Monthly Archives: September 2015

Ulasan Buku : Intelektual Masyarakat Membangun, Syed Hussein Al-Attas.

intelektual-195x300

Meluang sedikit masa, menulis review tentang adikarya pemikir Melayu, Syed Husein Alattas, bertajuk Intelektual Masyarakat Membangun, terjemahan dari bahasa asalnya, bahasa Inggeris, ‘Intellectuals In Devoloping Societies’.

Tema utama bawaan penulis melalui karya sarat idea ini ialah, mengajukan kepentingan kepimpinan dan kefungsian kaum intelektual dalam sesebuah masyarakat yang sedang membangun dan halangan-halangan daripada revolusi kaum pandir dan gejala bebalisme.

Sedari awal penulisan, penulis dengan aktif mewajahkan bentuk intelektual yang dimaksudkan beliau, dan menyusun hujah-hujah penguat.

Kaum intelektual dikenali dengan beberapa ciri-ciri utama. Ringkasnya, kaum intelektual ialah kaum yang mengoptimum kemampuan akliahnya untuk berfikir secara kritikal, melakukan kajian yang detail dan ilmiah, sentiasa menjurus pada melakukan islah pada skala mega, meliputi segenap perkara, serta menyangkutkan matlamat tinggi mereka adalah kepada sentiasa menuju kearah kehidupan yang lebih baik. Serta kegiatan mereka berlaku konteks kehidupan yang luas dan besar tanpa keterikatan pada soal kecil, tidak profesion dan tidak sistem atau lain-lain.

Kaum intelektual ini mempunyai watak lawannya. Ia diistilahkan dengan ‘kaum pandir’, yang dikenali dengan beberapa ciri pula, yang disebut penulis dengan ‘bebalisme’.

Bebalisme menurut yang difahami, bukanlah satu ideologi, tapi ia adalah simbol kepada sikap kelesuan semangat falsafah, kemalasan mengkaji, pasif, kelembapan berfikir secara kritis dan kritikal, tidak kreatif, lekas percaya pada tahyul, tiada ilmiah, terlalu menghamba pada sistem dengan menatijahkan hasil klise melalui prosedur rutin, acuh tak acuh, tiada matlamat yang besar, dan tiada semangat perubahan.

Bebalisme ini, menurut penulis, janganlah dibayangkan hanya menjangkiti golongan berpendidikan kelas bawah, namun turut disengsarai golongan profesor, profesional dan yang berjawatan tinggi. Sikap ini tidak dapat dikelaskan pada satu golongan dan tidak pada golongan yang lain.

Apabila selesai melakar watak kaum intelektual dan kaum pandir tersebut, penulis menyusun pula kesan-kesan buruk apabila kaum pandir ini memegang autoriti-autoriti penting dalam pemerintahan. Antara yang disebut penulis, ialah pembaziran wang kerajaan berjumlah jutaan ringgit disebabkan oleh ‘kepandiran’ kaum pandir ini dalam membuat perancangan, perkiraan, kajian dan banyak lagi. Ini justeru melambatkan pengembangan sesebuah negara untuk berkembang maju dengan seefisyen mungkin. Dengan ligat beralih dari Filipina, China, Jepun, India, Rusia sebagai contoh perbandingan, penulis cuba mengikatnya untuk dijadikan hujah kental terhadap perlunya masyarakat membangun kepada kelompok intelektual yang memimpin dan berfungsi.

Jika kepimpinan dan kefungsian kaum intelektual ini lemah, maka kaum pandir akan naik dan menguasai pemerintahan dan memandunya berbekal bebalisme yang menjadi sifat sejati kaum tersebut.

Penulis lantang menyebut, “Sistem apa pun, jika dikuasai oleh orang pandir tidak akan dapat berfungsi dengan sempurna.”

Kaum elit penguasa, yang terdiri dari kaum pandir ini, pada pandangan penulis, merupakan elemen terpenting penyumbang kepada keterbelakangan dan kemunduran masyarakat membangun. Contoh dikemukan penulis begitu banyak dan jitu.

Maka, tidak dapat tidak, masyarakat membangun sangat memerlukan kepada kaum intelektual yang ‘memerintah’ dan berfungsi. ‘Memerintah’ disini tidak semestinya dimaknakan dengan memegang apa-apa tempat atau jawatan atau menjadi birokrat dalam pemerintahan. Namun, ia cukup terlaksana apabila idea-idea mereka terpandang dan dicaknai masyarakat, buah fikir mereka diiktiraf dan dimaknai institusi berwajib, dan masyarakat mengangkat mereka sebagai tempat rujuk dan sandaran.

Antara esensial kewujudan kaum intelektual ini, tertumpu kepada peranan ; (1) membincangkan secara tuntas dan menyeluruh permasalahan dan perancangan besar, (2) menawarkan solusi, cadangan, dan pandangan ilmiah terhadapnya.

Penulis menyebut, “Golongan Intelektual mempunyai fungsi untuk menjernihkan tujuan dan sasarannya. Tanpa kaum intelektual, negara akan terus bereksperimen secara cuba-cuba”

Walaubagaimanapun, selalunya peranan kaum intelektual ini sering diabai dan tidak diendah masyarakat. Begitu juga, kondisi masyarakat seringkali tidak kondusif untuk melahirkan kelompok intelektual dalam kalangan mereka. Universiti hanya melahirkan manusia dengan sekeping sijil, tanpa membentuk penutut-penuntutnya menjadi ahli intelektual yang kritis dan kreatif.

Kemunculan kaum intelektual ini menjadi bersinar apabila ; pertama, apabila masyarakat berhadapan permasalahan yang raksaksa dan rumit, memerlukan pengkajian yang dalam dan idea-idea segar yang tidak dapat diilham oleh ‘mental sejengkal’ kaum pandir. Kedua, apabila sesuatu perkara besar sedang dipertaruhkan ; seperti keadaan yang memerlukan perletakkan keputusan yang bijaksana dan teliti, supaya diimbangi pulangan keuntungan dan risiko kerugian, pembaikan dan kerosakan, dan sebagainya.

Penulis, sebagai tindak balasnya, menyeru kepada ‘revolusi intelektual’ bagi melawan ‘revolusi kaum pandir’.

Leave a comment

Filed under Fikrah, Ulasan Buku

Taamul : Merdeka, Menanti Tumbuhnya Intelektual Dan Masharakat Independen.

image

Bersih 4.0 sudah berlalu.

Antara menjadi perhatian ialah, kita dapat melihat kebergantungan masharakat terhadap aktor-aktor politikus, samada dari pihak kerajaan atau oposisi, masih sangat besar.

Di Bersih 4.0 tersebut, politikus menjadi manusia tumpuan untuk didengar ucapan mereka dan diambil gambar bersama mereka. Manakala dari satu pihak yang lain pula, ucapan politikus juga ditunggu untuk membantai balik pihak lawannya, sambil disambut dengan tepuk tangan.

Jelasnya, masharakat seolah tidak ada tempat lain untuk bernaung, melainkan dibawah lembayung politikus-politikus ini. Ini menunjukkan bahawa betapa tidak kuatnya masharakat kita. Jika politikus itu bersifat oportunis (dan sememangnya sikap mereka begitu), maka kerahan tenaga masharakat tidak lebih sekadar memberi kredit tambahan kepada politikus untuk menguatkan pengaruh mereka.

Di satu pihak yang lain pula, masharakat hanya bertindak menjadi pengampu kepada pemerintah. Ia hanya membesarkan ego mereka dan memberi lesen untuk mereka melakukan penyelewengan berulang-alang kali. Akhirnya, masharakat dicucuk hidung dan diperbodohkan untuk kepentingan politikus-politikus durjana ini.

Gajah antara gajah bergaduh, pelanduk mati ditengah-tengah. Politikus saling bertikam lidah, yang menjadi mangsa dan korbannya masih juga masharakat marhein. Sampai bila kebergantungan kita kepada politikus-politikus ini akan berakhir ?

Soal yang lebih besar ialah untuk ditanyakan juga ialah, dimanakah intelektual dalam gelanggang masharakat ini ?

Masalah ini disebut Syed Husein Al-Attas dalam Intelektual Masyarakat Membangun. Ketidakupayaan dan kelumpuhan golongan intelektual dalam gelanggang masharakat ini lantas diisi oleh kaum elit penguasa yang pandir. Vakum yang sepatutnya mereka isi ini, telah dipenuhi oleh politikus pandir yang oportunis, sekaligus, ia dieksploitasikan semahunya untuk mengisi perut mereka. Masharakat digerakkan sesuai dengan kepentingan politikus, bukan kepentingan awam.

Idea ‘ruang ketiga’ bagi intelektual yang disebut Raja Aminullah dalam Minda Tertawan wajar diberi perhatian. Ruang ketiga bermaksud, kaum intelektual ini mempunyai ‘stand’ khas, tidak ke kiri menyebelahi satu pihak dan tidak pula ke kanan. Tidak pula bersandar dan bergantung pada parti politik atau ahli politik.  Mereka ditengah-tengah, menyuarakan pendapat yang adil kepada kedua-dua belah pihak. Kerana, apabila mereka memilih untuk berpihak, risiko untuk kaum intelektual diekspolitasikan mengikut kepentingan parti atau ahli politik adalah besar.

Inilah yang dimaksudkan dengan intelektual indipenden.

Manakala, bagi masharakat pula, masharakat juga harus berlepas diri daripada terikat dengan daripada mana-mana parti politik ataupun ahli politik. Masharakat harus ada suara sendiri, yang tidak terikut-ikut dengan rentak politikus yang oportunis. Masharakat harus menjadi penilai dan hakim kepada parti-parti politik, bukan menjadi buah catur yang digerakkan sesuka hati oleh mereka.

Barulah masharakat kita menjadi masharakat yang kuat, disegani, dan punya suara yang jelas, yang memaksa golongan politikus ini untuk mendengar tuntutan kita. Jika masharakat berpihak, seperti Bersih 4.0 yang seolah dipimpin pembangkang, suara mereka tidak mampu untuk diangkat tinggi, kerana kerajaan tidak memandang suara pembangkang itu harus didengar, bahkan hanya dibakul-sampahkan.

Jadi, suara yang sepatutnya lantang bergema sebagai suara rakyat, hanya dipandang sebagai ‘suara pembangkang’. Tiada apa-apa intention untuk pihak kerajaan melihat dan mengkajinya.

Ini akan jadi berlainan sekiranya masharakat bertindak sebagai masharakat, tanpa disertai politikus yang oportunis. Masharakat dengan keseluruhan kepakaran yang mereka miliki, mereka perlu gunakan sepenuhnya untuk menyelesaikan isu.

Kita mengambil contoh isu 1MDB dan derma 2.6 bilion sebagai misalnya. Anggota masharakat tentu terdiri dari kalangan golongan peguam, pakar ekonomi, agamawan, pihak berkuasa dan lain-lain, yang kesemua mereka jika digabungkan kepakaran tersebut, maka kita akan dapat menyelesaikan isu dengan mengikut undang-undang dan prosedur yang tersusun, tanpa isu tersebut diekpolitasikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang menyebabkan isu tidak selesai-selesai juga.

Inilah yang dimaksudkan dengan masharakat indipenden.

Justeru itu, kita menanti tumbuhnya dua golongan ini ; intelektual yang indipenden dan masharakat yang indipenden, diatas jiwa yang merdeka dan bebas, kearah menjadikan masharakat kita, masharakat yang kuat dan disegani. Tidak mudah dieksploitasi.

Dengan izin Tuhan.

Merdekalah masharakat ku !

Leave a comment

Filed under Catatan, Respon@Kritik, Taamul