Monthly Archives: December 2014

Taamul : Pembentukan Golongan Ilmuan Asas Islah.

Bismillahi Rahmani Rahim

farid10

Ash-Shaykh Farid Al-Ansory rahimahullah, Pengarang kitab ‘Mafhum Âlimiyyah’.

Beza alim dan bukan alim –pada memberi kefahaman terhadap Islam kepada masyarakat- ialah pada manhaj mereka dalam berta’amul dengan nas-nas syarak, iaitu pada proses untuk menghasilkan kefahaman dan pandangan yang bertepatan dengan kehendak syarak daripada sumber Al-Quran dan As-Sunnah. Jelasnya, jika methodologi yang tidak betul, ia akan menjadikan hasil kefahaman yang dikeluarkan itu juga tidak betul.

Sebagai analoginya, seseorang doktor mahu merawat pesakitnya, tetapi doktor tersebut menggunakan peralatan yang salah, ubat yang salah, dan kurang berkemahiran, sudah tentu ia akan memudaratkan pesakit. Jadi, bagaimanakah sekiranya yang merawat pesakit itu ialah seorang yang langsung tidak mempunyai alat dan tiada kemahiran serta pengalaman langsung dalam merawat pesakit ?

Apa yang berlaku pada masyarakat kita hari ini ialah, mereka menyandarkan pangkat ‘alim’, kepada golongan yang tidak layak, yang menyebabkan berlaku banyak pertelingkahan dan salah faham terhadap agama. Sebagai contoh, masyarakat merujuk hukum-hakam agama pada seseorang yang pandai berceramah dan menyentuh hati dalam tazkirahnya, padahal boleh jadi dia tidak mahir dalam ilmu feqah, lalu dia memberi pendapat tanpa berlandaskan manhaj ilmu yang betul, kemudian menatijahkan pendapat yang bercanggah dengan kefahaman dan kehendak sebenar oleh syarak.

Justeru, manhaj dalam menafsirkan Al-Quran dan As-Sunnah itu sangat perlu. Disamping, kemahiran dan penguasaan yang mantap dalam ilmu-ilmu yang menjadi ‘alat’ untuk memahami kedua-duanya, seperti usul fiqh, ulum Al-Quran, ulum hadis, nahu, sorof, balaghah, mantiq dan seumpamanya. Setiap satu ilmu dengan ilmu-ilmu yang lain itu saling melengkapi, maka tidak sayugialah seseorang mengabaikan mana-mana ilmu tersebut.

Untuk mengenal ilmu yang perlu dikuasai oleh setiap penggerak Islam, Al-Imam Said Hawwa telah menyenaraikan 12 ilmu yang perlu dikuasai oleh setiap yang mahu menjadi penggerak Islam. Dua belas ilmu tersebut ialah :

1) Ilmu usul 3. ( Allah, Rasul, Islam )
2) Al-Quran dan ulum Quran.
3) Hadis dan Ulum Hadis.
4) Usul Fiqh.
5) Akidah.
6) Feqah.
7) Ilmu akhlaq / tazkiyyah.
8) Sirah dan sejarah Islam.
9) Ilmu bahasa Arab. ( Nahu, sorof, balaghah, ..)
10) Ilmu tentang perancangan jahat musuh-musuh Islam dan cabaran yang dihadapi umat Islam.
11) Pengajian Islam kontemporari.
12) Fiqh dakwah.

Proses dalam menimba ilmu-ilmu ini, kita tidak boleh hanya sekadar berpada pada pembacaan, perbincangan, kajian atau ‘bedah kitab’ sahaja, bahkan memerlukan kepada bersuhbah dengan para masyaikh dan ulama’, dalam satu tempoh masa yang selayaknya.

Rasulullah s.a.w bersabda,

“ Wahai Manusia, hanyasanya diperoleh ilmu itu daripada ta’alum (belajar dengan berguru), dan faham itu dengan tafaqquh ( menuntut ilmu ), barangsiapa yang Allah menghendaki kebaikan pada dirinya, ia menjadikannya memahami agama, dan sesungguhnya yang takutkan Allah itu ialah para ulama’.. “

( Hadis riwayat Al-Bukhari)

Para hukama’ juga berkata,

إن هذا العلم دين, فانظرو عمّن تأخذ دينكم

Sesungguhnya ilmu ini adalah agama, maka lihatlah daripada siapa kamu mengambil agama kamu.

Justeru, penggerak Islam (Islamis) tidak seharusnya terkonkong hanya dengan dua tiga buah kitab yang diulang-baca berkali-kali, bahkan perlu keluar untuk membina ‘ahliyyah’ dan kefahaman Islam yang dalam, bukan sekadar berpuas hati dengan kefahaman ‘sathiyyah’ (gambaran ‘am) semata. Semangat jika membara sebesar gunung berapi pun tidak akan bermanfaat tanpa ilmu dan kefahaman yang betul.

Untuk itu, As-Syeikh Farid Al-Ansory r.a juga telah menulis kitab bagi memberikan pencerahan dalam memberikan pentakrifan kepada ‘alim’ –iaitu orang yang boleh dijadikan rujukan dan diajukan permasalahan berkaitan agama – yang bertajuk “Mafhum ‘Alimiyyah Min Kitab Ila Rabbaniyyah” dan turut membentang sarana-sarana serta cadangan beliau dalam pembetukan seorang ‘alim. [Boleh di dapati di maktabah Darussalam]

Disamping itu juga, kitab karangan Al-Imam Said Hawwa r.a, Jundullah Tsaqofatan Wa Akhlaqon juga wajar ditelaah, kerana mempunyai persamaan dalam skop perbincangannya. Jika digandingkan kedua-dua kitab ini bersama, ia akan membentukkan kombinasi yang sangat padu.

Walaupun perbincangan kedua-dua kitab hampir sama, tapi idea dan pencerahan kedua-dua tokoh mewujudkan keistimewaan yang berbeza. Jadi, kedua-dua kitab ini harus dijadikan panduan dan ‘manual’ penting bagi setiap penggerak Islam dalam membina kefahaman Islam.

Apa yang ingin disimpulkan disini ialah, kekurangan golongan alim yang mampu untuk menjadi rujukan dan sandaran kepada masyarakat merupakan penyebab kerosakan dan kemusnahan yang berlaku dalam masyarakat. Apatah lagi, golongan yang dianggap ‘alim oleh masyarakat juga tidak mencapai tahap sebenar keilmuan yang membolehkan mereka digelar sebagai ‘alim.

Oleh itu, antara permulaan kepada islah dan tajdid bagi sesebuah tamadun, ialah dengan melahir lebih ramai golongan-golongan ‘alim yang berkemampuan dalam mengeluarkan pandangan, pendapat, fatwa dan seumpamanya – bertepatan dengan kehendak syarak dan selari dengan kefahaman para salafussoleh dalam memahami nas-nas Al-Quran dan hadis, lalu dapat memakmurkan bumi Allah s.w.t dengan syari’at-Nya yang tulen.

Tanpa usaha mewujudkan golongan-golongan ini, sudah tentu impian untuk melihat tertegak Islam di muka bumi ini tidak lebih hanya sekadar menjadi pembakar semangat dan motivasi buat aktivis, sedang perlaksanaannya masih kabur dan tidak mampu direalitikan.

WaAllahu a’lam

Naqiuddin Ansarullah.

Advertisements

Leave a comment

Filed under Taamul

Taamul : Mahasiswa Sebagai Perintis Pengamalan Demokrasi Luhur & Politik Baharu.

Bismillahi Rahmani Rahim.

Kent-State-Demonstration

Bicara masih lagi seputar tajuk, ‘partisipasi mahasiswa dalam politik’.

Dengan nada yang sama, saya tegaskan sekali lagi, bahawa mahasiswa, atas kapasiti mereka sebagai intelectual to-be, sepatutnya berpartisipasi dalam gelanggang politik dengan lebih matang dan berjiwa besar, khususnya, di dalam lapangan politik dalam persatuan pelajar.

Dalam proses pilihan-raya kampus misalnya, (yang biasanya diamalkan oleh persatuan-persatuan mahasiswa untuk memilih pimpinan), prinsip luhur demokrasi harus dipelihara dengan baik seperti kejujuran, kematangan dan sikap profesionalisma dalam melaksanakan amanah, terutama bagi pelaksana-pelaksana proses demokrasi tersebut, juga calon-calon mahasiswa yang bertanding.

Iklim politik di Malaysia sudah dipenuhi dengan pelbagai pengamalan budaya politik yang tidak sihat. Mahasiswa seharusnya menjadi agen perubah (rijăl at-tâghyir) dengan bertindak mempromosikan budaya politik yang baru, yang lebih harmoni dan mengatas-namakan kasih-sayang, menggantikan budaya lama tersebut.

Tugas itu tidak akan direalisasikan apabila mahasiswa hanya mewarisi kesalahan yang dilakukan generasi terdahulu ! Malah, akan gagal-lah sekiranya mahasiswa itu sendiri, dengan rela-hati, mengamalkan ‘politik kotor’ tanpa ada rasa bersalah.

‘Kemarau’ akan berlanjutan, dan redup yang dinantikan, tidak kunjung-tiba.

Politik ‘gaya lama’, seperti persaingan atas-nama permusuhan, sabotaj-mensabotaj, kutuk-mengutuk peribadi , penentuan calon sebelum pertandingan, undian atas ‘fanatik kepuakan’, manipulasi kiraan undi dsb, tidak seharusnya berlaku dalam gelanggang politik mahasiswa, dengan kapasiti ‘mahasiswa’ yang besar.

Mahasiswa patut mempromosikan pengamalan politik matang dan sihat, serta perlaksanaan pilihan-raya yang telus dan diyakini intergritinya. Namun, sebelum mengangkat budaya ini di lapangan yang besar, mahasiswa harus mempraktikkannya dalam gelanggang yang lebih kecil terdahulu,gelanggang politik dalam persatuan mahasiswa.

Disini, mahasiswa harus mengamalkan persaingan yang sihat seperti pemilihan calon diukur melalui indikator kompetensi (Al-Qowiy) dan intergriti (Al-Amin) [Al-Qasas;26].

Selain, perlu menjauhi sifat pemilihan yang diukur pada faktor kepuakan (atau disebut sebagai ‘asobiyyah) seperti, ‘aku undi dia sebab dia puak aku’, atau faktor-faktor remeh seperti, hubungan rapat dengan calon, ke’hensem’an – ke’cute’an calon dsb.

Jika mahasiswa tidak mampu untuk mempromosikan budaya politik sebegini, dalam gelanggang mereka yang kecil tersebut, maka apakah yang akan berlaku sekiranya mereka memegang autoriti yang lebih besar, seperti menjadi petugas pilihan-raya yang sebenar nanti contohnya atau terlibat dalam politik kenegaraan yang lebih luas ? Bukankah putaran kesalahan itu akan sentiasa berputar dan terus berputar tanpa berhenti ?!

Justeru, mahasiswa perlu membawa ‘nafas baru’, dengan mempromosikan pengamalan politik adab dan kasih sayang. Selain itu, menjauhi ‘gaya politik lama’ yang bersifat persengketaan dan permusuhan sedari awal penglibatan mereka dalam politik kampus atau persatuan pelajar.

Tambahan pula, mahasiswa perlu membawa misi pengislahan dan pembaikan dalam gaya berpolitik untuk dipraktiskan di gelanggang yang lebih besar, gelanggang politik kenegaraan. Dengan upaya itu, moga dapat menghentikan putaran kesalahan, dan meredupkan iklim politik negara, insha Allah.

WaAllahu a’lam.

Naqiuddin Ansarullah.

Leave a comment

Filed under Taamul

Taamul : Universiti, Mahasiswa & Keterbukaan.

Bismillahi Rahmani Rahim

demonstrasi

UNIVERSITI, MAHASISWA DAN KETERBUKAAN.

Institusi Pengajian Tinggi atau Universiti, sepatutnya menjadi satu institusi yang neutral dan bebas dari pengaruh politik partisan,tidak kiralah berpihak kepada kerajaan ataupun pembangkang.

Bahkan, universiti perlu menjadi medan dialog dan perbincangan ilmiah yang matang serta profesional, dengan disertai partisipasi mahasiswa dalam proses percambahan idea dan penyelesaian masalah, untuk menghasilkan natijah yang terbaik.

Cetusan fikir anak muda dalam kalangan mahasiswa memerlukan kepada platform untuk diterjemahkan kepada praktikal. Sesiapa sahaja harus menyediakan ruang yang luas untuk mahasiswa mengemuka pandangan mereka dan berbahas dengan adil dan jujur.

Ruang harus dibuka agar mahasiswa bersikap lebih terkehadapan dan berperanan sebagai ‘think-tanker’ kepada pembangunan kemasyarakatan juga kenegaraan. Mahasiswa tidak patut disekat, selagi mereka menyampaikan pendapat yang berlapik dengan hujahan yang kuat. Mereka perlu dibiarkan untuk menyuarakan apa yang terbuku dalam pemikiran mereka secara ‘lawas’ dan tuntas.

Baru slogan ‘Kuasa Mahasiswa’ itu lebih dihormati dan dipandang serius, bukan sekadar laungan kosong tanpa isi, atau pembangkit semangat untuk demontrasi !

Kemudian, suara ini harus diberi perhatian yang wajar. Kalau tidak ada pihak yang menyambut dan mendengar suara mahasiswa ini, sudah tentu dengan jiwa muda membara yang mereka miliki, mereka akan melaksanakannya dengan cara sendiri, yang mungkin upayanya tidak kuat, ibarat menjerit di tepi laut, tidak sampai ke pulau.

Budaya mengongkong dan membasuh-minda (doktrinisasi) para mahasiswa sudah tidak mendapat tempat sekarang. Zaman ini bukan zaman, “Kau belum habis ijazah belum keluar universiti, kau tak tahu apa-apa !”

Mahasiswa ialah ‘intelectual to-be’, yang perlu dilatih dan diberikan ruang seluasnya bagi meningkatkan nilai aset ummah dan negara.

Walaubagaimanapun, sebelum itu, ada dua persoalan besar yang perlu diberesi terlebih dahulu ;

Pertama, adakah mahasiswa kita cukup matang dalam meresap jiwa profesional dan intelektual, tanpa pengaruh parti politik atau kumpulan-kumpulan tertentu, dalam berhujah dan melontar buah fikir mereka ?

Sedang, pertembungan Pro-M dan Aspirasi (sebagai contoh ketara misalnya) masih dilihat pertentangan bersifat partisan. Juga, pengkaderan mahasiswa untuk diserap dalam parti politik juga agak rancak tanpa mahasiswa membina kekuatan mereka atas kaki mereka sendiri, bahkan terpaksa bergantung pada tokoh-tokoh atau kumpulan tertentu.

Mahasiswa seharusnya sudah mampu berdikari dalam mencetus arus perjuangan yang baru, yang lebih segar, bukan sekadar mengisi tempat-tempat lama politikus veteran. Kita mahu bina iklim politik yang damai, dan tugas itu tidak akan direalisasikan apabila mahasiswa hanya mewarisi apa yang dilakukan generasi terdahulu !

Kedua, adakah golongan-golongan ‘pembesar atasan’ berani, terbuka serta jujur untuk mendengar suara mahasiswa ? Berani berdialog dan berbahas secara profesional, lalu menimbang pro-kontra buah fikir golongan mahasiswa. Ataupun, mereka hanya bergerak atas kepentingan dan keuntungan kelompok mereka sahaja ?

Hanya untuk kita renungkan.

Naqiuddin Ansarullah

Leave a comment

Filed under Taamul