Monthly Archives: November 2015

Catatan : Pengenalan Al-Ghazaliy Dan Kitabnya ‘Ayyuhal Al-Walad’.

image

Sekilas Pandang Biodata Imam Al-Ghazaliy.

Hujjatul Islam Al-Imam Al-Ghazaliy (450 – 505h / 1058 – 1111m) [1] atau nama sebenarnya, Abu Hamid Muhammad Bin Muhammad Bin Muhammad Bin Ahmad Al-Ghazaliy. Dilahirkan di Thūs, Khurasan (Iran). [2] Dikatakan ayahnya bekerja memintal bulu-bulu haiwan dan menjualnya di pasar.

Beliau -sepertimana diketahui umum- adalah seorang ilmuwan agung Islam yang terkenal dengan sumbangannya yang besar terutama dalam bidang falsafah Islam dan kesufian. Bahkan, bukan itu sahaja keilmuan beliau turut merangkumi displin-displin ilmu yang pelbagai, termasuk Fiqh, Usul Fiqh, Ilmu Kalam, Mantiq dan lain-lain. Ini dibuktikan dengan kewujudan karya-karya agungnya di dalam ilmu-ilmu berkenaan.

Apa yang menakjubkan ialah, setiap karangan beliau dan pandangan  tersebut menjadi kitab-kitab rujukan utama dalam setiap bidang masing-masing seperti kitab Ihya’ Ulumuddin di dalam ilmu Tasawwuf, Kitab Tahafut Al-Falasifah dalam ilmu Falsafah. Kitab Al-Iqtisod Fi I’tiqod dalam ilmu Akidah, Al-Mustasfa dalam ilmu Usul Fiqh, serta Al-Wajīz, Al-Wasīt, dan Al-Basīt dalam Fiqh Asy-Syafie.

Walaupun beliau wafat pada usia baru mencapai 55 tahun, tetapi dengan keberkatan masa kehidupan beliau tersebut serta kesungguhan dan keikhlasan, beliau telah meninggalkan manfaat yang besar kepada umat Nabi Muhammad s.a.w pada hari ini melalui hasil-hasil pemikiran yang sangat bernilai dan berharga.

Diceritakan ketika di dalam perjalanan pulang ke kampungnya daripada belajar daripada gurunya, Abu Nasr Al-Isma’iliy di Jurjān. Beliau dirompak oleh perompak jalanan dengan segala barangnya diambil. Kemudian Al-Ghazaliy merayu untuk hanya memberinya semula kitab-kitabnya, kerana itu hasil ilmu yang dia perolehi dari pembelajarannya.

Perompak itu ketawa dan berkata, “Bagaimana kamu menganggapnya ilmu, sedangkan apabila aku mengambil kesemua kitab-kitab ini, kamu menjadi jahil semula ?!”

Lalu Al-Ghazaliy menyebut ;

هذا مستنطق أنطق الله ليرشدني به في أمري.

“Ini adalah kalam yang disebut dengan makna. Allah menggerakkan lisannya untuk memberi petunjuk kepadaku dalam hal aku ini.”

Al-Ghazaliy mengambil masa 3 tahun untuk menghafal kesemua ilmu yang dipelajarinya.

Rahimahullah taala.

Berkenaan Kitab Ayyuhal Walad.

Ash-Shaykh Saeed Foudah telah meletakkan tarikh (secara anggaran) terhadap karya-karya yang ditulis Al-Ghazaliy. [3] Hasil didapati bahawa kitab Ayyuhal Walad ditulis pada sekitar 500 hijrah, iaitu ketika beliau mengajar di Madrasah An-Nizomiyyah Naysabūr dan sudah hampir dengan ajalnya.

12308691_910590858978900_5415129965449328024_n.jpg

Kitab Ayyuhal Walad pada asalnya ditulis di dalam Parsi, kemudian disebabkan kepentingan dan manfaatnya yang besar di dalam kandungan kitab ini, ia kemudiannya diterjemah ke dalam Bahasa Arab. Ia kemudiannya diterjemah ke dalam pelbagai bahasa-bahasa selepas daripada itu.

Sebab Al-Ghazaliy menulis kitab ini adalah untuk menunaikan permintaan salah seorang anak murid beliau untuk memberikannya nasihat yang ringkas, di dalam beberapa helaian kertas yang boleh dia berpegang dengannya sehingga akhir hayatnya dan juga meminta diajarkan doa yang paling bermanfaat buatnya, setelah mana anak murid tersebut menghabiskan kebanyakan umurnya dalam mempelajari pelbagai ilmu pengetahuan dan telah menguasai perincian-perincian ilmu yang dalam.

Memandangkan ia merupakan antara karya terakhir yang ditulis Al-Ghazaliy, nasihat-nasihat yang dilontar seolah menyebut semula pengajaran hidup yang telah ditempuhi oleh Al-Ghazaliy seperti hendaklah menjauhi perdebatan, jangan tertipu dengan kiasan-kiasan kalam sufi, hendaklah menjauhi para pemerintah dan pembesar, dan sebagainya.

Kitab ini walaupun ia nipis, tetapi ia memuatkan lebih kurang 24 nasihat yang sangat bermakna kepada anak murid kesayangannya kemudian disertai dengan doa yang memberi kesan dalam di pengakhiran kitab.

Syarahan Kepada Kitab Ayyuhal Walad.

Terdapat beberapa syarahan yang dijumpai terhadap kitab Ayyuhal Walad, antaranya ;

1) Ayyuhal Akh Syarh Ayyuhal Walad, Ash-Shaykh Abdul Rahman Bin Ahmad Bin Umar Ar-Rumiy terkenal dengan nama Sobri. Cetakan Maktabah Tsaqofiah Diniyyah.

2) Siraj Az-Zulumāt Syarh Ayyuhal Walad, Abu Sa’id Al-Khodimiy.

3) Syarahan Ash-Shaykh Yusof Bakhour Al-Hasani hafizahullah.

Syarahan lain yang tidak dijumpai, iaitu ;

1) Tuhfatul Abrar, Nuruddin.

2) Wasilatūl Madad, Al-Makhzumiy.

Manakala dari sudut tahqiq, yang terbaik yang dijumpai adalah tahqiq Ash-Shaykh Muhyiddin Ali Qurahdaghi hafizahullah yang disertai bersama ‘Adāb Al-Mutaàlim Wal Ālim’, cetakan Dar Al-Basyaīr.

[1] Dengan takhfif huruf ز , bukan syaddah seperti yang disebut sesetengah ulama’. Al-Ghazaliy memperbetulkan dengan menyebut,

نسبني قوم إلى الغزال و إنما أنا الغزالى نسبة إلى قرية يقال لها غزالة، بتخفيف الزاي.

Rujuk Siyar A’lām An-Nubala.

[2] Rujuk Tabaqôt Asy-Syafi’iyyāh oleh Al-Imam As-Subkiy, untuk pengetahuan lanjut berkaitan kisah

[3] Kitab Mawqif Al-Ghazaliy Min ‘Ilm Al-Kalām, Saeed Foudah.

Advertisements

Leave a comment

Filed under Catatan, Kertas Kerja, Ulasan Buku