Monthly Archives: April 2015

Taamul: Mahasiswa Dan Ancaman Pembodohan.

can-stock-photo_csp5447021

Mahasiswa adalah kelompok yang bakal memegang watak intelektual dalam sesebuah masyarakat, dalam senggang waktu yang tidak lama. Dalam 5-6 tahun hadapan, mahasiswa ini akan mengisi autoriti-autoriti penting dalam pemerintahan.

Justeru, tidak dapat tidak, mereka memerlukan pembudayaan yang menumbuhkan semangat falsafah, keghairahan berfikir dan mengkaji, serta penghasilan idea-idea dalam mencari solusi dalam satu-satu permasalahan yang timbul, dalam tempoh mereka memegang status ‘mahasiswa’, demi untuk memenuhi keperluan wujudnya kelompok intelektual dalam masyarakat membangun.

Sayangnya, apabila tempoh itu, mahasiswa bahkan merelakan diri ‘duduk-diam’ dan ‘tunduk-patuh’ pada pembodohan. ‘Pembodohan’ yang dimaksudkan ialah, satu cara pemaksaan untuk tunduk dan terima pada satu-satu perkara, dengan mematikan rasa ingin mempertikai dan menyoal

‘Pembodohan’ itu boleh datang dengan beberapa frasa, seperti ; “Serah pada pimpinan, kita tinggal dengar dan patuh saja.”, “Pimpinan lebih tahu.”, “Kita hanya perlu jadi askar-askar yang sedia menjalankan arahan, walaupun mengorbankan diri. Yang penting arahan pimpinan terlaksana.”

Sikap bersetuju tanpa pertikaian dan tunduk tanpa mempersoal pada perkara yang perlu dipertikai dan dipersoal, sepatutnya dihapuskan oleh mahasiswa.

Ini kerana, ‘mahasiswa’ itu adalah satu status yang besar dan mulia, yang antara sikap yang mereka perlu miliki ialah berfikir, mengkaji, mempersoal, berdiskusi, memajukan buah fikir yang mereka hasilkan sendiri dan mengkritik.

Jika mahasiswa masih terus-terusan rela duduk dibawah kepompong pembodohan sebegitu, maka apa lagi istimewa yang ada pada mereka sebagai mahasiswa, jika dibanding dengan kelas-kelas dibawah mereka ?

Justeru, penglibatan dalam persatuan (sebagai contoh yang paling dekat), harus dijadikan mahasiswa sebagai satu platform latihan untuk menimbulkan rasa ingin mempertikai dan menyoal, semangat mengkaji dan menghasilkan buah fikir yang bernas dalam gerak-kerja berpersatuan.

Bukan lagi, hanya menjadi ‘aktivis-aktivis kecil’ yang mengerah keringat dan tulang empat-kerat untuk merealisasikan idea orang lain, sedang idea dan pendirian sendiri tidak ada.

Tegasnya, mahasiswa harus mula membuka mata dan melihat dengan sedar, kemudian perlu meruntuhkan segala jenis usaha pembodohan dengan berani dan mempunyai pendirian sendiri.

Naqiuddin Ansarullah.

Leave a comment

Filed under Respon@Kritik, Taamul