Monthly Archives: July 2015

Travelog : Persinggahan Di Kota Istanbul.

Bismillahi Rahmani Rahim

image

“Pada zaman orang pendek meninggi leher,

orang tinggi yang menunduk jadi teristimewa.”

NOTA SEBELUM BERLEPAS.

Cairo International Airport.

1934 pm.

Hari Terakhir Syaaban, 1436h.

Dahulu, aku pernah menyebut, sekiranya aku berpeluang menjelajah negara orang, aku akan menjelajah dengan berteman dan menulis catatan tentang penjelajahan tersebut. Supaya manfaat jelajah itu dapat diluaskan kepada yang tidak berkesempatan juga.

Cuma, untuk kali pertama ini, ia hanyalah satu persinggahan yang tidak lama. Malah, tempat yang dikunjung pula sudah biasa dikunjungi dalam kalangan kita. Bumi Runtuhan Khilafah ini menjadi peluang untuk aku menjejak ke sebuah benua yang baru, benua Eropah.

Lama aku berfikir, akhirnya aku memilih untuk menulis juga. Walaupun ia hanya persinggahan sebentar dan kurang mencabar, paling tidak, pada diri aku, ada satu catatan pengalaman ringkas yang tersimpan. Lagi pula, sebagai mahasiswa yang tidak bersandar pada apa-apa biasiswa dan pinjaman, bukan senang dapat menjejak negara orang.

Selain itu, dapat juga kiranya aku kongsikan seberapa banyak buah fikir yang terlintas sepanjang persinggahan ini.

PERANCANGAN CATATAN.

Sebelum sampai ke bumi Istanbul itu, aku merancang untuk melakukan beberapa perkara disana.

Pertama, memandangkan kedatangan aku ke sini pada bulan Ramadhan, sudah tentu aku mahu melihat adat masyarakat di sini menyambut kedatangan bulan mulia Ramadhan. Sambutan yang tentu berlainan diantara satu negara dengan negara yang lain. Berkebetulan pula persinggahan ini tepat jatuh pada tanggal 1 Ramadhan. Aku bercadang untuk menulis sedikit perbandingan tentangnya.

Kedua, dalam keadaan politik Turki pasca-pilihan raya ini, aku mahu melihat pandangan politik rakyat disana. Waktu perenggan ini ditulis, media dan penganalisis politik hangat membincangkan tentang kemerosotan sokongan kepada AK Party dan membayangkan apakah halatuju dan stratergi mereka selepas ini.

Namun, mungkin faktor waktu yang singkat dan masalah bahasa untuk berkomunikasi, aku tidak akan mendapat tasawwur yang tepat. Jadi, aku hanya akan tulis sedikit berkenaannya.

Ketiga, aku mahu melawat kedai-kedai buku dan membeli beberapa daripadanya untuk pembacaan masa cuti di Malaysia nanti.

Keempat, aku mahu melawat beberapa tempat bersejarah dan taman-taman yang cantik disana. Sudah sering kali mendengar tentang keindahan Kota Instanbul ini, jadi keterujaan itu terbentuk untuk melihatnya dengan mata kepala sendiri.

Kelima, aku mahu belajar kehidupan di Turki dan adat-adat mereka seberapa banyak, supaya, jika aku berpeluang datang ke sana lagi di masa hadapan, aku boleh bawa diri sendiri tanpa kekok dan janggal. Aku menyimpan harap, agar dapat ke sini lagi dengan teman yang lain pula. Insha Allah.

TURKI : ANTARA SEJARAH DAN MASA KINI.

Turki, pada akhir waktu ini, banyak mempamerkan peranan sebagai aktor hero paling berani bagi umat Islam, di saat pemimpin-pemimpin dunia Islam lain semua menikus. Untuk isu-isu umat ketika ini, tiada negara yang lebih terkehadapan dalam memperjuangkannya melebihi apa yang dilakukan oleh Turki.

Warga dunia semestinya tidak lupa bahawa Turki ini juga pusat pemerintahan terakhir bagi Khilafah Islamiyyah, iaitu Kerajaan Turki Uthmaniyyah.

Dengan waktu lalu yang gemilang, kejatuhan khilafah, kesulitan menghadapi sekularisasi, sehinggalah ia kembali memegang aktor hero umat Islam,Turki tentu punya sejuta satu cerita disebalik itu.

Aku mula mengambil sedar. Ini Instabul, ibu kota negara Turki. Tanah yang akan ku pijak ini bukan calangan daratan.

Keterujaan mula membesar di hati. Tuhan, berkati perjalanan ini.

Bismillah.
image

SAMPAI DI ISTANBUL.

Perjalanan dari Kaherah Ke Istanbul tidak lama, hanya 2 jam. Kami disambut oleh Ahmad yang sudah sedia menunggu di Lapangan Terbang Attarturk tersebut.

Malangnya, Ahmad dan seorang lagi kawannya hanya datang dengan sebuah kereta yang besar sedikit daripada ‘mini cooper’. Padahal kami berempat, dicampur bagasi-bagasi kami lagi. Akhirnya,disumbat jua kesemuanya ke dalam kereta tersebut dan masing-masing berhimpit. Ikan sardin dalam tin boleh jadi lebih selesa daripada keadaan kami ketika itu.

Namun, keterujaan kami meletakkan kasut di bumi Istanbul, menyebabkan kami jadi tidak kisah dengan ‘kesempitan’ tersebut.

Kami sampai di Al-Madrasah An-Nuriah dengan selamat. Selesai kami meletakkan bagasi, Ahmad memperkenalkan kami kepada penghuni madrasah tersebut. Mereka sangat suk berbual dan bergurau, jadi tidak lama untuk kami sama-sama bergelak dengan lawak mereka dan menghilangkan kekok berada di madrasah tersebut

Rupa-rupanya, waktu sahur sudah hampir, walaupun jam di dinding baru menujukkan pukul 2 pagi. Subuh disini sangat awal, sekitar jam 3.00 pagi.

SAHUR BERSAMA PEMUDA AN-NUR.

Sahur itu meriah dengan hilai-tawa pemuda Al-Madrasah An-Nuriah, di Basari Okulu. Mereka sangat mesra dan rancak berjenaka. Tidak lama kami mengambil masa untuk serasi dengan mereka walaupun bahasa menjadikan kami seperti itik dan ayam apabila berkomunikasi. Lucunya apabila masing-masing berusaha untuk memahami dan memahamkan. Kebanyakan mereka kurang mahir berbahasa selain bahasa ibunda mereka, bahasa Turki.

Dengan perantara Ahmad dan Mujahid yang mahir berbahasa arab dengan Furqan yang mahir berbahasa inggeris, sedikit sebanyak kami dapat apa yang cuba disampaikan.

Ada seorang pemuda yang cukup unik, Aron (kurang pasti ejaan) namanya. Beliau antara yang paling bersungguh-sungguh menceritakan kepada kami sesuatu dalam bahasa turki dengan menggunakan isyarat badan dan suara yang sangat kelakar. Puas kami meneka apa yang ingin disampainya, puas juga dia membuat gaya supaya kami faham. Kadang-kadang, kami hanya tergelakkan gayanya tanpa faham maksud yang ingin disampaikan.

Ingatkan ketika sahur itu sahaja suasana begitu, bahkan setelah solat subuh berjemaah dan zikir, mereka menyambung jenaka dan sakat-menyakat satu sama lain.

Mereka pemuda yang penuh keriangan, melayan karenah mereka kurang terasa keletihan safar dari Kaherah ke Istanbul.

KEBIASAAN PEMUDA AN-NUR SEHARIAN.

Pemuda disini, mereka hidup saling bergotong-royong. Kami melihat bagaimana akrabnya mereka antara satu sama lain ketika menyediakan makanan sahur. Tugas-tugas sepertinya tidak dibahagikan, tapi masing-masing tahu apa yang perlu mereka lakukan.

Untuk sahur, mereka menghidangkan roti-roti yang besar yang dicicah dengan kuah tomato yang dimasak dan berserta dengan keju masam. Juga, ada buah-buahan seperti tembikai dan buah tin. Syai (teh) adalah minuman wajib yang tidak boleh ditinggalkan.

Sepertinya tidak jauh dengan kebiasaan makanan orang Mesir. Bahkan, kuah tomato yang dihidangkan persis sekali dengan rasa ‘syabsyukah’ mesir.

Selesai solat subuh, mereka duduk membaca wirid selama 15 minit dan rasail an-nur dalam satu bab. Untuk subuh yang begitu awal, tidur semula selepas solat adalah keperluan, kemudian bangun semula pada waktu pagi. Jika tidak lakukan sedemikian, keseluruhan musim panas, kamu tentu akan tidak akan tidur langsung.

MASALAH BAHASA UNTUK BERKOMUNIKASI

Namun harus diakui, persinggahan ini sedikit sukar kerana gagal untuk memahami bahasa komunikasi penduduk setempat.

Aku melihat keperluan untuk seseorang daie itu menguasai lebih daripada tiga bahasa bagi membawa risalah Islam dengan lebih luas. Segala puji bagi Allah, selain bahasa ibunda, Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris, telah dikuasai dengan baik.

Ketiga-tiga bahasa ini memang dikuasai ramai dalam kalangan kita. Kita perlu untuk meluaskan penguasaan bahasa lebih daripada itu. Terutamanya, bahasa yang paling banyak digunakan oleh penduduk sfera kehidupan ini seperti Mandarin, Urdu, Bahasa negara-negara eropah dan lain-lain.

Bagi aku juga, bahasa Turki juga tidak kurang penting untuk dikuasai. Lebih-lebih lagi, hubungan erat masyarakat Malaysia-Turki sudah sedia terjalin perlu diperkukuhkan dengan interaksi pertukaran ketamadunan ilmu dan tajrubah, satu sama lain. Khususnya, dari sudut pembangunan ekonomi dan beberapa bidang lain.

Turki yang dulunya digelar ‘orang sakit eropah’, sekarang sudah ‘berdiri sihat’ sebagai salah sebuah negara yang dicontohi dan disegani.

image

HARI PERTAMA

Hari pertama menghabiskan masa menjamu pandangan sekitar Sultan Ahmed, Hagia Sofia dan melawat Muzium Topkapi.

Tempat pelancongan yang sangat indah dan mengagumkan. Bersih dan terjaga. Aku harus teruja kerana aku datang dari tanah Kaherah, ia bagaikan masuk ke alam baru.

Tiada kata untuk menggambarkan perasaan itu.

Daripada tempat penginapan, kami terus menghala ke Kabatas dengan bas awam, kemudian mengambil trem untuk ke stesen Sultan Ahmet. Di kawasan Sultan Ahmet tersebut beberapa kali tersempak dengan bangsa sendiri. Tahulah kami bahawa tempat yang dilawat ini terlalu biasa dikunjungi rakyat Malaysia.

Masjid Sultan Ahmet, sebuah masjid yang tersergam indah dengan binaannya yang menarik. Bentuk binaan yang hampir serupa juga aku dapati di beberapa masjid yang dilawati semasa perjalanan ini. Selesai solat Zohor, terus bergerak ke Hagia Sofia yang berada tidak jauh dari situ. Seni bina kedua-duanya sungguh indah dan mengagumkan.

Aku sebenarnya perlukan lebih banyak masa untuk mengamati keindahan disitu. Belum sempat puas menjamu pandangan, kami terpaksa berjalan lagi kerana tempat yang ingin dilihat masih banyak dan waktu cukup singkat.

Aku boleh katakan bahawa Istana Topkapi adalah kemuncak keterujaan untuk hari pertama. Tempatnya dihiasai dengan pemandangan sungguh indah dan cantik. Terutamanya, pada bahagian yang menghadap Laut Bosphorus. Ditambah keredupan awan dan tiupan angin lembut, ia tempat yang cukup tenang dan romantis.

Aku rasa ingin sekali berkongsi pemandangan itu. Malang sekali, keupayaan kamera tidak mampu menayangkan keindahan itu seperti ia dilihat dengan mata kepala sendiri. Apatah lagi, redup awan dan tiupan angin tidak mampu dirasai melalui gambar.

Ia satu kawasan yang cukup luas, longgar lutut-lutut kami mengelilinginya. Setiap inci dari tempat tersebut mempunyai kesenian dan keistimewaan tersendiri. Bilik-bilik tertentu cukup klasik dan antik. Susun atur Istana tersebut sangat menakjubkan, melambangkan kemewahan dan kebesaran kuasa Khilafah Uthmaniyyah pada ketika itu.

Begitu juga, khazanah tinggalan Uthmaniyyah daripada alatan perang, barangan-barangan diraja, yang dipamerkan disitu cukup berseni. Alangkah kalau ahli seni dalam bidang tersebut datang melihat peralatan tersebut, sudah tentu tidak cukup untuk hanya melihat setiap satu daripadanya hanya seminit dua, kerana kesenian setiap dari barang tersebut sangat halus dan punya makna yang tinggi.

Yang paling istimewa juga ialah, atsar-atsar (bahan tinggalan) Rasulullah s.a.w dan para sahabat. Daripada janggut dan rambut Rasulullah s.a.w, pedang Rasulullah s.a.w dan para sahabat, serta beberapa tinggalan lain, dipamerkan yang dihalang sekeping kaca.

Untuk tempat ini, aku juga perlukan lebih masa untuk menghidupkan rasa sentimental, namun ketergesaan membuatkan aku tidak sempat puas.

Kalau berpeluang sekali lagi datang kesini, akan ku habiskan masa sepenuhnya dan sepuasnya menikmati pandangan syurga dunia. Kalau memakan masa satu hari suntuk, aku akan habiskannya juga.

image

PUASA ANTARA MALAYSIA, MESIR DAN TURKI.

Kami menukar plan dengan memilih untuk berbuka di kedai makan, daripada berbuka di tempat iftar percuma di halaman Masjid Sultan Ahmet. Kami memang diberitahu awal bahawa tempat itu kebiasaan terlalu sesak dengan manusia, jadi ia sudah tentu agak menyulitkan. Sudah tentu, kerana disitu tempat tumpuan pelancong yang tidak kunjung surut dari manusia, apatah lagi di waktu malam.

Maka, kami membuat keputusan untuk makan di kedai berdekatan yang mempunyai wi-fi. Lebih tenang dan selesa sambil melayari internet. Dapat menghantar berita kepada keluarga di tanah air. Menanti iftar, aku menggunakan waktu itu untuk menulis perenggan ini.

IFTAR UMUM PERCUMA.

Di Mesir, hidangan iftar percuma sebegini disebut dengan ‘maidaturrahman’, yang boleh dijumpai di tepi-tepi jalan rayanya. Ia cukup menambahkan warna kemeriahan bulan Ramadhan di sana. Maidaturahman ini, kebiasaanya menyediakan hidangan yang lengkap, dengan syai bil balah (teh campur kurma) nasi, roti aisy dan kuah kacang. Memadai dengan berbuka dengannya, kamu sudah selesa untuk menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Terawih.

Bahkan di Malaysia juga ada iftar percuma sebegini di masjid-masjid dan tempat tumpuan ramai. Maka, penyediaan makanan berbuka puasa secara umum, sudah menjadi adat kebiasaan yang dikongsi ketiga-tiga negara ini.

TEMPOH PUASA DAN SAHUR.

Perbezaan puasa bagi setiap dari negara tersebut, Malaysia, Mesir dan Turki ialah mungkin berkaitan dengan tempoh waktu berpuasa.

Jika di Malaysia, kita pada kebiasaannya berpuasa dalam tempoh 13 jam. Manakala di Mesir pula selama 16 jam, dengan subuh seawal pukul 3 setengah pagi dan berbuka pada sekitar jam 7.00 malam.

Di Turki pula ia selama 17 jam. Paling lama diantara tiga negara ini. Subuh seawal pukul 3.30 pagi dan waktu berbukanya pada pukul 8.40 malam. Manakala Isyak pula masuk pada pukul 10 setengah malam.

Jadi dicampur terawih, ia hanya tinggal 2 jam lebih sebelum masuk waktu subuh. Pada kebiasaan adat masyarakat Turki, dengan melihat di tempat kami menginap, mereka akan menunggu sahur.

Sahur yang mereka sediakan ialah roti dan beberapa ‘lauk’. Lauk itu pelbagai, ada kentang yang dimasak dengan telur, ada juga lauk tomato (kalau di Mesir ia disebut syabsyukah), ada juga lauk daging berserta dengan keju, buah zaitun, dan buah tembikai.

TERAWIH.

Cuma, kebiasaan yang mungkin berbeza juga ialah solat terawih. Kami menunaikan solat terawih di Masjid Ahmet, dan Imam hanya membaca satu ayat pada setiap rakaat. Kesemua sekali sebanyak dua puluh rakaat.

Adat terawih di sini paling ringan jika dibandingkan dengan Malaysia dan Mesir. Namun, harus diakui masing-masing punyai keistimewaan yang tersendiri dalam mengisi nafas Ramadhan dengan ibadat.

Merasai Ramadhan dan mengetahui adat negara lain menyambut Ramadhan sangat mengujakan.

Alhamdulillah atas pengalaman ini.

MALANG TIDAK BERBAU

Hari kedua, hari yang sedikit tidak bernasib baik. Ketika kami mengeluarkan wang dari mesin ATM, malang sekali, kad yang aku gunakan telah ditelan oleh mesin tersebut.

Dengan wang di dalam dompet yang ada tidak lebih dari 100 lira, aku jadi risau kalau-kalau terpaksa berhutang dengan sahabat-sahabat yang lain dan menyusahkan mereka.

Tambahan pula, tab yang aku gunakan tidak dapat dicas kerana tiada wayar yang sesuai untuk menyambungnya ke charger. Ia menambah sedikit gusar.

Bagaimana aku menyelesaikan masalah kad tersebut ?

Plan pertama, kalau mahu mengeluarkan kad dari mesin ATM tersebut tentu prosedur akan banyak. Kami berikhtiar juga untuk pergi ke cawangan bank berdekatan, namun ‘pertolongan’ yang diberikan oleh pegawai bank tersebut adalah menyuruh kami menghubungi no. khidmat pelanggan dan memberitahu mereka. Kami dapat jangkakan bahawa proses untuk mereka pergi ke mesin ATM itu dalam mengeluarkan kad darinya dan memberinya semula kepada aku, tidak semudah itu. Jadi, plan pertama tidak berhasil.

Maka, plan kedua ialah, memindahkan wang tersebut ke dalam bank lain. Kebetulan, aku mempunyai satu lagi akaun bank lain yang berfungsi untuk pengeluaran wang di luar negara. Jadi, aku tidaklah memberatkan sahabat yang lain untuk menumpang kad dan akaun mereka.

Aku menghubungi keluarga, memberitahu apa yang berlaku dan meminta untuk memindahkan wang ke dalam akaun tersebut. Alhamdulillah, semuanya berjalan baik, tapi ia pada realiti tidak semudah dan setenang aku menulisnya disini.

DI FATEH CAMI.

Hari-hari berikutnya, kami habiskan di tempat-tempat yang biasa dikunjung orang apabila datang ke Istanbul.

Hari jumaat, kami menunaikan solat Jumaat di Fateh Cami. Dataran Fateh Camii dipenuhi dengan bendera hitam-putih dengan tulisan syahadah, semasa solat Jumaat tersebut. Mereka adalah kumpulan Hizbut Tahrir, yang sememangnya terkenal dengan perjuangan mereka untuk mengembalikan semula khilafah Islam. Laungan takbir, “khilafah, khilafah..” dan diselangi ucapan pemimpin mereka di dalam bahasa Turki kedengaran sebelum gerombolan itu keluar dari perkarangan masjid menuju satu tempat di tepi jalan raya. Pasukan polis anti-rusuhan sudah berbaris rapi dengan lengkap bersenjata di luar masjid, melihat gelagat mereka dari jauh. Bersedia dengan apa-apa kemungkinan.

SEKULAR DI TURKI & LAUNGAN KHILAFAH SECARA TERBUKA.

Aku tidak tahu sejauh mana sensitiviti masyarakat, khususnya yang memihak sekular dan bukan Islam di Turki, terhadap laungan-laungan ingin menegakkan semula khilafah secara terbuka di tempat-tempat awam sebegitu. Sebab, apa yang aku tahu pengaruh sekular masih begitu kuat disini.

Atau, mungkin sensitiviti itu mula memudar selepas beberapa penggal Turki telah di pimpin oleh golongan Islamis daripada AK Party, yang dikepalai Rejab Tayyib Erdogan. Justeru, kumpulan pro-khilafah ini berani melaungkan kebangkitan khilafah itu secara terbuka.

Untuk tempoh dua hari, aku memang seorang yang naif terhadap situasi yang aku lihat itu.

Namun, kemudiannya, aku diberikan penjelasan oleh seorang mahasiswa yang menuntut disini, bahawa situasi itu sudah kerap berlaku. Secara literalnya, perhimpunan untuk menunjukkan sokongan yang pro-Islam biasanya dibuat di situ. Ada juga dari golongan sekular, mereka pula lakukan perhimpunan di Taksim Square. Ia pemandangan yang normal.
image

MELAWAT KEDAI DAN BOOTH MENJUAL BUKU.

Aku juga sempat untuk singgah di pesta buku, yang mempunyai 4 khemah besar. Juga, sempat menziarah sebuah kedai buku berhampiran madrasah tempat kami menginap di Kaghitane Baladeyesi, berhampiran stesen metro 4 Levent.

Malang sekali, buku 99 % adalah berbahasa Turki. Hampir setiap booth aku bertanyakan buku-buku english, tapi jawapannya cukup mengecewakan. Tiada.

Walaubagaimanapun, ada sekitar lima buah buku english yang berjaya dijumpai, aku hanya membeli salah satu daripadanya. Dua daripadanya adalah novel tentang kesufian dan satu tentang Rumi.

Buku yang aku beli tersebut sebenarnya aku pernah pinjam dan baca separuh jalan daripadanya, ia berjudul ; Religious Struggle In Turkey – During The Tranformation From Chaliphate To Secular Republic, dikarang Sadik Al-Bayrak.

Ia mengisahkan bagaimana proses sekularisasi mula berlaku di Turki dan perjuangan sesetengah kelompok masyarakat yang berusaha untuk mengekal pengamalan islami dan legitimasinya serta melawan arus  sekularisasi.

Dengan harga 7 lira, ia tidak menyebabkan aku teragak-agak untuk menghulur wang. Aku simpannya sebagai bekalan bacaan semasa cuti di Malaysia nanti.

DI PANORAMA & MINIATURK.

Panorama Muzium merupakan satu muzium yang menyusun semula kronologi-kronologi dari awal perancangan oleh Sultan Muhammad Al-Fateh sehingga beliau dapat menawan kota Konstantinopel daripada tangan Byzantine. Motivasi utama beliau adalah daripada sebuah hadis Nabi s.a.w, yang menyebut bahawa kota Konstantinople akan dibuka oleh sebaik-baik ketua dan sebaik-baik tentera.

Antara peristiwa penting dalam kemenangan itu ialah, kejayaan tentera-tentera Islam mampu untuk melayarkan kapal-kapal melalui bukit-bukit hanya dalam masa satu malam, yang akhirnya berjaya melepasi rantai besi yang menghalang mereka untuk mendekat kubu-kubu pertahanan Byzantine.

Selesai di Panorama, kami bergerak ke Miniaturk. Miniaturk adalah tempat untuk kita melawat kesemua tempat pelancongan yang bersejarah di Turki dalam masa satu hari.

Ia adalah satu taman yang mempamerkan monumen-monumen bangunan yang biasa menjadi kunjungan pelancong apabila berkunjung ke Turki.

BERANGKAT PULANG.

Pulang ke tanah air, tidak lama untuk kami merindui pemuda-pemuda di Al-Madrasah An-Nuriah yang sangat baik melayani kami dan banyak membantu kami sepanjang kami disana. Pengalaman tinggal bersama mereka sangat menyeronokkan.

Antara pengalaman yang menarik ialah, pengalaman bersahur bersama mereka. Tidak sah kalau tidak riuh dengan hilai tawa, sakat-menyakat, dan berlawak. Namun, disamping karakter bersahaja itu, mereka pemuda yang soleh, kuat beragama dan berakhlak. Untuk karakter yang begitu, tidak susah kami menyesuaikan diri dengan mereka, walaupun ada halangan bahasa. Beberapa ketika sahaja, kami seolah salah seorang dari ahli keluarga mereka.

Ia ibarat pertemuan dua dunia yang berbeza. Mereka takjub pada apa yang menjadi kebiasaan kami, dan kami juga takjub apa yang menjadi kebiasaan mereka. Soalan demi soalan diajukan antara satu sama lain untuk mengenali lebih dekat dan rapat.

Setiap topik bual yang dibuka, mereka akan sambut, layan dan panjangkan perbualan tentangnya. Daripada makanan, pakaian, adat, setiap kali topik dialih ada saja yang dijadi modal untuk dibualkan dan dilawakkan.

Mereka sememangnya suka berbual, membuatkan suasana jadi meriah. Namun nyatanya, kebaikan dan keramahan mereka sangat berbekas di hati kami.

image

MEMULIAKAN TETAMU

Sesungguhnya, memuliakan tetamu ini sangat diberikan perhatian oleh Islam.

Rasulullah s.a.w bersabda ;

من كان يؤمن بالله و اليوم الاخر فليكرم ضيفه

Maksudnya : Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya.

Memuliakan tetamu dapat menjalinankan ukhwah dan menumbuhkan mahabbah. Selain mengikat hati untuk terus berhubung antara satu sama lain.

Mereka telah mengajarkan kami bagaimana memuliakan tetamu secara praktikal dan realiti. Ia satu pengajaran yang cukup berharga.

HARI TERAKHIR.

Kami meninggalkan Istanbul dengan rasa berat hati.

“Kamu balik pada masa yang tak tepat. Kami baru berhajat mahu mengajak kamu untuk berjalan-jalan dan bbq di hutan”, kata Furqan.

Mereka membantu mengangkat bagasi-bagasi kami yang berat sehingga ke stesen Metro berdekatan untuk menuju ke lapangan terbang.

Perpisahan itu terasa sedikit sukar setelah apa yang mereka layani kami dengan baik sekali. Mereka mengajak untuk datang menziarahi lagi pada masa akan datang, dan kami mengiyakan dan mengatakan insyaAllah.

Kami sememangnya menyimpan hajat untuk datang kembali ke sini lagi. Moga diberikankan peluang sekali lagi, biiznillah.

Naqiuddin Ansarullah.

Advertisements

Leave a comment

Filed under Catatan, Travelog

Ulasan Buku : Al-Islām Wa Musykilah Asy-Syabāb, Ash-Shaykh Said Ramadhān Al-Bouty.

Al-bouti_07

Bismillahi Rahmani Rahim.

Pendahuluan & Pengenalan Kitab.

Kitab ini ialah satu risalah kecil yang saiznya setebal 128 mukasurat. Cetakan yang saya gunakan ialah daripada terbitan Darul Faqih, cetakan kedua. Ia merupakan kitab kelima dalam silsilah Abhās Fi Al-Qimmah yang menghimpunkan sepuluh karya berbentuk risalah yang dikarang oleh Ash-Shaykh Said Ramadhan Al-Bouty rahimahullah.

Risalah ini, seperti tajuknya, dihalakan fokus perbincangan kepada para syabāb dan isu-isu seputarnya. Pada awal muqadimmah, Ash-Shaykh menyebut bahawa beliau sangat berkeinginan dan menyatakan kesediaanya untuk menyelesaikan permasalahan ini secara bersemuka kepada para syabāb, namun beliau tidak mempunyai peluang tersebut. Jadi, beliau menulis risalah kecil ini sebagai ganti kepada keinginannya tersebut.

Pada akhir tulisan pada muqaddimah, Al-Bouty mengharapkan supaya tulisan beliau ini tidak hanya menjadi satu kalam yang kosong, sepertimana yang berlaku dalam nadwah, muktamar dan cetakan yang pelbagai sebelum, yang tidak membawa apa-apa perubahan kepada pemuda. Serta, mengharapkan ada golongan yang dapat mengalihkan buah fikir yang terdapat dalam kitab ini, daripada sekadar tulisan kepada gerakan fizikal di alam realiti yang mampu dengannya mengubah kondisi para syabāb kearah yang lebih baik.

“ Sesungguhnya aku (Al-Bouty) tidak memiliki  apa-apa kecuali penulisan dan syarahan, kepada kedua-duanyalah aku kumpulkan segala kudrat. Namun, mereka yang lain boleh jadi memiliki keupayaan untuk merawat (masalah pemuda ini) dan ada wasail yang lain. Ayuh sama-sama kita membakar keghairahan dalam mencari kebenaran yang kita imani ini, kemudian kita mengumpul segala jalan-jalan penyelesaian dan rawatan, dan saling berganding-bahu berjalan diatasnya..”

Maka, kita berharap untuk menjadi seorang daripada apa yang dihajatkan oleh Ash-Shaykh Al-Bouty tersebut, insha Allah.

Membaiki Pemuda Beerti Membaiki Masyarakat Keseluruhannya.

Tajuk yang dipilih Al-Bouty ini adalah satu tajuk yang besar. Besar dalam erti kata maknanya bukan perbahasannya, kerana, ia hanya sebuah kitab kecil.

Makna dari tajuk ini ialah, apabila kita menyebut tentang membaiki atau menyelesaikan masalah pemuda beerti kita sedang membaiki atau menyelesaikan masalah ummah keseluruhannya. Ini kerana, para syabāb dengan kekuatan tubuh badan yang mereka miliki dan keaktifan peranan mereka dalam masyarakat, menjadikan mereka paksi terhadap segala gerak-laku masyarakat.

Justeru itu, kita dapat melihat bagaimana musuh-musuh pada awal langkah mereka menyerang, mereka akan merosakkan para syabāb terlebih dahulu. Apabila golongan syabāb, selaku tiang utama ini telah rosak, maka bahagian lain akan ikut turut meruntuh dengan runtuhnya tiang.

Apatah lagi, para syabāb inilah yang memegang peranan penting dalam masyarakat. Para syabāb, diantara mereka ialah ketua persatuan, ketua keluarga, ketua jabatan, idola yang mempunyai peminat dan lain-lain, mereka punyai pengaruh besar. Jika sekiranya golongan syabāb ini gagal memainkan peranan yang baik, maka ia akan mengheret juga yang lain untuk turut sama gagal.

Ini turut ditegaskan oleh Al-Bouty, apabila menyebut satu hadis yang mana menerangkan 7 golongan yang akan dinaungi oleh naungan Allah s.w.t pada hari kiamat. Selain Imam yang ‘adil (yang boleh juga dikategorikan ‘pemuda’), selebihnya adalah ‘syāb’ dan ‘rajul’.

Ini menunjukkan bahawa, pembaikan yang dilakukan terhadap para syabāb sama impak dan kesannya dengan seorang pemimpin yang adil. Jadi, seolah-olah ia adalah satu keterikatan yang saling berhubung antara syabāb dan pembaikan atau islah, tidak terputus satu sama lain.

Jika baik pemuda, maka baiklah masyarakat. Begitu jugalah sebaliknya. Dari sini dapatlah kita mengerti bahawa tajuk yang dipilih, walaupun dipetik dari risalah yang kecil, ialah satu tajuk yang penting untuk diberikan perhatian yang serius.

Menjawab Tiga Persoalan Penting.

Al-Bouti menulis risalah ini di dalam kerangka tiga soalan yang penting, iaitu ;

1) Darimanakah lahir masalah pemuda ini ?

2) Apakah tabiat permasalahan ini dan apakah jenis-jenisnya ?

3) Apakah jalan untuk merawatnya dan menyelesaikannya ?

Darimanakah Lahir Masalah Pemuda ?

Permasalahan seputar pemuda begitu sering berlegar di telinga-telinga masyarakat.

Namun persoalannya, apakah punca kepada permasalahan tersebut ? Al-Bouty dengan tegas menyebut, pesakit sebenar dalam hal ini adalah berpunca daripada masyarakat itu sendiri, adapun pemuda adalah golongan ‘yang dijangkiti’.

Pemuda, dengan sifatnya yang berkembang secara tabiie (remaja yang dalam proses mendewasa), memperoleh ‘didikan’ nilai secara langsung atau tidak langsung daripada masyarakat.

‘Masyarakat’ yang dimaksudkan disini ialah, rumah, sekolah, jalan raya, masjid, tempat hiburan, warung-warung, [saya tambah, laman sosial, internet] dll, dengan apa yang dikelilingi kesemua daripada nilai-nilai dan pemikiran.

Dari nilai dan pemikiran yang wujud di sekitar masyarakat inilah, ia membentuk peribadi sebilangan besar golongan pemuda yang hidup dalam lingkungan masyarakat tersebut.

Jika dominasi nilai baik dalam masyarakat itu lebih besar, maka baiklah keperibadian majoriti pemudanya. Jika tidak, maka sebaliknya.

Justeru, langkah perubahan untuk solusi kepada permasalahan ini harus digandingkan oleh dua kaedah ;

1- Samada masyarakat diubah dengan diisi-ganti dengan nilai-nilai didikan yang baik serta digiatkan usaha untuk dikurangkan nilai-nilai didikan yang buruk. Peranan ini misalnya boleh dimainkan dengan menghidup budaya-budaya islami, dan juga oleh kerajaan, dengan mengetatkan undang-undang.

2- Jika tidak berjaya, penyelesaian harus datang dari pemuda itu sendiri untuk mengekalkan jati-diri yang baikserta melawan nilai-nilai buruk dari mempengaruhi peribadinya. Cuma, di peringkat ini tidak sedikit yang gagal.

Teringat bacaan ringan dalam idea yang sama ditulis oleh Ali Tantâwi, Irhamù Asy-Syabâb. Beliau juga sependapat bahawa masyarakat punya ‘saham’ besar dalam masalah para pemuda ini. Tidak sayugia bagi masyarakat untuk terus meluruskan telunjuk kepada para pemuda, sedang mereka juga salah satu punca kepada masalah tersebut berkembang.

Namun, akhirnya, sepertimana disebut di awal pendahuluan bahawa syabāb dan masyarakat ini mempunyai keterikatan yang sangat rapat, saling memberi kesan antara satu sama lain.

Permasalahan Tsaqofah Dan Ilmu.

(Melalui catatan ini, kita hanya akan memberikan fokus berkaitan permasalahan terbesar yang diketengahkan Al-Bouty, iaitu berkaitan syabab mutsaqqof [pemuda ghairah mencari maklumat dan mengkaji], dalam isu musykilah tsaqofah dan ilmu.

Walaupun sebenarnya ada beberapa kesinambungan antara satu tajuk dengan tajuk yang lain, tetapi tajuk ini sudah menguasai lebih separuh kandungan kitab. Jadi ia wajar diberi tumpuan khusus. Selain, keperluan untuk menukilkan isi-isi penting berkenaannya pada waktu ini.)

Permasalahan tentang pemuda antara lain turut tertumpu pada golongan syabâb mutsaqqof.

Keghairahan syabāb mutsaqqof ini dalam mengkaji, membaca dan mencari solusi sepatutnya dimanfaat masyarakat dengan diberi bimbingan dan perhatian.

Malang sekali, kegagalan golongan agamawan menjadikan topik perbincangan agama lebih ‘mesra pemuda’, menyebabkan mereka lebih tertarik untuk mendekati perbahasan-perbahasan falsafah yang nampak lebih menarik dan kritikal.

Apabila mereka hadir ke majlis ilmu di Masjid dan Surau, mereka mendapati syarahan agama, yang hanya berputar pada soal adab, akhlak serta nasihat. Ianya tidak sesuai dengan keinginan intelek mereka yang berkehendakkan sesuatu perbahasan ilmu yang kritikal.

Mereka mula mengalih pandangan terhadap ilmu falsafah, dengan namanya yang dipandang gah dan hebat, kerana apabila diiktibarkan dengan seorang yang berfalsafah, tergambar dalam fikiran mereka seorang yang cerdik yang sentiasa berfikir. Dan itulah yang memenuhi keinginan intelek mereka.

Walaubagaimanapun, ilmu yang mereka cari melalui falsafah tersebut tidak menjadikan mereka bertambah faham dan tahu, bahkan menjadi lebih teruk. Mereka bukan sahaja terkeliru dengan pendapat yang saling bertentangan, bahkan kefahaman yang sudah mereka peroleh sebelum mempelajari falsafah, mereka jadi meraguinya.

Al-Bouty dalam Musykilât Asy-Syabâb, menyebut ;

Apabila para syabab mustaqqof menghala kepada Islam untuk mendengar akidah dan hukum-hakamnya, maka datang suara-suara dari masyarakatnya yang berkata ;

Kamu itu orang berilmu. Agama ini berkaitan perkara ghaibiyyat yang tiada sandaran (pancaindera) padanya.

Justeru, mari ke sini dan dengarkan daripada dikatakan ilmu oleh tokoh-tokohnya. Kemari dan dengarkan kepada ; Kant, Karl Marx, Darwin, Stewart Mill dll.”

Namun, apabila syabab mustaqqof itu pergi mendengarnya, tiada yang mereka dapat kecuali pendapat yang saling bercanggah.

Maka, apakah itu dianggap ‘ilmu’, dalam pendefinisiannya yang sebenar ?

Ilmu yang sebenar itu diertikan dengan ;

إدراك الشيئ إدراكا مطابقا لما هو عليه في الواقع و نفس الامر بدليل.

Maksud ; Mengetahui sesuatu dengan pengetahuan yang bertepatan dengan hakikat sesuatu itu pada waqi dengan bersertakan dalil.

Pandangan para failasuf barat yang tiada bersandar pada wahyu dalam menafsirkan beberapa pada perkara yang ghaibiyyat seperti hakikat penciptaan alam, pengisbatan wujudnya tuhan, penentuan siapa dan bagaimanakah tuhan tersebut dll, akan menjatuh pada kesalahan yang nyata. Kesalahan beerti tidak tepat dengan waqi, dan ia bukan satu ‘ilmu’.

Dan bagaimanapula, apabila terdapat pelbagai tafsiran failasuf tentang hakikat terhadap suatu perkara, yang bertentangan antara satu sama lain, untuk golongan syabab mustaqqof ini mentarjihkan satu tafsiran diatas tafsiran yang lain, sedangkan tiada penghujahan yang kuat.

Sehingga pada akhirnya, syabāb mutsaqqof ini memilih satu mazhab dari mazhab-mazhab falsafah semata-mata atas kecenderungan dan bertindak membela ideologi yang dipilihnya tanpa didasari ilmu.

Bahkan, hanya teruja beberapa perkara ‘menarik’ tentang ideologi tersebut, sedangkan lebih banyak perkara yang mengelirukan disebalik perkara ‘menarik’ tersebut.

Maka, mula mereka mencantikkan ideologi pilihan mereka dengan menjulang kata-kata tokoh dari ideologi tersebut yang nampak menarik dan hebat. Padahal, idea besar tokoh-tokoh besar tersebut hanyalah khayalan dan utopia semata, tidak mampu direaliti pada dunia waqi.

Salah-pengertian terhadap makna ilmu membawa kepada musykilah yang lebih besar daripada kejahilan itu sendiri. Ini sesuatu yang cukup berbahaya. Para syabāb harus kembali merujuk ilmu kepada ahlinya yang sebenar, bukan pada falsafah.

Apakah Jalan Untuk Merawatnya Dan Menyelesaikannya ?

Apabila memasuki falsafah ini, ia menyebabkan mereka mula terkesan dengan idea ‘kebebasan berfikir’, sehingga memasuki perbahasan yang tidak mampu dijangkau oleh akal manusia. Mereka mula mempersoalkan semua perkara dan mengingkari semua perkara, termasuk perkara badihiyyat dan musallamat padahal ia sudah tidak perlu kepada perbincangan.

Lantas, mereka menjadi bingung dalam menentukan siapa diri mereka, apa pegangan mereka dan apa yang harus mereka lakukan. Krisis identiti ini bukan sahaja merosakkan kehidupan duniawi golongan ini bahkan kehidupan akhirat mereka juga dikhuatiri, melalui tasykik dan keingkaran mereka terhadap perkara asas agama. Bimbang kalau-kalau ia terjatuh dalam kekufuran tanpa mereka sedar.

Oleh itu, Al-Bouty menyebut bahawa golongan syabāb mutsaqqof ini tidak boleh sewenang-wenang memilih buku untuk dibaca dan dijadikan panduan dengan menganggap apa jua yang ditulis itu adalah ‘ilmu’.

Bahkan, setiap sesuatu itu harus ditimbang diatas neraca perbahasan ilmiah yang terperinci lagi detail untuk menentukan ia diterima atau ditolak. Justeru, Al-Bouty meletakkan beberapa penyelesaian penting dalam hal ini. Penyelesaian adalah seperti berikut ;

1) Hendaklah golongan syabāb mutsaqqof ini mendalami terlebih dahulu seni memilih tajuk perbincangan.

2) Hendaklah mengetahui tentang seni pemilihan kitab. Dalam tradisi keilmuan Islam, para sarjanawan sangat menekankan kepentingan untuk merujuk kepada kitab yang muktamad, muktabar dan diterima oleh sarjanawan lain merentasi zaman (تلقت الامة بالقبول ).

3) Hendaklah mengetahui teknik pembacaan yang betul dan penyusulan kepada menyiapkan bahas ilmiah yang tuntas dengan bimbingan ahli.

Jika ketiga-tiga penyelesaian ini dilakukan oleh syabab mutsaqqof, bukan sahaja dapat menyelamatkan mereka dari kesesatan dan kekeliruan yang nyata, bahkan dapat menyiapkan satu hasil bermutu yang boleh dimanfaatkan ummah hasil dari pembacaan-pembacaan mereka tersebut.

Penutup.

Sebagai penutupnya, penulis ingin menyimpulkan beberapa perkara. Pertama, kebanjiran falsafah yang mula digelorakan oleh sesetengah golongan anak muda (syabāb mustaqqof), dengan ajakan untuk membaca dan berwacana tentangnya, harus diberi perhatian serius oleh golongan ulama’ dan asatizāh.

Pada hakikatnya, segala bentuk ideologi yang timbul ini sudah dijawab tuntas oleh para ulama’ silam. Oleh itu, daripada golongan asatizah ini asyik memberi fokus yang terlalu besar berkenaan nasihat dan akhlak, alangkah bagusnya untuk mereka menjadi lebih kritikal, dengan mengeluarkan semula jawapan dan kritikan yang telah dirumuskan oleh para ulama tersebut. Ia sebagai satu ‘counter’ bagi mengimbangi gelombang falsafah yang mendatang.

Alangkah bagusnya juga, untuk para asatizah ini merapati dan mendekati golongan syabāb mustaqqof serta bertukar buah fikir dengan mereka secara berdepan, menyertai program yang mereka anjurkan, daripada hanya menunggu di masjid-surau sahaja.

Kedua, bentuk syarahan agama di masjid dan surau seharusnya menjadi ‘mesra pemuda’ (atau lebih tepat, mesra syabāb mustaqqof). Tidak lagi hanya diisi dengan pengisian ‘cliche’ dan lawak-lawak yang kosong, serta tidak lagi menjadi penyampaian satu hala. Bahkan, ia menjadi satu wacana dan diskusi tentang idea-idea yang menarik dan kontemporer. Barulah ia mampu menjemput ramai syabāb mustaqqof ini datang ke masjid-surau, dan peringkat pendidikan dan pentarbiyahan selepas itu akan menjadi lebih mudah.

Ketiga, syabāb mutsaqqof ini haruslah memiliki hati yang jujur mencari kebenaran dan intergriti intelektual yang profesional, iaitu menimbang sesuatu pandangan berdasarkan ilmu yang benar, bukan emosi, perasaan dan sangka-sangka.

Jika mahu memilih itu untuk mengkaji falsafah, silakan. Cuma, yang betul harus dikatakan betul, dan yang salah harus dikatakan salah. Apabila menjumpai sesuatu yang hujahnya yang lebih kuat mengalahkan sesuatu yang lemah, maka yang mempunyai hujah terkuat harus didahulukan.

WaAllahu a’lam.

Naqiuddin Ansarullah.

Leave a comment

Filed under Ulasan Buku