Monthly Archives: October 2015

Taamul : Merancakkan Wacana Post-Islamisme.

image

Harakah Islamiah punya sumbangan yang tidak mampu dinafikan dalam membangkitkan semula roh keIslaman dalam kalangan umat, terutamanya dalam memimpin usaha menegakkan semula Khilafah Islamiah yang diroboh Attarturk pada tahun 1924.

Namun, lewat era pasca-kolonial, relevensi usaha menegakkan khilafah kāmilah, yang menjadi matlamat kumpulan Islamis ini, mula dipertikai. Ini kerana mewujudkan satu khilafah yang menggabung negara-negara Islam dibawah satu kepimpinan sambil memansuhkan persempadanan antara satu negara dengan negara yang lain, dilihat hampir mustahil. Dunia sudah berubah, melepasi zaman imperialisme kemudian masuk kepada zaman diplomasi.

Kelompok Islamis yang masih merujuk kepada teks-teks Al-Maududiy dan Sayyid Qutb akan terus beriman bahawa perubahan umat kearah kebaikan hanya akan berlaku apabila khilafah ditubuhkan dan syariat dilaksanakan. Ia diyakini hanya mampu dicapai melalui konfrontasi terhadap pemerintah-pemerintah Islam yang tidak melaksanakan hukum Islam (dengan merendah pandangan samada pemerintah itu ingkar atau tidak melaksanakannya dengan bersebab, bersifat diktator atau demokratik atau selainnya) dan digantikan dengan ketua-ketua mereka yang mahu melaksanakannya.

Konfrontasi tersebut terkadang membawa kepada tindakan ekstrimis, yang mengundang sisi-sisi buruk kepada kesucian perjuangan asal kelompok Islamis. Sampai sekarang, sisi-sisi buruk itu masih dipandang sebagai sisi cerah untuk menaikkan semangat kader muda, yang natijahnya nanti hanya akan melahirkan tindakan ekstrimis sama dari generasi yang baru.

Wacana baru post-islamisma harus diketengahkan dan diganti dengan yang lama, supaya tindakan ekstrimis yang pernah dilakukan sesetengah anggota Harakah Islamiyyah itu dipastikan tidak berlaku lagi di masa hadapan dan membersihkan tuduhan bahawa Harakah Islamiyyah adalah lubuk terrorisma.

Ia harus dimulakan dengan mengganti teks-teks ‘kudus’, yang berorientasikan konfrontasi, ekstrim, dan penentangan kepada teks-teks yang lebih tenang, hikmah, dan ilmiah. Selain beberapa langkah lain yang perlu, antaranya ;

1) Memperbanyakkan kelompok pemikir (think-tankers) melebihi bilangan kelompok aktivis dalam Harakah.

2) Indoktrinisasi ditukar kepada wacana yang terbuka dengan pengajaran ilmu-ilmu syarak dan ilmu wasail-nya.

3) Tiada meneruskan budaya ‘kumpulan rahsia’ dibelakang atau jamaah dalam jamaah yang mempunyai agenda tertentu, dan saling curiga-mencurigai, umpat-mengumpat sesama ahli dan terhadap orang luar.

4) Tidak wujud kediktatoran atau apa dilihat seperti kediktatoran, dengan menganggap setiap arahan wajib dilaksana tanpa soal, asal sahaja namanya arahan.

Dan banyak lagi yang tidak tertulis disini. Paling awal, kita boleh mulakan dari sini, dengan mengetengahkan buku-buku yang lebih sesuai, antaranya ‘Limaza taakhoro al-muslimūn wa taqaddama ghairuhum ?’ oleh Al-Amir Syakib Arsalan.

Min huna nabda’ !

P/s : Penggunaan istilah ‘Post-Islamisme’ disini boleh disalah-erti dengan konotasi yang sumbang, apabila disandarkan kepada aliran ‘post-islamisme’ yang bersifat liberal dan anti-islamisme. Namun, penulis pada tulisan ini bermaksud untuk membawa permaknaan yang baharu bagi ‘post islamisme’ sebagai pembaharuan bagi ‘islamisme’, yang bukan maksud ‘counter-islamism’.

Advertisements

3 Comments

Filed under Fikrah, Taamul, Ulasan Buku