Monthly Archives: January 2015

Catatan : Tips-Tips Membeli Kitab Menjelang Cairo International Book Fair 46 (2015)

Bismillahi Rahmani Rahim.

[Tips-tips Penting Membeli Kitab Menjelang Cairo International Book Fair 46, 28 Jan – 12 Feb]

10906528_772237126147608_2357550938099146260_n

Kali Keempat !

Masuk kali ini, saya sudah melalui empat kali maarad dengan penuh keterujaan. Setiap kali ia tiba saban tahun, beberapa ‘kesilapan’ dalam membeli kitab saya lakukan, sehingga gagal memanfaatkan duit yang terhad dengan pemanfaatan yang sempurna. Lalu ia menjadikan saya lebih cerewet dalam memilih kitab dan melaburkan wang.

Berdasar pengalaman kecil itu, mahu saya kongsikan beberapa tips penting yang seharus diambil perhatian, terutamanya kepada penuntut imu agama.

1 : Cari Maktabah Popular Luar Mesir.

Pertama, fokus kita pada maarad, paling utama ialah pada mencari kitab yang nadīr atau rare, yang sukar untuk kita dapati dipasaran biasa di Mesir atau sekitar Kaherah ini. Kalau kitab yang biasa-biasa, tidak perlu tunggu maarad pun kita masih boleh membelinya.

Kategori kitab nadīr itu, boleh dibahagikan kepada dua kelas ; isdarāt terbaru dan di azbakiyā (kitab-kitab terpakai).

Sudah tentu, maktabah luar Mesir akan diberi fokus yang lebih. Maktabah luar yang popular seperti Darul al-Fath, Darul An-Nur Al-Mubin (Kedua-dua maktabah ini dari Jordan), Darul Basyaīr (Beirut, Lubnan), keluaran terbaru mereka biasanya tersangatlah nafīs, terutama bidang berkaitan ilmu akidah, ilmu kalam, mantiq, hadis dan lain-lain. Boothnya biasanya terletak di dalam solah 18-19, satu dewan besar dihujung maarad.

Di solah yang sama juga, anda boleh dapati maktabah-maktabah popular lain seperti Darul Fíkr, Darul Qolām, Darul Ibnu Kathīr, Darul An-Nawadhīr dan lain-lain, yang buku-buku mereka sangat menarik dan bagus.

Dan jangan lupa pada maktabah yang lain seperti maktabah Darul Ad-Dhiyā (Kuwait) biasanya terletak di khemah depan Qoah Saudiy. Ya, buku-buku disana sedikit mahal, tetapi kualiti buku-bukunya sangat tinggi dan sangat berbaloi untuk melabur wang disana.

Apabila menyebut tentang Qoah Saudiy, jangan lupa pula singgah di maktabah Muasasah Risalah di sebelahnya, kearah surau, yang tidak kurang menarik cetakannya. Untuk peminat buku Ar-Raysouni, apabila anda keluar daripada booth Muasasah Risalah, anda pasti terlihat maktabah Darul Kalimah, disana mereka menghimpunkan àmal kāmilah, himpunan muallafat Ash-Shaykh Ahmad Raysouni dan buku-buku berkaitan perbincangan Maqasid Syari’ah.

Manakala, untuk mendapatkan muallafat Ash-Shaykh Al-Qardawy dan sebahagian muallafat Imam Saeed Hawwa, cari di Maktabah Wahbah, biasa terletak di khemah-khemah di ‘padang pasir’.

Darul Minhāj pula, walaupun kebanyakan keluaran boleh didapati dengan agak mudah di Kaherah ini, tetapi beberapa kitab kadang-kadang jarang dapat dimiliki. Jadi, fokuskan pada membeli kitab yang ‘jarang jumpa’ tersebut.

Selain itu, maktabah yang agak ‘mainstream’ seperti Darussalam, Mujallad Arobi, Darul Hadis, Darul As-Syuruq dan yang sewaktu dengannya, letakkan dibawah sedikit dalam list ‘penjelajahan maarad’ anda, supaya tak terbeli buku yang mainstream juga, kemudian menyebabkan kesuntukan wang untuk membeli kitab-kitab lain yang lebih nafīs.

Kemudian, maktabah yang wajar dielakkan daripada membeli daripadanya ialah, Maktabah Darul Kutub Ilmiah, Maktabah Tawfiqiyyah, dan Maktabah Sofā, kerana walaupun bukunya murah tetapi kualiti buku mereka rendah dan banyak jatuh huruf, perkataan, bahkan muka surat. Kecualilah jika kitab yang anda ingin beli tersebut sudah tidak dicetak oleh maktabah lain. Dan, untuk kutub musowwaroh di maktabah Darul Kutub Ilmiah, ia masih ‘terpercaya’ (ini istisna’).

Jika anda memang tidak punya peruntukan banyak untuk maarad, maka jangan bersedih. Pergilah ke Azbakiya, tempat menjual buku-buku terpakai, tetapi ingat, bukan semua buku terpakai itu buku buruk dan lama yang tak boleh dibaca. Kalau anda tekun mencari dan menyelongkar, anda akan dapat buku-buku yang bagus dengan harga yang tidak masuk akal.

Ia terletak dihadapan pintu masuk solah 19. Antara tempat yang perlu dipergi awal, takut nanti terlepas buku-buku yang berkualiti, dan kebiasaannya jika lambat, hanya tinggal sisa baki sahaja.

2 : Memilih Buku Berdasarkan Penulisnya.

Kedua, membeli buku berdasarkan penulis, tidak kira dalam maktabah apa pun yang anda terjumpa. Antara penulis yang perlu diberi perhatian ialah ;

As-Shaykh Saeed Ramadhan Bouty, Abu Al-Hasan Ali An-Nadwi, Ash-Shaykh Abdul Rahman Al-Habbanakah, Ash-Shaykh Abu Fattah Abu Ghuddah, Al-Imam Saeed Hawwa, Ash-Shaykh Naseh Ulwan, Ash-Shaykh Muhammad Ghazali, Ash-Shaykh Farīd Al-Ansory dan lain-lain.

Dan, kitab yang dikarang guru-guru kita dari Al-Azhar Asy-Syariff Al-Munir, seperti ;

Fadhilatul Imam Ali Jum’ah, Fadhilatul Ash-Shaykh Hasan Asy-Syafie, Fadhilatus Shaykh Usamah Al-Azhari,, Al-Muhaddis Ash-Shaykh Ibrahim Kattani, Ash-Shaykh Nouruddin Îtr, Fadhiltaus Shaykh Sayyīd Syāltūt, Fadhilatus Shaykh Hisyam Kāmil dan lain-lain.

Juga, tokoh kibār ulama’ yang masih hidup dan penghasilan kitab mereka masih berjalan, seperti ;

Ash-Shaykh Saeed Abdul Lateef Foudah, Ash-Shaykh Nizar Hamadi (ulama’ Tunisia, banyak tahqiqnya terutama dalam ilmu kalam), Ash-Shaykh Muhammad Îmarah, Ash-Shaykh Muhammad Awwamah, Ash-Shaykh Abdullah At-Talīdi, Ash-Shaykh Al-Qardawi, Ash-Shaykh Qurāh Dāghi, Ash-Shaykh Wahbah Zuhaili, abangnya, Ash-Shaykh Muhammad Zuhaili, Ash-Shaykh As-Sobuny dan lain-lain.

Semua yang tersebut diatas merupakan penulis prolifik dan mendapat qobul dalam kalangan ahli ilmu, sewajarnya untuk kita memberi perhatian kepada hasil karangan atau tahqiq dari mereka.

Penulis yang perlu sebaiknya dielakkan pula, seperti ;

Ash-Shaykh Ibnu Uthaimin, Ash-Shaykh Soleh Fauzan Al-Fauzan, Ash-Shaykh Ibnu Baz, Ash-Shaykh Rabie Al-Madkhali, Ash-Shaykh Abdullah Harari, Ash-Shaykh Hasan As-Saqqaf, Ash-Shaykh Sulaiman Al-Asyqor, Jamal Al-Banna dan yang seumpamanya.

3 : Mendahulukan Kitab Rujukan Turath Sebelum Kitab Pembacaan Kontemporer.

Ketiga, mendahulukan kitab-kitab turath yang menjadi rujukan, sebelum kitab-kitab pembacaan kontemporer. Ini kerana saban tahun harga akan meningkat. Jika anda masih di tahun awal pengajian, dan mempunyai jumlah wang yang banyak untuk diperuntukkan, fokuskan kepada membeli kitab-kitab besar (4-20 jilid keatas), daripada membeli kitab-kitab yang kecil. Seperti Fathūl Bari Syarh Sahīh Bukhāri, Syarh Imam An-Nawawi Ala Sahīh Muslim, Kutub Sittah berserta syarahan masing-masing, Dalil Al-Falihīn Syarh Riyadhūs Solihin (Hadis), Tafsir Ibnu Kathir, Tafsīr Qurtubi, Tafsir At-Tobari, (Tafsir), Majmù Syarh Muhazzab, Muhazzab, Al-Hawiy Al-Kabir, Mughni Muhtaj (Fiqh Asy-Syafie), Al-Mawaqīf (Tauhid) Itthāf Sadah Al-Muttaqīn Syarh Ihyā Ūluumuddin (Tasawwuf) Lisanul Arāb (Lughoh) dan lain-lain kitab turath besar yang menjadi rujukan. *Untuk lebih lanjut tentang berkaitan kitab rujukan turath, rujuk buku ‘Alkutūb Al-Mukawwanat Lil Fikr Islamiy’ yang ditulis oleh Fadhilatul Imam Ali Jum’ah.

4 : Jangan Habiskan Duit Terlalu Awal & Rancang Pembelian.

Keempat, jangan habiskan duit terlalu awal di hari pertama atau kedua dengan memborong semua kitab sekaligus. (kecuali kitab yang takut kehabisan dan tidak dapat dapat pada hari yang berikutnya).

Bertenang, dan buatkan list kitab yang dinginkan kemudian apabila pulang ke rumah, timbang setiap buku mengikut awlawiyyat dari sudut keperluan dan kesesuaian bajet yang kita ada. Kemudian, buat perkiraan yang matang sebelum pergi mendapatkan kitab-kitab tersebut pada keesokan harinya.

Dengan semua tips-tips diatas, anda bukan sahaja dapat menjimatkan wang, tetapi setiap geneh yang anda keluarkan sangat berbaloi dan menggunakan wang dengan penuh manfaat, dengan tidak terbeli kitab-kitab yang tidak sepatutnya dibeli. InshaAllah.

Selamat membeli, kuasa di tangan anda.

Naqiuddin Ansarullah

Leave a comment

Filed under Catatan

Respon : Memperkasa Dan Menambah-nilai Mahasiswa Pengajian Islam.

Bismillahi Rahmani Rahim.

/home/wpcom/public_html/wp-content/blogs.dir/1a7/59230166/files/2015/01/img_5835.jpg

Apabila membaca artikel yang ditulis oleh Ustaz Hasrizal, bertajuk “Masih relevankah pengajian Islam ?”, mula-mula lagi saya sudah rasa ia satu tulisan yang provokatif, yang bukan bermaksud untuk bertanyakan soalan tetapi sebenarnya untuk ‘menjentik’ beberapa poin penting.

Ia satu artikel yang telah meluahkan apa yang saya ingin luahkan pada satu ketika dahulu. Dan, penulis artikel ini, Ustaz Hasrizal, ternyata lebih baik dan holistik dalam mengupasnya.

Cuma untuk beberapa perkara, saya suka untuk menambahnya.

Ustaz-ustazah hilang kerja (?)

Sebilangan orang menyangka, hanya dengan membaca terjemahan tafsir Al-Quran dan Hadis mereka sudah mampu menjadi àlim. Sudah mampu berbincang soal-soal agama yang dalam dan rinci, serta mengeluarkan pandangan (baca : fatwa).

Ia disokong pula dengan sikap masyarakat yang meletakkan indikator àlim atau pakar agama itu pada sudut kepetahan dalam memberi ceramah dan penyelitan unsur-unsur humor dalam penyampaian. Seolah, siapa yang tidak mampu mencapai tanda-ukur tersebut itu bukanlah seorang àlim atau tidak cukup àlim.

Hasil dua perkara ini, iaitu, orang yang menyangka dirinya àlim dan masyarakat yang tidak tahu meletakkan pangkat àlim, melahir beberapa pemerhatian ;

“Doktor dan engineer sekarang pun sudah pandai mentafsir Al-Quran dan mensyarah hadis. Kalau ada permasalahan pun, orang sekarang cari jawapan kat google saja.”

Lalu, dengan kesinambungan persoalan-persoalan itu, membawa kita kepada satu keputusan, ‘ustaz-ustazah ni tak perlu ramai-ramai sangat. 4-5 orang sudah cukup. Sektor lain masih banyak nak guna sumber tenaga manusia.’

Jadi, masih relevenkah pengajian Islam ? Soalan ini timbul dilewat taamul tersebut.

Memperkasa Dan Menambah-nilai Penuntut Ilmu Agama.

Jika diperhatikan dengan lebih mendalam, persoalan sebenar bukan releven atau tidak, tetapi lebih kepada ‘penuntut ilmu itu, bagaimana harus mereka memainkan peranan ?’

Abu Hasan Ali An-Nadwi ada menyebut, “tempat orang yang berilmu agama disisi masyarakat itu diibaratkan seperti kepentingan jantung di dalam seorang insan, yang mana seluruh kesihatan badan tersebut bergantung padanya..”[1]

Peranan seorang àlim dalam satu-satu masyarakat sangat penting. Akan tetapi, untuk mengisi ruang kosong dengan tengah masyarakat itu tidak mampu hanya bersandar pada tahu membaca kitab sahaja, tapi memerlukan kemahiran yang pelbagai.

Maka dari situ kita perlu mengatakan bahawa, penuntut ilmu agama ini perlu menambah-nilai diri mereka dengan kemahiran dan tidak hanya bersikap statik, beku. Penuntut ilmu agama inilah yang seharus cakna dan cekap dalam memerhati waqie yang dia sedang hidup di dalamnya, supaya kehadirannya dapat dimanfaat sebaik mungkin oleh masyarakat.

Cadangan untuk mengambil salah satu bidang profesional juga perlu diberi perhatian. Kita sudah punya suri-teladan yang telah melakukan.

Cuba kita rujuk kepada pengalaman menuntut ilmu ulama’ besar ketika ini, seperti Ash-Shakyh Ali Jum’ah dan Ash-Shaykh Saeed Foudah misalnya, mereka pada awalnya mempelajari ilmu keduniaan sebelum masuk dalam pembelajaran berkaitan ilmu-ilmu agama.

Luaskan Pembacaan, Jangan Sempitkan.

Langkah lain untuk penambahan-nilai ini ialah, dengan meluaskan pembacaan luar bidang. Bermaksud, membaca buku selain buku yang bersifat fundamental yang selalu dikeleknya kesana kemari, dan diulang-ulang setiap ketika.

Ufuk minda dan pemikiran ini harus diluaskan, agar tidak memandang dunia dari jendela yang kecil sahaja. Dunia luas dan isunya pelbagai, dua-tiga buku tidak mampu untuk merungkaikan suku pun dari permasalahan-permasalahan yang ada.

Kadang-kadang, ada orang merasa puas dengan mengulang-ulang pembacaan kitab-kitab haraki tertentu dan tidak mahu untuk menelaah kitab lain disebakan risau ‘kecelaruan fikrah’.

Sebab itulah, ustaz-ustazah ini, tiba satu masa, akan dilihat sudah kehilangan modal. Setiap kali penyampaiannya sama, seperti apa yang telah dia sampaikan sebelumnya. Tiada yang baharu, kerana sumber bacaan mereka terhad !

Lalu, langkah pertama untuk memperkasakan penuntut ilmu agama ialah, dengan meluaskan wilayah pembacaan itu sehingga menjangkau ‘sempadan lawan’, bagi melihat sudut pandang yang berbeza dengan hati terbuka dan untuk mencari kebenaran tanpa ‘dirasuk’ oleh sikap taksub.

Menghadapi Masyarakat Dengan Ilmu Dan Kemahiran.

Selain itu, kita perlu juga sedar bahawa kefahaman dalam kebanyakan soal agama yang asas,seperti rukun sembahyang, wuduk, pantang-larang berpuasa dan sebagainya, masyarakat kita rata-ratanya sudah mengetahuinya dengan baik.

Dengan ledakan maklumat yang berlaku ketika ini, masyarakat ‘generasi baru’ ini tidak lagi ada keinginan untuk bertanyakan soalan remeh-temeh.

Mereka akan cenderung untuk bertanya persoalan yang sukar dan kritikal. Sudah tentu, sudu yang kecil tidak mampu menceduk telaga, ilmu yang sedikit juga tidak akan mampu mengulas isu-isu yang kritikal.

Maka, ustaz-ustazah ini akan ‘terjengket-jengket menghulurkan kepala’ dalam memberikan pandangan. Dan pandangan pula, tidak tepat dan kurang padat. Tambahan pula, kemahiran bermasyarakat dan komunikasi sangat kurang.

Jika begitulah keadaannya, bagaimana dia mahu memainkan sebagai seorang àlim di tengah khalayak masyarakatnya, sedang peranan itu cukup besar ?

Abul Hasan Ali An-Nadwi juga membayangkan kejatuhan kota Andalus juga disebabkan faktor ini, faktor lemahnya golongan ulama’ dan agamawan. [2]

Penutup.

Maka, begitulah keadaannya.

Saya berfikir dan bertanya pada diri sendiri, lalu saya dapati masih banyak yang perlu dibaiki.

Anda bagaimana ?

————–

[1] Abul Hasan Ali An-Nadwi, Masüliyyat al-ùlama fî al-awdò mutaghayyirãh, Majmà Al-islamîy Al-îlmi, m/s 9

[2] ibid, m/s 10

Leave a comment

Filed under Respon@Kritik, Taamul