Monthly Archives: November 2014

Taamul : Seruan Kearah Partisipasi Mahasiswa Dalam Politik Dengan ‘Lebih Terhormat’.

Bismillahi Rahmani Rahim.

demonstraition_parade_by_norimatsukeiichi-d6hezsx

Akhir-akhir ini, kita melihat anak muda atau lebih khusus mahasiswa, mula menunjukkan kuasa mereka. Dengan meninggalkan dewan kuliah, mereka mula memenuhi jalanan dan menyertai masyarakat, atas slogan-slogan yang pelbagai, paling masyhur ialah slogan ‘menentang kezaliman’.

Dari status mahasiswa –intelectual to-be atau bakal ilmuan – , mereka dengan rela-hati merendahkan sayap lalu turun menjadi aktivis dan demonstran. Ini perjuangan, kata mereka.

Mereka terdorong oleh kisah-kisah anak muda yang mencetus revolusi dan perubahan lalu tercatat nama-nama mereka megah pada lembaran sejarah.

Justeru, dengan semangat yang sama, mahasiswa bangkit membawa nama mereka, mahu dipahat sepertimana nama tokoh-tokoh yang mereka kagumi melakukannya dahulu. Menyertai demonstrasi, berpidato, bersoladiriti, kemudian dipukul pihak berkuasa, ditangkap, dan disumbat ke dalam penjara.

Tanpa sedar, mereka sebenar diperkuda, hanya menjadi tunggangan digerakkan atas kepentingan orang besar-besar. Mahasiswa sepatutnya ada wawasan dan idealisma sendiri, yang tidak menyangkut harap kepada tokoh-tokoh semata.

Iya, pada satu sudut, ia merupakan satu perkara ijabiyyat (positif, yang boleh diterima). Menggerakkan mahasiswa-mahasiswi yang hanyut dengan sistem perkuliahan, assignment dan exam-oriented yang membeku, menjadikan mereka lebih cergas, agresif dan punya jati –diri yang digeruni.

Walaubagaimanapun, mahasiswa sepatutnya lebih bijak –dan memang sepatutnya perlu bertindak bijak . Mereka patut mengemblengkan keistimewaan dan kelebihan yang mereka ada untuk menghasilkan ketumbukan yang lebih efektif dan berkesan.

Kebanyakannya dilihat lebih selesa untuk turun beraksi pada dilapangan sebagai ‘aktivis’ atau ‘demonstran’, kosong dari apa yang mereka pelajari di dewan kuliah. Padahal, dalam kalangan kita ada dalam kalangan mahasiswa jurusan undang-undang, sains sosial, sains politik, agama, ekonomi, kejuteraan, perubatan, mekanikal, kejururawatan, bahasa dan sebagainya.

Mengapa perlu ketepikan ilmu yang dipelajari, lalu memilih title aktivis dan demonstran apabila dilapangan ?

Kalau kamu jurusan undang-undang, gunakanlah kepakaran kamu. Sebarkan penerangan yang jelas apa yang betul disisi undang-undang, dan apa yang salah. Apa bentuk kezaliman yang telah dilakukan, dan apa penyelesaian tuntas yang boleh digerakkan ?

Jika jurusan ekonomi pula, bincangkan tentang sudut ekonominya. Terangkan baik buruk jika sesuatu dasar itu dilaksanakan, bagaimana mengatasi masalah ekonomi dengan cara yang terbaik, atau apa sahaja yang berkaitan.

Begitu juga jurusan agama, bincangkan dari sudut hukum-hakam contohnya. Soal maqasid syari’yyah, aqwal para ulama’ atau dari sudut dakwahnya dan macam-macam lagi.

Begitulah seterusnya, mengikut jurusan kepakaran yang dimiliki.

Mahasiswa sekarang tidak sepatutnya hanya jadi ‘tukang sorak’ dan ‘pemegang sepanduk’sahaja. Mereka sepatutnya menjadi golongan yang menyelesaikan masalah dan mempengaruhi kuasa autoriti tertinggi, dengan menyuguhkan buah fikir yang mampu membuka jalan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah.

Bukan sekadar provokasi di medan, sedang perkara ‘hitam-putih’ yang sebelum diputuskan untuk dilaksanakan, mereka tidak terlintas untuk masuk campur.

Setiap mahasiswa memainkan peranan, berdasarkan kepakaran yang mereka ada.  Apabila wujud kezaliman, pasti ada pelanggaran pada mana-mana hak. Hak yang dilanggar itu tidak patut direspon dengan protes atau turun ke jalanan. Tidak pula, bergaduh dengan orang yang tidak tahu apa-apa dan sekadar menjalankan arahan atasan.

Ketumbukan yang baik dari mahasiswa, ialah ketumbukan dari sudut intelektual dan ilmiahnya. Yang kita hadapi bukanlah Hitler, tidak pula Jeneral As-Sisi. Kita masih punya ruang diplomasi dan rundingan yang baik, daripada kita menggunakan kekerasan. Saluran yang betul, yang telah diberikan sepatutnya kita gunakan semaksima mungkin.

Kita perlu belajar daripada kesilapan orang dahulu, agar tidak terjatuh dalam kesilapan yang sama. Kalau kesilapan lama sering kita ulang-ulang, sampai bilakah kita akan maju ?

Mahasiswa yang terlalu sibuk  ‘perkara luar’, menghabiskan waktu sebagai aktivis dan demostran, lalu mengabaikan pelajaran mereka, akhirnya akan dipandang remeh, menjatuhkan imej mahasiswa. Lalu, kalau bukan sudut intelektual kita, sudut mana lagikah yang membezakan kita dengan aktivis-demostran yang bukan mahasiswa mahupun akademik ? Kita laungkan kuasa kita, tapi kita langsung mengabaikan ‘kekuatan sebenar’ yang kita miliki!

Justeru, marilah kita mula membina ketumbukan mahasiswa yang baru, yang bukan memilih jalanan atau protes demonstrasi sebagai tempat tunjuk kuasa atau tunjuk ‘taring’, tetapi dengan cara yang lebih baik dan ilmiah. Ilmu-ilmu di dewan kuliah bukan untuk peperiksaan, ia untuk dimanfaatkan. Lalu kenapakah tidak menjadikan lapangan masyarakat tersebut sebagai ‘medan latihan’ ?

Aku juga mahasiswa, tapi aku mengajak dengan ajakan yang berbeza, “Ayuh mahasiswa, kita berperanan dengan lebih terhormat !”

Naqiuddin Ansarullah.

Leave a comment

Filed under Taamul

Catatan : Jelajah Ilmu Mahasiswa ; Peranan Generasi Muda Dalam Memperkasa Negara Bangsa.

10676176_739346419436679_4013168365506004015_n

Sedikit catatan berkenaan pengisian dalam program ‘Jelajah Ilmu Mahasiswa Bersama Dr. Asyraf Wajdi & Prof. Agus’, Kaherah. (Catatan ini tidak bermaksud persetujuan penulis terhadap apa yang disampaikan. Kata-kata yang dinukilkan adalah daripada makna kalam, yang mungkin ada sedikit perbezaan dari kalam yang sebenar.)

Dua tokoh intelektual ini, saya kenal dan ikuti penulisannya di laman Facebook. Dapat bertemu dengan kedua-duanya, bergandingan pula menyampaikan talk, menjemput keterujaan yang teramat. Buah fikir dan idea ranum tersebut, sedikit sebanyak dari input itu mahu saya kongsi disini.

Prof. Agus memula bicaranya dengan menyatakan kehadiran beliau ke Kaherah mempunyai harga yang mahal untuk dibayar. Beliau terpaksa meninggalkan majlis Konvokesyen lima orang anak murid, calon Phd. Salah satunya, ahli parlimen termuda di Indonesia.

“Budaya penyarungan jubah ini, bermula di Universiti Al-Qurawiyyin,di Fes, Morocco. Ia simbolik kepada restu seorang guru kepada anak muridnya. Pergilah anakku aku merestui perjalanan ilmu-mu selepas daripada ini. Bagi saya, penyarungan jubah ini sentimental.. cukup sentimental.”

“Selepas mana, saya berdebat, berdiskusi dengan mereka, dan akhirnya mereka berjaya menghasilkan satu tesis yang berkualiti. Itu merupakan nikmat yang besar. Dalam perjalanan, saya membaca tesis-tesis tersebut. Nikmat..”

“Akan tetapi, saya hadir juga ke sini untuk berjumpa dengan anak-anak dan untuk belajar sesuatu yang baru..”

“Dan, satu lagi, saya datang kesini kerana saya mahu kenal satu susuk anak muda. Dr.Asyraf Wajdi Dusuki. Sepanjang permusafiran saya dengan beliau, banyak perkara-perkara baru saya ketahui. Dia seorang tokoh anak muda yang dikagumi. Dan saya rasa, saya dapat apa yang saya inginkan dari permusafiran ini. Berbaloi, walaupun terpaksa meninggalkan anak-anak murid.

Pada mula saya sangka Prof. Agus ini seorang yang tegas, keras dan berhaluan kiri, hakikatnya, ‘rupa nampak garang, dalam hati ada taman’. Lembut suaranya, sedap susun-atur bahasanya.

Seterusnya, masih dengan mode ‘sentimental’, dia menceritakan kisah lampaunya. “Saya ini dahulu orang susah. Ibu bapa saya meninggal, dan kakak saya ketika itu membawa kami adik-beradik ke kota. Saya ketika itu, mempunyai jiwa yang besar. Sangat besar. Saya katakan kepada kakak, “Kakak, kakah tak usah bersedih lagi, satu hari nanti Agus akan jadi orang yang berjaya..”

“Ibu bapa ini, anak-anak sekelian, dia sangat sayangkan anak-anaknya, dia berikan semua yang termampu kepada anak-anak tersebut.”  Tambahnya, yang kemudian disusuli dengan cerita pengorbanan seorang ayah yang memberikan mata kepada anaknya sehingga anak itu berjaya, dan pada akhirnya, dia turut menceritakan pengorbanan seorang emak yang memberikan telinga kepada anaknya.

Jalan cerita sangat simple dan macam kelakar, satu bagi mata kemudian meninggal, seorang lagi bagi telinga, tapi gaya penceritaannya yang syahdu, kalah filem hindustan !

Antara buah fikir yang menarik daripada Prof. Agus juga ialah peranan mahasiswa dalam politik kepartian.

“Ya, saya kuat mengkritik. Tetapi, saya jaga batasnya. Saya tidak langgar undang-undang.  Kalau kamu langgar undang-undang, you deserve what you get. Kalau main di ‘tepi-tepi batas’ itu, tidak mengapa.”

“Kamu mahasiswa, perlu pandai. Jangan sampai nak tunjuk berani, habis semua orang kamu mahu langgar. Ini belum sempat habis belajar, sudah kena buang, ditangkap dsb. Saya sebagai bapa tahu apa rasanya kalau jadi begitu, dengan apa yang telah dikorbankan..”

Dr. Asyraf pula, beliau menyampaikan buah fikirnya dengan cukup bernas dan menarik. Dia dengan penuh semangat membuka ucapannya dengan mengulas bidang kepakarannya, perbankan Islam. Beliau, sepertimana saya kenal, merupakan penulis prolifik peringkat antarabangsa dalam lapangan ini, menghuraikan dengan bahasa yang mudah.

“Selepas Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah Al-Munawarah, selepas daripada membina masjid apakah yang Rasulullah s.a.w lakukan ?”, beliau melontar soalan.

“Rasulullah membina pasar bukan ? Betul tak ? Ini menunjukkan bahawa aspek ekonomi juga dititik-berat dalam pembinaan dawlah Islamiyyah.”

“Kita jangan bersikap retorik, mahukan dawlah Islamiyyah tetapi mengabaikan satu juzuk dari juzuk agama Islam. Ekonomi ini juga satu juzuk yang penting bagi dawlah Islamiyyah.”

Selain itu, beliau ada menyelitkan kritikan-kritikan dalam ucapannya,

“Kita perlu keluar daripada kerangka pemikiran berpaksikan partisan. Mahasiswa harus bersikap dengan lebih bebas dan terbuka, memandang dengan ilmu bukannya ketaksuban kepada parti atau mana-mana kumpulan. Saya, ketika saya datang ke sini, mendengar ura-ura bahawa kononnya saya datang untuk mendoktrinisasi fahaman umno. Ini adalah satu pemikiran yang dangkal. Bagaimana saya boleh mengubah pemikiran mahasiswa hanya dengan tempoh dua-tiga hari ?”

Yang kemudiannya, dilapik semula dengan nasihat yang membina.

“Mahasiswa harus berjiwa besar, melihat sesuatu dengan pandangan yang holistik dan menyeluruh. Mahasiswa perlu punya ambisi yang panjang nafas. Seperti saya contohnya, saya punya cita-cita untuk melihat institusi perbankan besar negara ini, dipegang oleh orang-orang agama, supaya perjalanan perbankan Islam ini sentiasa patuh syariah. Sebab itu, saya cuba menggalakan mahasiswa pendidikan Islam untuk terlibat dan berusaha mengangkat mereka dalam industri ini. Saya ada beberapa anak murid yang saya berjaya angkat mereka, tetapi tidak bertahan lama kerana ketidakselesaan disebabkan tiadanya suasana islami..”

“Anak-anak muda harus berfikiran terbuka. Janganlah hanya kerana seseorang itu berbeza sudut pandang, kita harus sangsi terhadap segala apa yang mereka lakukan.”

Satu sudut yang menarik apabila Dr. Asyraf membuat perbandingan antara Malaysia dan Turki.

“Saya sering kali ulang-alik ke Turki. Dan turki, sepertimana kita maklum, di dalam perlembagaan tertulis bahawa Turki ini adalah sebuah ‘negara sekular’. Tahukah, apa efek atau kesan dengan tertulisnya perkataan sekular di dalam perlembagaan tersebut ? Segala aktiviti atau program yang bersifat keagamaan tidak boleh dibantu dengan dana-dana yang disumbangkan oleh kerajaan. Bahkan, untuk kita gunakan perkataan ‘Islam’ pun pada nama-nama institusi tidak dibenarkan. Justeru itu, apabila kita merangka untuk membina bank-bank Islam di Turki, kita tidak memakai nama ‘bank Islam’,tetapi kita tukar kepada ‘Bank Partisipasi’. Kalau kamu pergi ke Turki, kamu jumpa bank partisipasi, bank Islam lah tu.

Berbeza dengan kita di Malaysia, di dalam perlembagaan tertulis bahawa Islam adalah agama rasmi negara. Jadi kita boleh guna istilah-istilah arab. Orang Malaysia ni, kalau kita guna istilah arab dia anggap lebih islamik lagi, semua benda nak letak ‘Al-‘di hadapan. Selain itu, kita boleh guna dana-dana kerajaan untuk membangunkan program-program yang bersifat keagamaan, seperti J-Qaf, Kafa umpamanya, malah kita ada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM),  Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), dan yang terbaru, Universiti Islam Malaysia (UIM). Kerajaan juga memberikan berjuta-juta ringgit kepada Tv Al-Hijrah, yang menayangkan program keagamaan sepanjang hari. Kita bebas kerana dasar kita adalah Islam, berbeza dengan Turki yang berdasarkan sekular.”

Antara nasihat yang baik, disebutkan oleh beliau ialah ;

“Bagi mahasiswa, penting untuk dia mempunyai idealisma, intelektualisma dan aktivisma. Ketiga-tiga perkara ini perlu diadun dengan baik. “

Beliau menunjukkan jiwa besarnya, apabila menyebut di akhir kalamnya ;

“Sebenarnya kedatangan  Prof. Agus ke sini bersama saya, ada ceritanya. Ya, ramai bertanya, kenapa bawa orang yang dikenali dengan kelantangan mengkritik dasar-dasar kerajaan ? Saya sebagai pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) berhak untuk memilik sesiapa saja untuk turut serta dalam rombongan ini.         Tetapi, tujuan saya membawanya bersama saya untuk bertemu anak-anak mahasiswa disini adalah supaya mahasiswa dapat menilai sudut pandang yang berbeza. Dan, Prof. Agus, apabila saya bertanya padanya dan mengajak beliau untuk menyertai rombongan ini, dia bersetuju tanpa banyak bicara..”

Sekian catatan.

Naqiuddin Ansarullah / 1 November 2014

Dewan Malaysia Abbasiah, Kaherah.

Leave a comment

Filed under Catatan