Monthly Archives: August 2015

Catatan : Manhaj Buat Penuntut Ilmu, Ash-Shaykh Muhammad Awwamah hafizahullah.

image

Ash-Shaykh Muhammad Awwamah di dalam muhadharahnya berpesan, seseorang penuntut ilmu itu mestilah berjalan di atas petunjuk dan pandangan yang jelas (hudà wa basīroh), dengan mengikut langkah-langkah yang telah dilalui oleh para imam-imam yang terdahulu.

Namun masalah yang berlaku pada hakikat zaman ini ialah, para penuntut ilmu sekarang tidak sama seperti ulama terdahulu. Mengapa jadi begitu ?

Sekiranya kita melihat kepada 50 tahun ke belakang, dengan menjadikan Al-Azhar sebagai misalnya, kita mendapati hasil-hasil yang Al-Azhar keluarkan pada sekarang ini tidak sama dari sudut kualiti dan kuantitinya berbanding 50 yang lalu. Jadi, apakah sebab berlaku penurunan dan kejatuhan tahapan ilmu tersebut ?

Ash-Shaykh menyebut, ketika beliau menziarahi bumi Al-Azhar di Mesir, kemudian berjumpa dengan sahabatnya yang belajar disana. Sahabat tersebut menceritakan tentang kelas tafsirnya bersama Ash-Shaykh Muhammad Mahmud Hattob As-Subkiy r.a.

Untuk mensyarahkan satu firman Allah sahaja sudah mengambil masa sebanyak 13 majlis, iaitu ayat 1, surah Al-Mukminun :

قد أفلح المؤمنون

Bahkan, untuk kalimah قد sahaja mengambil masa beberapa jam.

Itulah keistimewaan sistem pembelajaran di jamie, yang membahaskan permasalahan dengan terperinci dan halus. Adapun sekarang, ilmu sudah dialihkan daripada pengajan di jamie kepada sistem universiti, dan dengan peralihan itu ia telah merosakkan ilmu. Sekaligus, dengannya merosakkan sama penuntut-penuntut ilmunya.

Sistem universiti tidak berjalan diatas petunjuk dan pandangan yang jelas, lalu dengannya ulama yang betul-betul berkualiti tidak dapat dilahirkan. Apa yang dikejar bukan lagi ilmu, tetapi gelar-gelar yang pelbagai seperti doktor, profesor dan yang seumpamanya. Padahal, gelar-gelar tersebut tidak memberi apa-apa makna, kerana untuk mendapatkannya hanya memerlukan beberapa tahun yang sedikit dan tidak mendetail.

Justeru, apabila seseorang itu berjaya memegang gelar-gelar ini, mereka merasakan keupayaan untuk menelaah kitab-kitab besar tanpa melalui kitab-kitab kecil terlebih dahulu. Mereka terus membahaskan kitab Mughni Al-labib sebagai contoh, tanpa mereka mengenali dan menghafal matan Ajrumiyyah. Ia ibarat melangkah anak-anak tangga yang banyak, yang sudah tertentu berbahaya dan risiko jatuh menjadi besar. Lalu, berlaku kesalahan yang banyak kerana tidak mengikut aturan tertib menuntut ilmu yang betul, yang dilalui dengan petunjuk dan pandangan yang jelas. Inilah sebab kurangnya kualiti ilmu bagi para penuntut-penuntut ilmu.

Ash-Shaykh menyebut lagi, “Wahai para syabab sekelian, kita harus selesaikan permasalahan ini. Sekiranya kita tidak menyelesaikan masalah ini, kita tidak akan sampai kepada tujuannya.”

Untuk penyelesaian tersebut, Ash-Shaykh berpesan supaya ;

– Hendaklah penuntut ilmu itu mempunyai semangat yang tinggi, yang tidak pernah mengenal rasa bosan dan jemu, sehingga dia merasakan kelazatan ilmu tersebut. Selain, tidak disibukkan dengan perkara keduniaan yang menyebabkan terganggunya fokus di dalam peringkat tahsil al-ilm.

Satu kisah diceritakan, bagaimana Al-Imam Abu Yusuf Al-Qadhi r.a dengan rela menyerahkan urusan pengurusan jenazah anaknya kepada jirannya agar dia dapat hadir ke majlis ilmu gurunya, Al-Imam Abu Hanifah, kerana takut terlepas faedah-faedah jika dia tidak menghadirinya.

(Kisah-kisah yang diceritakan tentangnya sangat banyak, tidak sayugia untuk menulisnya di sini agar tidak memanjangkan post. Untuk selanjutnya, rujuk kitab Sofahāt Min Sobri Al-Ulama, yang dipesan juga Ash-shaykh supaya diulang-ulang baca oleh penuntut ilmu.)

– Hendaklah mengikuti manhaj penghasilan ilmu yang betul melalui talaqqi setiap bidang ilmu dengan para masyaikh. Selain itu, hendaklah setiap ilmu itu dipelajari dengan bertahap (mutadarrij) mengikut mustawa, dan menaiki tangga-tangga secara satu-per-satu dengan sabar, tidak melangkauinya.

– Hendaklah penuntut ilmu itu berjalan di atas tapak-tapak yang telah dilalui para ulama’ silam, dengan niat untuk menghulurkan khidmat kepada agama dan mencapai mardhotillah.

Pesan yang penting juga, Ash-Shaykh meminta untuk mendoakan beliau dan umat Islam keseluruhannya.

نفعنا الله به و بعلومه في الدارين آمين.

Advertisements

Leave a comment

Filed under Catatan, Fikrah