawa Ibn Sina telah mencapai tahap ahl nazhar, dan berada lebih tinggi berbanding Ibn Bājjah yang disifatkannya sebagai telah terpesong. Namun, tahap tersebut tidak seperti yang diinginkan oleh Ibn Tufayl, kerana ia meletakkan martabat ‘awla as-sidq’ sebagai matlamat tertingginya.

Kritikan Ibn Tufayl antara lain ditujukan kepada Al-Ghazali dengan mendakwa kontradiksi yang berlaku pada pandangan beliau dalam at-Tahafut dengan pandangannya di dalam kitab-kitab beliau yang lain, sebelum dijawabnya sendiri berdasarkan paragraf-paragraf dari kitab Mizan al-‘Amal. Ibn Tufayl menghukum kepada fasa akhir hidup Al-Ghazali, yang memilih sepenuhnya jalan ahl wilayah sebagai mencapai hakikat kebenaran, dengan penolakan yang tegas terhadap rasional (akal). Walaubagaimanapun, kritikan itu diiringi dengan pengiktirafan bahawa Abu Hamid Al-Ghazali telah mencapai ‘kebahagiaan tertinggi’ dan mengetahui segala sesuatu melalui mukasyafah (lawan nazhar). Namun, harus disedari bahawa Al-Ghazali sampai kepadanya selepas beliau melalui juga jalan nazhar sebelumnya, seperti yang dinukil dalam al-Munqidz, dalam masa yang sama, beliau tidak menolak akal total, bahkan seperti ta’birnya di dalam al-Munqidz, ia tidak sepenuhnya mengubat ‘penyakit’ skeptikalnya.

Selebihnya, Ash-Shaykh Abdul Halim Mahmud merumuskan, walaupun falasifah sebelum Ibn Tufayl memberikan kesan kepadanya, namun Ibn Tufayl sebenarnya mempunyai pandangan falsafah yang tersendiri, yang bebas dari pengaruh falasifah lain. Hal yang dicapai Ibn Tufayl tersebut seperti apa yang dikhabarkannya pada awal kitab dengan, “tidak mampu untuk disifatkan oleh lisan, dan tidak mampu untuk diberikan penjelasan.” Justeru, setelah menyoroti pandangan-pandangan falsafah Ibn Sina dan Al-Ghazali, Ibn Tufayl seakan mahu menonjolkan pandangan falsafah-nya yang lebih ideal, menghimpunkan kedua-dua jalan untuk memahami hakikat tentang perkara ‘disebalik tabiat’ (metafizika) melalui jalan bahas & nazhar dan jalan musyahadah & mukasyafah, dengan lebih sempurna dan lengkap  Kisah Hayy Ibn Yaqadzān menyimpulkan pandangan Ibn Tufayl tersebut dengan sangat unik dan menarik.

‘Hayy Ibn Yaqadzān’, dari sudut pemilihan nama wataknya sahaja sudah membawa makna yang dalam. Secara literalnya, ‘Hayy’ bermakna kehidupan dan ‘Yaqadzān’ membawa maksud, (keadaan yang) jaga atau sedar. Ia boleh jadi sebagai tanbih kepada pembaca bahawa ia adalah sebuah cerita yang memberi makna yang besar; seumpama makna dihidupkan kembali atau tersedar dari lamunan.

Sinopsis Kisah Hayy Ibn Yaqadzan.

Kisah bermula dengan menceritakan perihal asal-usul watak utama yang bernama ‘Hayy’. ‘Hayy’ lahir daripada tanah, hasil keseimbangan yang sempurna daripada tabiat ‘alam, yang membolehkan daripada keseimbangan yang sempurna itu lahirnya seorang manusia. Dalam hal ini, saya merujuk kepada seorang sahabat dalam bidang perubatan, dan menurutnya, pendapat sedemikian tidak pelik, bahkan ia adalah sesuatu yang diyakini oleh ahli falsafah perubatan yang terdahulu. Begitu pula, dalam turath fiqh Islam yang awal, turut terkesan. Contohnya, perbahasan ‘ulat yang lahir daripada sampah’, dalam matan ‘Umdah As-Salik Wa ‘Uddah An-Nāsik’, karangan Ibn Naqīb Al-Masri Asy-Syafie (w 769h), dilihat sebagai kesan dari pandangan ini. Ini apa yang diceritakan di dalam kitab ini, adapun ada riwayat yang mengatakan bahawa ‘Hayy’ ialah seorang bayi yang dihanyutkan dalam sebuah kotak kayu di sebuah laut oleh pasangan yang menjalinkan hubungan secara rahsia, seorang rakyat biasa bernama Yaqadzān dengan seorang puteri raja yang dihalang untuk berkahwin kecuali dengan seorang yang setaraf dengannya. Lalu, terdamparlah bayi tersebut di sebuah pulau, dan dijumpai oleh seekor rusa.

Kisah seterusnya menggambarkan bagaimana Hayy hidup dibesarkan oleh seekor rusa. Hayy dibesarkan dengan penuh penjagaan dan ‘kasih-sayang’ oleh rusa tersebut. Rusa itu menyusukan ‘Hayy’, dan apabila ia terlambat maka Hayy akan berteriak menangis, maka rusa itu akan bersegera kepadanya. Apabila membesar sedikit, Hayy mula mengikut bunyi-bunyian dari haiwan-haiwan disekelilingnya. Setelah mempunyai kekuatan berfikir, dia melihat kepada haiwan-haiwan dan memerhatikan keadaan mereka yang berbulu dan mempunyai senjata untuk melindungi diri, sedangkan dirinya tidak berpakaian dan tiada bersenjata. Dia kemudiaannya mengambil dedaun dari pohonan pokok, untuk diikatnya dipinggang bagi memelihara auratnya, sehingga setiap kali dedaun itu menjadi kering, dia akan menukarkannya dengan yang baru. Untuk senjata, dia menjadikan kayu yang besar sebagai tongkat dan guna untuk menghalau binatang yang ingin menyerangnya.

Kisah diteruskan apabila rusa yang menjaga Hayy tersebut mati. Ini menyebabkan kehairanan melanda Hayy. Hayy memeriksa keseluruhan badan rusa tersebut sehinggalah kepada hati -yang dianggap punca utama kematian rusa itu, namun mendapati bahawa semuanya dalam keadaan yang baik, elok dan tiada cacat cela. Hayy masih lagi mengasihi rusa tersebut dan sentiasa berada dekat dengannya, namun apabila bangkai rusa tersebut mulai membusuk, dia memikirkan cara bagaimana untuk menguruskannya. Setelah itu, dia melihat dua ekor gagak saling bertengkaran yang menyebabkan salah seekor daripadanya mati, dan yang hidup daripada gagak tersebut menimbus yang mati itu dengan tanah. Maka dengan itu, Hayy mendapat ilham untuk menguruskan bangkai rusa tersebut.

Dia setelah itu, berjalan-jalan diulau mencarikan ‘haiwan’ yang serupa dengannya, tetapi tidak dia jumpai. Padanya, kehidupan dunia ini hanyalah apa yang ada dipulau tersebut. Berlaku beberapa renungan terhadap semua binatang, tumbuhan dan objek pejal (jamādat),  yang membuatkannya berfikir tentang hakikat kewujudan. Dia menyimpulkan kesemua yang hidup (an-nafs al-hayawaniyyah dan an-nafs an-nabatiyyah) itu terbina dari jisim dan ‘apa yang lebih daripada sekadar jisim’, samada ‘apa yang lebih’ itu, satu atau berbilang-bilang. Sesuatu yang hidup terbina dari jisim, yang berupa jism (jawhar) dan sūrah (‘aradh). Ia seterusnya membawa Hayy untuk meyakini tentang wujudnya ‘Alam Ruhani.

Pencapaian terhadap pengetahuan tentang wujudnya ‘Alam Ruhani atau ‘alam disebalik fizika tersebut, akhirnya membawanya kepada kesimpulan bahawa setiap yang baharu itu, mestilah diciptakan oleh pelaku yang Esa, yang punya kuasa memilih (al-fa’il al-wahīd al-mukhtār), yang beza dari yang diciptakannya, dengan tidak berjisim, tidak bercantum dan bercerai dari jisim, tiada ia di dalamnya dan tiada pula diluar. Suci Ia (munazzah) dari bercantum, berpisah, berada di dalam dan diluar, dan dari semua sifat-sifat jisim. Pemikiran Hayy bercambah lebih cergas setelah dia melangkaui batas-batas fizika jasmaninya. Dia mula memikirkan tentang sifat-sifat al-fa’īl al-wahīd al-mukhtār itu, kemana akan pergi jasad setelah kematiannya, tentang kebahagiaan dan cara-cara meraihnya, pembahagian terhadap haiwan-haiwan dan lain-lain.

Setelah Hayy mencapai pengetahuan tinggi tersebut, fana’ dia dari alam fizika dan jismaniyyah, sehingga ia tidak melihatkan pada ‘alam wujud ini kecuali al-Wāhid (Yang Esa), al-Hayy (Yang Maha Hidup), al-Qayyum (Yang Maha Berkuasa). Pengetahuan tersebut digambarkan sebagai sesuatu yang terlalu sempit untuk diungkap dengan kata-kata, atau dihuraikan dengan batas-batas jismaniyyah, disebab keuzuran untuk menerangkan hakikatnya yang tak tercapaikan oleh sesiapa yang tidak mengalaminya, kecuali setelah ia mengalaminya sendiri. Hayy walaupun mencapai tahap tinggi itu, dia kembali kepada ‘alam inderawi (hissi) dan kekal dalam keadaan manusiawi.

Ibn Tufail seterusnya membuka cerita tentang pemuda, Salamān dan Absal, yang tinggal di pulau berdekatan dengan pulau Hayy Ibn Yaqadzan. Di pulau tersebut, telah sampai dakwah dari ‘agama yang benar’ kepada penduduk-penduduknya. Kedua-dua pemuda mempelajari agama tersebut, dari sudut akidah dan syariat (ibadah) dengan tekun. Dia mempelajari tentang sifat-sifat Allah, sifat-sifat para malaikat, tentang Hari Kebangkitan, serta ganjaran dan azab seksaan.

Kedua-duanya mempunyai karakter yang berbeza. Adapun Absāl, dia lebih menumpukan tentang hal-hal kerohanian dan yang berkaitan hati, dan cenderung untuk melakukan ta’wil. Manakala, Salamān lebih bersifat mementingkan perkara yang bersifat zahir, menjauhi hal-hal kerohanian dan bersikap literal, menjauhi ta’wil, serta tidak melakukan renungan dan pemikiran. Agama tersebut mempunyai khilaf samada jalan mencapai keselamatam dan keberjayaan itu, samada ber’uzlah atau dengan husnul mu’asyarah (pergaulan yang baik dalam kalangan manusia). Maka, Absāl lebih cenderung untuk mentarjihkan ‘uzlah, dan begitulah sebaliknya Salamān. Atas sebab itu menjadikan kedua-dua berpisah.

Absāl kemudian memillih ber’uzlah di tempat yang jauh daripada masyarakatnya, yang mengamalkan agama secara zahir dan tiada penjiwaan kerohanian serta hubungan transenden dengan ‘Alam Tinggi. Akhirnya, beliau sampai di pulau dan tersempak Hayy Ibn Yaqadzan, maka berlakulah ‘komunikasi’ janggal diantara kedua-duanya. Absāl mempunyai kemahiran berbahasa dalam pelbagai bahasa, maka dia berkomunikasi dengan Hayy dengan bahasa yang difahami oleh Hayy. Dia mengajarkan Hayy sehingga dia mampu bertutur, dan seterusnya mengajarkannya ilmu dan agama. Setelah itu, Absāl menanyakan Hayy akan perihal dirinya, dan Hayy menceritakan kesemua perkara yang dialaminya, termasuk pengetahuan terhadap ‘alam disebalik tabiat atau metafizika. Lalu, masing-masing belajar daripada satu sama lain akan perkara yang tidak diketahui mereka. Apabila diberitahukan oleh Absāl tentang sifat-sifat Tuhan dan hal-hal berkaitan sam’iyyat, Hayy mendapati bahawa apa yang diberitahu itu tidak berbeza dengan apa yang difikirkannya. Hayy menanyakan tentang perkara kefardhuan dalam agama, maka Absāl mengajar tentang tatacara peribadatan tersebut seperti solat, puasa, zakat dan lain-lain.

Apa yang masih membelenggu fikiran Hayy, setelah dia menghimpunkan antara akal yang sejahtera dan agama yang benar, adalah berkaitan dua perkara. Pertama, bagaimakah apabila diutuskan Rasul yang menyampaikan pengetahuan tentang Tuhan, manusia mengkhayalkannya dengan gambaran jisim dan meyakini sifat-sifat yang tidak layak bagi Tuhan, ada pada Dzat suci Tuhan ? Kedua, keadaan kewajipan-kewajipan agama yang diamalkan secara zahir sahaja dan difahami literal oleh manusia, dan dalam masa yang sama, maksiat dilakukan secara berterusan dan cenderung kepada keduniaan. Dia berkata, jika sekiranya manusia tahu akan hakikat kebenaran, maka dia akan berpaling daripada kesemua itu.

Absāl menanyakan pendapat kepada Hayy, bagaimana sekiranya dia menyampaikan apa yang dicapainya ini kepada kaumnya agar mereka dapat mengetahui kebenaran. Lalu, Hayy menyangkalnya, dan menerangkan hal kaum tersebut yang kekurangan (tidak sempurna) fitrahnya dan berpalingnya mereka dari perintah-perintah Tuhan, namun Absāl tetap tamak untuk melakukannya. Maka, kedua-keduanya keluar dan sampai ke sebuah pulau, yang diketahui oleh Salamān, sahabat Absāl yang lalu. Kemudian, berhimpunlah manusia disekeliling mereka. Absāl memberitahu, mereka yang berkumpul itu adalah antara mereka yang cerdas dan geliga akal mereka, sekiranya Hayy tidak mampu untuk memahamkan mereka, sudah tentu orang awam yang lain dia lebih tidak mampu. Ringkasnya, Hayy mendapati bahawa ahwal mereka itu adalah hal ‘haywan ghair natiīq’ yang tidak mampu untuk diajarkan hikmah tinggi, kecuali sebahagian kecil daripada mereka sahaja. Dia kemudiannya pergi kepada Salamān, dan meminta keuzuran daripadanya setelah menerangkan tentang hal yang dilihatnya terhadap ahwal orang awamnya, serta memberinya beberapa wasiat yang sangat penting untuk direnungi. Akhirnya kedua-duanya, Hayy dan Absāl, meninggalkan pulau tersebut dan beribadah kepada Yang Maha Esa dengan cara mereka, sehingga datang kepada mereka kematian (al-yaqīn).

(*p/s : Ada banyak scene yang tidak dimuatkan dan sengaja dilangkau dalam sinopsis ini. Selebihnya, adalah lebih baik untuk pembaca menelaahnya sendiri.)

Ulasan

Hayy Ibn Yaqadzan, merupakan novel sufistik, falsafi, dan teologi kalam dalam satu masa yang sama. Selitan-selitan mawqif sufi, falsafi, dan kalam Ibn Tufayl dalam novel ini, harus dibaca dengan penuh ketelitian dan perenungan yang dalam, agar dapat ditajridkan pandangan-pandangan Ibn Tufayl daripada ‘simbol-simbol’ yang digunakannya, bukan bacaan secara ‘sard’ atau terikat dengan simbol-simbol yang dianalogikan Ibn Tufayl.

Terdapat kesilapan (atau sebenarnya, kurang kesedaran) sesetengah pengulas apabila memberi fokus yang besar kepada jānib yang pertama, iaitu keberpadaan terhadap kecapaian al-mahsūs (inderawi) terhadap ‘alam metafizika. Sedangkan, Ibn Tufayl bermaksud untuk menghimpunkan kedua-dua jalan, yang apabila salah satunya tiada, akan berlaku kekurangan. Bahkan, Ibn Tufail menginginkan untuk menerangkan bahawa kecapaian hakikat melalui ‘uzlah, riyadhat an-nafs dan pengamalan kerohanian berbanding keupayaan akal menanggapi ‘alam untuk mencapai ‘Alam Tinggi. Ini seperti yang beliau jelaskan dalam mukaddimahnya dan diakhir kitab.

Dari sudut yang lain, ‘Hayy Ibn Yaqadzān’ juga boleh dilihat sebagai karya yang membawa tema kritikan sosial, iaitu kritikn terhadap manusia yang beragama tanpa ‘akal’, yakni tanpa memikirkan tentang kebenaran apa yang dipegang dan dianutinya, serta tiada rasa keterhubungan (transenden) dengan ‘Alam Tinggi. Ritual dilakukan sehari-hari adalah tradisi ikutan dengan taqlid, rutin harian yang kosong dari penjiwaan, dan perenungan yang nihil. Ia sesuatu yang perlu difikirkan umat, dewasa ini, yang antaranya disebabkan oleh penghilangan pesona dari ‘alam tabii’ (disenchantment of nature), yang mana ia membawa kepada faham sekular.

Selain itu, ia menguatkan pandangan manātiqah dan hukama’ (falasifah) bahawa as-Salīqah, seorang yang sempurna fitrahnya, akalnya dan jasmaninya, akan cenderung kepada kebenaran walaupun dia terhidupkan di wilayah yang asing. Manusia diciptakan dengan fitrah untuk cenderung sentiasa kepada kebenaran, kemuliaan, kesusilaan, kemanusian dan seumpamanya dari ‘sifat cahaya’.

Dari sudut Kalam, perbahasan ‘nazhar’ dalam novel ini cukup kental dan tersaksikan begitu terang, terutamanya pendalilan dari musyahadah ‘alām dan sifat ke-baharu-annya (hudūs) yang membawa kepada peng’isbatan Qodīm, yang disifatkan Ibn Tufayl melalui Hayy Ibn Yaqadzan sebagai ‘Al-Fa’īl Al-Wahīd Al-Mukhtār’.

Isu berkaitan akal dan naqal, yang selalu menjadi pertikaian para falasifah dan mutakallimin, dijawab Ibn Tufayl dengan pandangannya melalui Hayy Ibn Yaqadzān. Pandangannya memperlihatkan bahawa akal berkeupayaan untuk menanggapi hal metafizika. Ini dikritik keras oleh Ash-Shaykh Abdul Halim Mahmud, dalam ulasannya kepada kitab ini, serta dalam beberapa muallafatnya yang lain seperti ‘al-Islam Wa al-‘Aql’ dan ‘Syarh (kupasan) al-Munqidz Min ad-Dholāl’.

WaAllahu a’lam.

Wan Ahmad Naqiuddin Wan Khalid (Naqiuddin Ansarullah)

Pen: Kritikan, pandangan dan pembetulan amatlah dialu-alukan.

Leave a comment

Filed under Respon@Kritik, Taamul, Ulasan Buku

Daurah Ilmu Sorf, Kitab ‘Unwan Adz-Dzorf Fi Ilmi As-Sorf, Akademi Pemikiran Turath Al-Mustanir (APT)

 

Leave a comment

Filed under Video